Isteri minta cerai setelah digoda suami orang

Isteri minta cerai setelah digoda suami orang
KISAH yang dipaparkan minggu ini memang menarik, jarang dapat anda baca tetapi mungkin telah banyak anda mendengar dan melihatnya berlaku di sekeliling anda, iaitu apabila lelaki yang sudah bergelar suami suka menggoda isteri orang.

Tidak keterlaluan kalau saya katakan banyak rumah tangga yang hancur kerana tidak memahami situasi seperti ini. Apabila suami menyedari masalah isterinya bercinta dengan orang lain atau si isteri terasa cinta keduanya lebih menarik daripada cinta suaminya dia mula minta cerai.

Namun kisah yang dipaparkan di bawah ini sedikit sebanyak ada persamaannya. Peristiwa ini berlaku kepada Ezanawati dalam pengakuannya melalui e-mel kepada penulis. Beliau memberitahu bagaimana dia juga hampir bercerai, semuanya gara-gara digoda suami orang. Dan sebagai insan biasa dia hampir gagal menahannya.

“Saya rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan di ruangan ini, sekurang-kurangnya kisah kita boleh dijadikan pedoman dan pengajaran kepada pembaca lain di ruangan popular ini. Kadangkala ada juga perkara buruk yang berlaku itu sama ada kepada suami atau isteri ia boleh menjadi `ubat’ dan pengajaran dalam hidup kita.

“Memang masalah kita berbeza, hidup kita sendiri amat berlainan dengan kehidupan yang dilalui orang lain, tetapi perbezaannya tidaklah banyak sangat dan masih ada benda yang boleh dipelajari dan diperbaiki kalau mahu, dengan memahami masalah orang lain. Paling kita boleh ubah sikap kita dan sedar siapa kita sebenarnya.

“Saya kadangkala teringin juga hendak meluahkan rasa hati pada seseorang tetapi, apabila jawapan beliau sering kali lebih berbentuk hukuman, seolah-olah menggambarkan bahawa Allah hanya suka menghukum semua umat-Nya yang terpesong, dan bukan seperti yang sering kali tertanam di jiwa kita, bahawa Allah itu Maha Pengasih, dan Maha Mengampuni, maka saya rasa eloklah saya meluahkan rasa hati saya kepada Puan Maimunah sahaja.

“Paling tidak puan boleh mendengar dan tidak menghukum dan menyalahkan sesiapa. Sebab bukan semua masalah kita sama, perasaan kita berbeza, jadi apabila ia terlalu menekan dan memaksa kita melakukan sesuatu yang tidak kita senangi tentu kita tidak suka.

“Untuk tidak membuang masa elok saya ceritakan pengalaman pahit saya, bahawa saya seorang profesional telah berumah tangga lebih dua abad. Perkahwinan kami telah dikurniakan tiga orang cahaya mata, kesemuanya dalam lingkungan belasan tahun. Perkahwinan kami berdasarkan kasih sayang, pilihan kami sendiri.

“Selama dua abad kami berkongsi hidup, saya rasa amat bahagia, adatlah, dalam perkahwinan sememangnya kami melalui pelbagai gelora dan badai tetapi saya akui kehidupan kami bahagia, dan saya amat bersyukur dengan apa yang kami peroleh selama ini.

“Tetapi malangnya, saya rasa kemungkinan Allah hendak menduga kebahagiaan yang kami nikmati selama ini. Langit tak selalu cerah kata orang, dan Allah juga hendak menguji tahap keimanan umat-Nya apakah mereka alpa kepadaNya, sabar menerima ujian ataupun tidak.

“Selalunya kita biasa membaca di ruangan ini suami diganggu orang ketiga, tetapi kali ini saya pula digoda suami orang, Ikram namanya. Semuanya bermula secara tidak sengaja, dan mungkin juga saya dalam khayalan dan bertindak tanpa berfikir secara lebih matang.

“Dan tidak keterlaluan kalau saya katakan apabila hidup sudah selesa, tenang, aman bahagia dan fikiran tidak dilanda dengan masalah lain, kita mula berasa bosan dan bermulalah episod baru konon terasa hidup ini sunyi dan mulalah merasakan diri ini dilanda angin kesunyian. Sebenarnya kini saya dapat rasakan saya cuma mengada-ngadakan rasa sunyi, saya cuma melayan perasaan kerana hidup telah selesa tanpa masalah.

“Sebenarnya rasa sunyi dan bosan itu terbit disebabkan dunia saya tidak ada aktiviti lain selain daripada rumah dan pejabat. Untuk menguruskan anak-anak saya tak perlu bimbang, sebab mereka sudah besar dan boleh mengurus diri sendiri. Dan saya tak perlu uruskan rumah tangga dengan pelbagai tugas yang boleh membunuh rasa bosan, sebab ada pembantu.

“Sementara itu suami saya pula terlalu sibuk dengan perniagaannya dan kami jarang-jarang dapat bersembang bersama. Pendek kata, dia buat hal dia demikian juga saya, sibuk dengan hal sendiri, contohnya saya cuma sibuk dengan tugas di pejabat.

“Apabila pulang ke rumah, teman saya hanyalah televisyen dan Internet. Apabila terlalu lama dan suka berada di pejabat adalah seseorang yang menaruh minat kepada saya. Sebenarnya saya tidak pernah menduga bahawa persahabatan saya dengan Ikram boleh mengeruhkan keharmonian dan meretakkan kebahagiaan rumah tangga yang lebih dua dekad saya bina ini.

“Selama ini saya terlalu yakin tidak ada apa yang akan menggugat kebahagiaan kami suami isteri, kerana suami saya amat menyayangi saya dan tidak pernah berlaku curang. Begitu juga saya, sama-sama berusaha supaya hidup kami bahagia hingga ke akhir hayat.

“Tetapi tanpa saya sedari kedatangan Ikram dalam hidup saya telah merobah segala-galanya. Walaupun beliau ditempatkan di jabatan yang berlainan dengan jabatan saya, namun tugas menyebabkan kami terpaksa berinteraksi. Sebagai orang yang baru mula bekerja, saya sering memberikan bimbingan kepada beliau.

“Apa yang saya lakukan selama itu hanyalah sekadar menjalankan tugas saya semata-mata, dan saya langsung tidak menyedari bahawa Ikram telah mula menaruh hati pada saya. Bermula dengan projek yang kami lakukan bersama, menyebabkan dia sering berