Ghafar Baba simpan banyak kisah suka duka [01]

Mari kita belajar dari pengalaman dan kisah orang lama. Aku petik dari Mingguan Malaysia 27 November 2005

Ghafar Baba simpan banyak kisah suka duka
Mukadimah

Bagi kebanyakan orang, tarikh 15 Oktober lalu, akan diingati dengan berita Tun Ghafar Baba dalam keadaan tenat. Tetapi bagi pengamat politik, tarikh itu pada tahun 1993 juga mengingatkan mereka Ghafar yang kini semakin stabil telah meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar. Dalam politik pula, beliau meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) pada 25 Oktober 1993 selepas memegang jawatan itu selama 19 tahun dan pada 1 November 1993, beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Mengimbas kembali perjuangan Ghafar dalam politik, ternyata beliau memang `manusia politik’ yang mempunyai kedudukan yang mantap dan berpanjangan.

Sebenarnya banyak kisah suka duka politik Ghafar. Mungkin ramai yang tidak tahu bagaimana beliau terpaksa beberapa kali menolak untuk dilantik sebagai anggota Kabinet. Beliau juga pernah memohon untuk berhenti menjadi anggota Kabinet, satu keputusan yang sukar dilakukan di kalangan ahli politik masa kini.

Namun disebabkan tenaga dan buah fikirannya amat diperlukan, Ghafar akhirnya berjaya menduduki Kabinet sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Bagi mengimbas kembali liku-liku perjuangannya, bekas setiausaha akhbar Ghafar semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Dr. Alias Mohamed menulis rencana dua siri yang disiarkan hari ini dan esok. Semoga kisah perjuangan Ghafar ini akan menjadi panduan kita bersama khususnya di kalangan generasi muda dalam dunia politik. – Pengarang

WALAUPUN sinonim dengan Melaka, negeri tempat beliau menghabiskan hampir 60 tahun daripada hayatnya berhempas-pulas berjuang dalam politik UMNO, namun Tun Ghafar Baba sebenarnya lahir di Negeri Sembilan.

Dalam manuskrip riwayat hidupnya yang ditulis tangan dan diserah kepada saya pada tahun 1993, Ghafar menulis: “Saya dilahirkan dalam sebuah rumah kampung yang berlantaikan batang pinang, berdinding buluh dan beratap rumbia. Rumah kecil ini didirikan di pinggir hutan sebuah kampung bernama Tebat Kering, Bukit Temensu dalam jajahan Kuala Pilah. Di situlah pada 18 Februari 1925 saya dilahirkan sebagai anak keenam daripada satu keluarga yang terdiri daripada 10 adik-beradik, kebanyakannya mati waktu kecil kerana kemiskinan.”

Demikianlah Ghafar memulakan kisah kelahirannya dengan penuh menyayat hati dalam tulisan tangan yang cantik. Malah, beliau tidak berselindung dan berpura-pura betapa kemiskinan mencengkam dan menghimpit kehidupan keluarganya sejak mula dilahirkan.

Potret kemiskinan dan kesengsaraan keluarga Ghafar ibarat mendung tebal yang gelap-gelita. Beliau sendiri mencoretkan pengakuan warna kehidupan ibu dan bapanya yang sebenar sekitar akhir tahun 1920-an dan awal 1930-an.

Saodah binti Salleh, ibu Ghafar yang tercinta, bekerja kampung. Beliau mengutip damar untuk dijual di stesen kereta api Kuala Pilah dan berulang-alik ke rumah sejauh enam batu setiap hari. Keperitan hidup inilah yang akhirnya meragut nyawa ibunya dalam tahun 1931 ketika berusia 38 tahun, sewaktu melahirkan anak ke- sepuluh. Anaknya ini juga meninggal dunia.

Ghafar kemudian menceritakan kepada saya secara terbuka walaupun pada waktu itu telah berusia 68 tahun. Katanya: “Saya sangat menderita akibat kematian ibu saya.”

Seolah-olah kemelaratan hidup dan kematian ibu tidak mencukupi untuk menggerhanakan nasibnya, dua tahun kemudian dalam tahun 1933, bapa beliau pula menyahut panggilan Ilahi juga dalam usia muda iaitu 42 tahun.

Tanpa bapa, Baba bin Abdullah, yang membanting tulang dan membakar kulit di terik mentari sebagai penoreh getah, kadangkala membawa kereta lembu, kehidupan Ghafar dan adik-beradiknya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Sewaktu kedua-dua orang tuanya masih ada, keluarganya berpeluang makan daging hanya dua kali setahun – sewaktu Hari Raya Puasa dan Raya Haji, kerana di musim seperti itu daging Hari raya diagih percuma oleh orang kaya.

Selepas ibu dan ayahnya meninggal dunia, adik-beradik Ghafar tinggal dengan bapa saudara mereka, Hitam bin Abdullah, di Sungai Udang, Melaka, manakala beliau sendiri terus tinggal di Kuala Pilah dengan seorang lagi bapa saudaranya yang juga tersangat miskin.

Setiap pagi Jumaat, kata Ghafar, dia membersihkan kubur ibu dan ayahnya di Kampung Gemuruh, Kuala Pilah. Itulah tujuan sebenarnya dia menetap di Kuala Pilah.

Dengan latar belakang yang sebegitu daif maka tidak hairanlah Ghafar tidak segan-silu sering menceritakan di perjumpaan-perjumpaan ramai ahli UMNO tentang kemiskinannya. Tetapi dia tidak lupa mencuit perasaan hadirin dengan berkata: “Tamrin tak mengapalah kerana dia anak orang kaya,” sambil disambut gelak ketawa para hadirin. Ghafar biasanya mempamerkan dua personaliti – satu serius dan satu lagi periang. Ramai yang salah anggap bahawa Ghafar kurang mesra dengan orang ramai. Tanggapan ini biasanya datang daripada mereka yang kurang rapat dengan Ghafar.

Tamrin, anak kedua Ghafar selepas Sharani (kini arwah), seorang ahli perniagaan dan bekas ahli parlimen Batu Berendam, cukup arif tentang mood ayahnya ini, namun tidak bermakna Ghafar sukar ditemui dan diajak bercakap.

Malangnya, seperti yang saya sendiri saksikan, ramai di antara mereka ini mengambil peluang daripada kemesraannya.

Ghafar mula `mengenali’ Melaka hanya dalam tahun 1937 setelah beliau mengambil keputusan untuk pindah dan tinggal bersama-sama adik-beradiknya yang lain yang tinggal dengan bapa saudara mereka di negeri itu. Ketika itu Ghafar berusia 12 tahun, iaitu enam tahun setelah ibunya meninggal dunia dan empat tahun sesudah bapanya menjejak langkah ibunya.

Kata Ghafar: “Saya terpaksa meninggalkan pekan Kuala Pilah, kampung halaman yang sangat saya kasihi dan meninggalkan kubur ibu bapa saya.”

Watak Ghafar yang terlalu simple dan merendah diri jelas terpancar. Malah dalam beberapa tahun seterusnya tindakan dan keputusan-keputusan yang dibuat adalah konsisten dengan wataknya yang tidak suka menonjol diri dan mendabik dada.

Menceritakan peluang `mengaji’ dalam tahun 1930-an, Ghafar berkata: “Waktu itu ada universiti dalam negeri. Oleh itu anak-anak yang mahu melanjutkan pelajaran hingga ke universiti luar negeri hanya boleh berbuat demikian dengan memasuki sekolah Inggeris. Walaupun sekolah Inggeris, (Tuanku Muhammad School), tidak jauh dari rumah saya, tetapi tidak ada seorang pun adik-beradik saya yang ke sekolah.

“Ibu bapa saya tidak mampu membayar yuran sekolah dan membeli buku-buku. Oleh sebab itu saya sendiri dimasukkan ke Sekolah Melayu Kuala Pilah. Saya berjalan kaki ke sekolah dengan tidak berkasut sejauh enam batu setiap hari. Jika hujan saya menggunakan pelepah pisang sebagai payung,” kata Ghafar tentang kedaifan hidupnya sebagai anak sekolah.

Setelah ibu bapanya meninggal dunia dan hilang tempat bergantung, beliau terpaksa bekerja sendiri ketika usianya 10 tahun.

“Dalam tahun 1935, setiap hari saya membantu seorang Jawa menjual nasi lemak dan kadang-kadang membantu seorang Cina menjual aiskrim di sekolah saya untuk mendapat belas kasihan daripada kedua-dua mereka memberikan sebungkus nasi lemak dan secebis aiskrim percuma sebagai upah.

“Di sebelah petang saya bekerja memungut bola tenis (ball boy) dan menjadi caddy bagi pegawai-pegawai Inggeris yang bermain tenis dan golf di Kuala Pilah dengan bayaran 10 sen sehari. Saya pernah menjadi ball boy kepada Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, yang kemudiannya menjadi Yang di-Pertuan Agong Pertama,” kata Ghafar.

Siapa sangka dengan takdir Tuhan, 25 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1959, anak yatim piatu yang dibakar terik mentari di padang golf bertemu kembali dengan baginda yang telah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam Persidangan Majlis Raja-Raja Melayu sewaktu Ghafar menjadi Ketua Menteri. Walaupun beliau menyedari beliau adalah bekas pemungut bola tenis Tuanku Abdul Rahman, tetapi “kami tidak pernah membuka terumba lama itu.”

- Tuan White

Ghafar menceritakan pada suatu hari dia pernah menjadi caddy kepada seorang pegawai Inggeris, Tuan White. Beliau ialah Guru Besar Tuanku Muhammad School. Menurut Ghafar, Tuan White cuba melakukan kekasaran terhadapnya kerana Ghafar gagal mencari bola golfnya yang hilang dalam rumput panjang.

“Kerana takut dipukul, saya cabut lari dan tidak pergi sekolah selama tiga hari. Selepas itu saya memberanikan diri ke sekolah. Malangnya saya didera pula oleh guru besar kerana tidak datang ke sekolah selama tiga hari.”

Cerita Ghafar ini ialah cerita budak malang yang jatuh ditimpa tangga yang banyak berlaku kepada kanak-kanak kampung yang tidak dapat mempertahankan diri dibandingkan anak-anak pembesar dan anak raja.

Pada tahun 1957, setelah memenangi pilihan raya kebangsaan yang pertama diadakan pada 27 Julai 1955, Ghafar dijemput melawat England oleh Colonial Office di London bersama-sama dengan empat orang lain.

Kata Ghafar: “Waktu melawat sekolah latihan guru-guru di Brinsford Lodge di luar kota London saya terkejut kerana tidak disangka-sangka berjumpa semula dengan Tuan White, pegawai Inggeris yang saya benci itu. Rupa-rupanya dia berada di maktab tersebut sebagai principal. Saya ingin membangkitkan cerita lama waktu saya menjadi caddy di Kuala Pilah dahulu, tetapi tidak sempat kerana saya terpaksa pergi ke London terlebih dahulu.”

- Pendidikan dan sekolah Jepun

Di Sekolah Melayu Kuala Pilah biasanya Ghafar mendapat tempat pertama atau kedua. Tidak pernah jatuh nombor tiga. “Tetapi malangnya,” cerita Ghafar, “setelah kehilangan kedua-dua ibu bapa saya dan oleh kerana kesengsaraan hidup, maka pada tahun 1937 saya gagal dalam peperiksaan untuk naik ke darjah lima.”

Kerana sedih dan malu, Ghafar mengambil keputusan meninggalkan pekan Kuala Pilah. Di Melaka Ghafar menyambung pelajaran di Sekolah Melayu Tangga Batu. Dan pada tahun 1939 pada usia 14 tahun beliau terpilih menjadi guru pelatih dan mengajar di Sekolah Melayu Pengkalan Balak, Masjid Tanah. Pada waktu itu pun beliau belum dapat menyusun kehidupannya. Ketika menjadi guru pelatih Ghafar masih menumpang di rumah seorang nelayan.

Setiap hari dia menunggang basikal ke Kota Melaka sejauh 11 batu untuk membeli barang-barang jualan. Di samping itu, dia menghadiri kelas mempelajari bahasa Jepun dan akhirnya lulus peperiksaan dan memasuki sebuah kolej orang-orang Jepun di Durian Daun, yang bernama Kua Kun Rin Syo. Kolej ini melatih anak-anak tempatan untuk menjadi pegawai tinggi. Dalam tempoh empat bulan beliau lulus daripada sekolah yang menggunakan bahasa Jepun itu. Ghafar kemudian menjadi guru mengajar bahasa Jepun kepada guru-guru di Melaka.

Mungkin kerana lama tidak menggunakan bahasa Jepun, maka dalam tahun 1991 beliau meminta saya mencarikan seorang pensyarah bahasa Jepun. Pada waktu itu ada seorang pensyarah bahasa Jepun di Pusat Bahasa Universiti Malaya. Oleh kerana beliau ingin menguji kefasihannya dalam bahasa itu, saya mempelawa pensyarah Melayu yang berasal dari Kelantan itu untuk menjalankan ujiannya ke atas Ghafar. Dalam ujian itu ternyata Ghafar bukan sahaja boleh membaca akhbar Jepun dengan lancar, bahkan faham maknanya sekali.

Pendudukan tentera Jepun membawa penderitaan yang lebih teruk kepada rakyat kerana kekurangan segala-galanya. Dalam tahun 1946 Ghafar ditawarkan melanjutkan pelajaran di Hiroshima. Tetapi pelayaran beliau ditangguhkan kerana ketiadaan kapal.

“Saya bernasib baik tidak jadi belayar ke Hiroshima, kerana beberapa hari kemudian tentera Amerika menggugurkan bom atom ke atas kota raya itu. Beberapa orang pelajar Malaya yang telah ke Hiroshima dahulu daripada saya mati dalam serangan bom atom yang pertama.

“Hanya seorang dua sahaja yang dapat balik dengan selamat ke tanah air. Seorang daripadanya Abdul Razak bin Hamid.”

Beliau bersama-sama dengan Ghafar di kolej Jepun di Melaka dan juga di Sultan Idris Training College Tanjung Malim di zaman British selepas perang Jepun.

Peristiwa-peristiwa zaman Jepun banyak menjadi kenang-kenangannya. Dalam masa pendudukan Jepun, dengan kehendak saudara- maranya, Ghafar mendirikan rumah tangga dengan Asmah binti Alang. Perkahwinan ini menghasilkan 10 orang cahaya mata.

- Politik sebelum Jepun

Menurut Ghafar, perjuangan rakyat India, Vietnam, Filipina, Burma, Indonesia di rantau ini untuk mencapai kemerdekaan masing-masing mempengaruhi jiwanya untuk mengambil bahagian dalam politik. Dalam tahun 1939 sebelum pecah Perang Dunia Kedua, Ghafar baru berumur 14 tahun, tetapi telah menjadi ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), pertubuhan politik pimpinan Ibrahim Haji Yaacob, seorang guru Melayu dari Temerloh, Pahang. KMM akhirnya dibubar oleh tentera Jepun.

Selepas perang, Ibrahim Haji Yaacob melarikan diri ke Indonesia kerana bimbang diberkas oleh British. Beliau menjadi persona-non-grata, iaitu tidak dibenarkan balik ke Malaya setelah negara mencapai kemerdekaan kerana dituduh menyokong dasar konfrontasi rejim Soekarno yang menentang penubuhan “Malaysia” dalam tahun 1963.

“Setelah Jepun menyerah diri pada tahun 1945, Parti Kebangsaan Melayu Malaya, (PKMM) yang dipelopori oleh Mukhtaruddin Laso dan Dr. Burhanuddin Helmi, ditubuhkan untuk mencapai kemerdekaan negara bersama-sama dengan rakyat Indonesia. Gagasan “Melayu Raya” yang dicipta oleh pemimpin-pemimpin PKMM bercita-cita untuk menyatukan Malaya dengan Indonesia. Saya menjadi ahli parti tersebut,” kata Ghafar.

- Sultan Idris Tanjung Malim

Apabila Perang Dunia Kedua tamat, Malaya diperintah semula oleh BMA (British Military Administration) dan sekolah-sekolah dibuka seperti biasa. “Saya turut menjadi guru semula dengan gaji sebanyak RM15 sebulan.”

Tetapi dalam tahun 1946, Ghafar diterima memasuki maktab perguruan SITC (Sultan Idris Training College), Tanjung Malim, Perak. Di sinilah minatnya dalam politik bermula.

Kata Ghafar: “Di SITC saya mencuri keluar malam ke pekan Tanjung Malim untuk mendengar ceramah Dr. Burhanuddin, Presiden PKMM. Beliau baru balik dari menjelajah seluruh negara Asia dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan. Perbuatan meninggalkan maktab di waktu malam menyalahi peraturan dan perbuatan saya itu diketahui oleh guru-guru.”

Tetapi sehingga hari ini beliau tidak tahu apa sebabnya pihak maktab tidak mengambil tindakan terhadapnya.

Di SITC sambil belajar, Ghafar menjalankan perniagaan menjual buku-buku untuk menyara hidup anak isterinya di kampung di samping menumpukan masa dalam perjuangan politik.

“Pada tahun ketiga (1949) saya dilantik menjadi Ketua Penuntut SITC, satu-satunya jawatan yang sangat-sangat diminati oleh setiap orang penuntut waktu itu. Pengetua kolej ialah seorang berbangsa Inggeris. Pada anggapannya kalau saya menjadi Ketua Penuntut maka saya tidak akan menentang Inggeris,” kata Ghafar.

Sebaliknya, Ghafar menggunakan kesempatan ini untuk menyalakan lagi semangat nasionalisme di kalangan penuntut bagi meneruskan perjuangan dalam politik apabila balik ke negeri masing-masing.

Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) diharamkan oleh British pada tahun 1948 dan banyak pemimpinnya ditahan. Ghafar kemudian menyambung perjuangan dalam Trade Union dan akhirnya dia dipilih menjadi Setiausaha Kesatuan Guru-Guru Melayu Melaka selama tiga tahun. Selepas itu beliau kembali cergas dalam politik.

- Masuk UMNO dan politik Melaka

Ketika diadakan perhimpunan besar di Sultan Sulaiman Club pada 1 April 1946 bagi membincangkan penubuhan UMNO Ghafar tidak dapat hadir. Tetapi PKMM turut menghantar wakil. Pada 11 Mei 1946 UMNO dilahirkan di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar, bekas Menteri Besar Johor.

Tujuan UMNO ditubuhkan ialah untuk menumbangkan Malayan Union, yang diwujudkan oleh British untuk menyatukan semua negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Rancangan British ialah untuk menguasai pemerintahan negeri-negeri di Tanah Melayu, manakala raja-raja dijadikan ketua agama dan adat di negeri masing-masing. Malangnya tanpa merujuk kepada rakyat Melayu raja-raja Melayu kesemuanya menandatangani perjanjian gagasan Malayan Union yang diperkenalkan oleh utusan British, Sir Mac Micheal.

UMNO menentangnya dengan hebat. Di merata-rata tempat, terutama di ibu-ibu negeri, perhimpunan raksasa orang Melayu diadakan bagi menentang Malayan Union. Akhirnya, Malayan Union dikuburkan dan digantikan dengan satu perjanjian baru dalam tahun 1948 yang dinamakan Federation of Malaya Agreement. Menurut Ghafar: “Federation of Malaya Agreement adalah lanjutan Kolonial British terhadap negara kita.”

Minat Ghafar dalam politik membawa beliau kepada pidato Tunku. “Pada 30 Ogos 1951 pertama kali saya mendengar pidato Tunku Abdul Rahman, Presiden UMNO, sewaktu Tunku berkunjung ke Melaka. Ucapan beliau meyakinkan saya bahawa perjuangan UMNO adalah tegas untuk mencapai kemerdekaan sesuai dengan perjuangan PKMM yang diharamkan dalam tahun 1948. Tetapi waktu itu UMNO ingin berjuang secara perlembagaan, bukannya dengan kekerasan seperti PKMM.”

Ghafar tidak membuang masa dan memasuki UMNO. Beliau terpilih menjadi Setiausaha UMNO Bahagian Melaka hingga 1955, kemudiannya menjadi ketua UMNO bahagian itu selama 23 tahun berturut-turut tanpa bertanding.

Di Perhimpunan Agung UMNO Melaka pada 1953 satu resolusi diluluskan menuntut British mengadakan pilihan raya di Malaya untuk menentukan hasrat rakyat sama ada mahu merdeka atau tidak. Pada mulanya UMNO menuntut hanya 60 peratus daripada ahli Federal Legislative Council dipilih oleh rakyat sebagai permulaan. Tetapi British menolak.

Setahun kemudian, pada tahun 1954, sekali lagi Perhimpunan Agung Khas UMNO diadakan di Melaka. Kali ini UMNO Melaka membuat resolusi yang lebih keras iaitu mendesak British mengadakan pilihan raya seratus peratus. Akhirnya British bertolak ansur dengan UMNO yang mendesak mengadakan pilihan raya bagi memilih 52 orang wakil dalam Dewan Undangan Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) yang mengandungi 98 orang ahli. Parti yang menang dalam pilihan raya mendapat tujuh kerusi tambahan (nominated members).

- Pilihan raya 1955

UMNO meletakkan 35 orang calon dalam pilihan raya yang berlangsung pada 27 Julai 1955. MCA 15 dan MIC 2. Ghafar salah seorang calon yang bertanding di kawasan Melaka Luar dengan mendapat majoriti 26,226 undi mengalahkan Jaafar Tan, calon Parti Negara yang hilang deposit. Parti Perikatan yang didukung oleh UMNO, MCA, MIC menang 52 kerusi dan kalah satu kerusi di Kerian, Perak kepada calon tunggal Pas, Haji Ahmad Haji Husin.

Ketika UMNO bertapak di Melaka ia menjalankan kegiatannya di sebuah bangunan buruk No. 47, Mill Road, Pekan, Melaka. Bangunan ini dipinjamkan oleh seorang sahabat Ghafar, Tambi Abdullah, untuk dijadikan pejabat UMNO Bahagian Melaka dengan percuma. Waktu itu UMNO tidak mampu mengadakan seorang budak pejabat.

“Jadi saya sendiri membersihkan pejabat setiap hari dan menaip surat-surat. Di sebelah malam saya berkempen menghidupkan UMNO yang baru bertapak itu. Dalam tahun 1951 UMNO Melaka mempunyai 49 ahli. Ketika dipilih menjadi Setiausaha Bahagian, bilangannya meningkat lebih 30,000 orang,” kata Ghafar.

Ghafar meninggalkan UMNO Melaka pada tahun 1972 setelah dipecahkan kepada empat bahagian mengikut kawasan pilihan raya pada waktu itu.

Bersambung esok

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: