Isteri kecewa suami persiakan kesetiaan

Isteri kecewa suami persiakan kesetiaan

Tidak kenal maka tidak cinta, sudah kenal maka tidak dapat dilupa. Kasih, sayang dan cinta tidak boleh dijual beli, malah manusia akan menjadi gila jika tidak bijak menanganinya.

Cinta amat indah, malah kehidupan semasa di lamun cinta bagaikan mimpi yang tidak sudah, sentiasa teringat dan terkenang-kenang.

Hakikat kasih sayang dan cinta membawa bahagia tidak akan kesampaian apabila ikatan perkahwinan menjadi rapuh. Panas yang diharap sampai ke petang, rupanya diganggu hujan di tengah hari.

Demikian kisah yang ingin saya paparkan buat renungan pembaca minggu ini. Kisah isteri yang dipermainkan suami untuk berpoligami.

Membaca e-mel kiriman Hayati, saya dapat menyelami perasaannya yang terluka, maklumlah, kesetiaan terhadap suami selama lapan tahun telah dipersiakan.

“Pernikahan saya dengan Imran tidak direstui keluarga suami kerana mereka punya kedudukan dan pangkat. Saya tidak kisah kakak. Walaupun masa bertunang hanya ibu saudara suami saja yang sarung cincin, saya tidak ambil hati. Yang penting kami saling menyintai dan ingin hidup bersama. Saya pasrah dengan kehidupan yang bakal saya lalui, walaupun sebelum bernikah, seorang wanita yang mengaku kakak angkat suami bernama Sofia menelefon minta saya jangan bernikah,” kata Hayati memulakan cerita.

Seperti diduga kata Hayati, setelah bernikah dia dan suami disingkir keluarga mentua. Namun, dia bersyukur kerana setelah bernikah dia terpaksa l pulang ke kampung di Pantai Timur kerana ibunya meninggal dunia.

“Mungkin itulah hikmahnya kakak… Tuhan ingin melindungi saya dari menjadi mangsa ibu mentua. Imran berulang-alik melawat saya di sana sehingga saya mengandungkan anak kedua.

“Lama kelamaan saya terfikir sampai bila kami mesti hidup begini, terpisah. Saya kemudian berpindah ke Kuala Lumpur. Di kota, dugaan buat saya semakin hebat. Imran selalu balik lewat, kadang kala sampai ke pagi. Saya faham tugasnya sebagai pereka dalaman. Biarpun saya mula curiga tapi saya lempar jauh-jauh, tidak mahu rumah tangga kami tergugat,” tambah Hayati.

Pada masa yang sama Sofia, kakak angkat suami pula kerap berkunjung ke rumah, ada masa dia akan bermalam. Hayati mula rimas dengan kerenahnya itu, malah Sofia sanggup menanggung segala perbelanjaan rumah termasuk juga pakaian saya.

“Mulanya saya terfikir juga kenapa dia terlalu baik hati, sampai belanja rumah dan anak saya pun dia sanggup jaga. Rupa-rupanya saya yang diperbodohkan suami dan keluarganya. Mereka sudah tahu dia punya hubungan dengan Sofia. Saya yang tidak tahu, lurus bendul, percayakan suami.

“Hancur remuk hati Tuhan saja tahu, tetapi saya nekad, biarlah saya bermadu dengan Sofia daripada terus menyaksikan lakonan mereka. Saya fikir orang lelaki ini kalau kita baik sangat pun dia akan pijak kepala, kalau kita larang dia akan buat, lebih baik kita suruh…”

Ketika sedang bersiap-siap untuk bernikah dengan Sofia, sekali lagi suami buat hal. Kali ini dia tersangkut dengan seorang gadis yang bekerja sebagai kerani bernama Wan. Peliknya, Sofia terlebih dahulu dapat menghidu buah hati baru Imran daripada Hayati sendiri, apa lagi, mengamuklah dia kerana Imran tidak pedulinya lagi sebaliknya lebihkan Wan.

Menurut Hayati dia mendapat tahu hubungan Imran dengan Wan selepas terbaca Sistem Pesanan ringkas (SMS) yang dikirim oleh Wan kepada suaminya menggunakan nama samaran Baby.

“Terkena kali kedua saya tidak mendiamkan diri. Saya bersemuka dengan suami dan dia mengaku ada hubungan dengan Wan dan akan menikah dengannya. Saya tanya bagaimana dengan Sofia? Dia tidak jawab tetapi dari raut wajahnya saya tahu dia serba salah. Kalau boleh semua nak kaut, saya, Sofia dan Wan. Itulah lelaki… Nafsu lebih daripada kemampuan,” tambah Hayati.

Kehadiran Wan menjadikan suami langsung tidak pedulikan Hayati dan anak-anak, tambahan pula dia selalu pergi out-station, sesekali sahaja balik ke rumah, itupun kalau terpaksa. Kecewa dengan sikap suami, Hayati akhirnya pulang ke kampung untuk memujuk hati dan mencari ketenangan. Ketiadaannya menjadikan Imran berpesta sakan sehingga sanggup membawa Wan ke rumah.

“Sudahlah suami buat perangai, kekasihnya, Wan pula menganggu saya dengan sms meminta izin untuk bernikah dengan Imran. Cuba kakak bayangkan keadaan saya. Belum selesai masalah kedua, masalah ketiga pula datang.. semuanya kerana perempuan dan sikap suami. Bukan sehari dua perkara ini kakak, sudah empat tahun. Yang saya sedih, suami kini telah berani mengutuk saya di depan keluarganya. Dulu saya bagaikan ratu dalam hidupnya, malah dia sanggup bertegang urat dengan ibunya kerana saya. Sekarang keadaan telah berubah. Setelah saya diterima keluarganya, dia pula yang buat hal, kutuk dan hina saya kerana sedang dilamun cinta dengan Wan,” tambah Hayati.

Setelah memikirkan semasak-masaknya dan mendapatkan nasihat kawan-kawan dan keluarga Hayati melakukan solat istiqarah untuk meminta petunjuk.

“Tiga hari selepas itu hajat saya dimakbulkan. Saya mendapat petunjuk. Saya terjumpa gambar-gambar suami dan Wan bercuti di Genting Highlands dan sepucuk surat tersimpan dalam beg milik suami. Hati saya bagai disiat-siat.. pedih dan sakit yang teramat sangat. Sekali lagi saya kecewa. Hancur luluh hati saya. Perasaan saya benar-benar terluka. Saya tidak sangka suami sanggup buat saya sampai begini.

“Kemuncak kemarahan saya meletup pada bulan Ramadan lalu. Selepas melahirkan anak ke empat, Imran menyuruh saya balik kampung. Kepulangan itu adalah yang terbaik buat saya. Saya nekad untuk berpisah dengannya..” cerita Hayati.

Menurut Hayati apa yang berlaku menjadikan dia serik dan tidak mahu lagi jadi seperti patung. Kerana terlalu baik, sampai suami pijak kepala. Kini Hayati inginkan penyelesaian, ingin hidup sempurna seperti orang lain, tanpa kontroversi dan dihimpit luka.

“Walaupun saya terluka tapi saya sanggup terima Sofia sebagai madu, bukan Wan. Suami mengugut jika saya tidak menerima Wan, dia akan melepaskan saya. Saya nekad dan reda. Dulu, di awal kekalutan, saya pernah ke Mahkamah Syariah, isi borang tuntut cerai tetapi tak sampai hati nak serah sebab fikirkan anak-anak. Tapi kini tidak lagi. Saya tidak sabar nak bebas. Wan pula pernah mengugut tidak akan tinggalkan Imran walaupun terpaksa menjadi wanita simpanannya, bayangkan kakak, betapa beraninya wanita zaman ini… sudahlah hak kita hendak dirampas, dia main ugut-ugut pula… sakitnya hati saya.”

Kini Hayati digantung tidak bertali. Sudahlah hati disakiti, diri pula dianiaya. Suami tetap dengan kisah asmaradananya yang tidak berkesudahan. Anak-anak terbiar tanpa kasih sayang seorang ayah. Mentua tak ambil kisah hal anak mereka.

“Saya sudah jemu kakak.. Kasih sayang saya kepadanya sudah berakhir. Segala kenangan bersamanya telah saya matikan. Saya mendoakan satu kehidupan lebih manis selepas kekecewaan yang parah ini. Pada saya lelaki bukan pelindung tetapi pendera fizikal dan mental wanita yang bernama isteri,” demikian Hayati menamatkan kisahnya.

Saya tidak mahu mengulas panjang kerana tidak berada di tempat Hayati. Sebagai perempuan, apa yang di rasanya turut mengugat naluri saya sebagai wanita dan isteri. Memang pahit kalau hak kita terlepas pada orang lain, sayang bagaimanapun, jika sudah begitu ditentukan, itulah yang harus diterima.

Saya kagum dengan kesabaran Hayati berdepan dengan dua wanita yang cuba merampas suaminya. Namun hendak salahkan mereka juga tidak patut, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Nasihat saya buat Hayati, sebaik-baik tempat untuk merujuk adalah pejabat agama yang boleh memberi nasihat dan petunjuk terhadap tindakan yang harus dilakukan bagi mencari penyelesaian.

Biar apa pun keputusannya, saya harap Hayati mengutamakan anak-anak dan masa depan mereka. Janganlah di sebabkan kesilapan orang tua, masa depan anak-anak terjejas dan mereka membesar tanpa kasih sayang ibu bapa.Jika kita sebagai ibu bapa tidak tahu mencorakkan rumah tangga, janganlah bebannya diletakkan di bahu anak-anak yang baru mengenal dunia.

Kepada para suami, janganlah ambil kesempatan di atas kebaikan isteri. Fikirkanlah erti perkahwinan yang sebenarnya. Ia bukan perkongsian sehari dua tetapi seumur hidup. Ia satu pengorbanan dan kesetiaan yang perlu dihargai antara satu sama lain.

Mengakhiri catatan, berbekalkan pengalaman dan pengamatan, saya percaya, dalam arus percintaan dan perkahwinan, kata orang, perempuan jugalah yang akan menyakiti hati perempuan. – NORMALA HAMZAH (kaknor@utusan.com.my)

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: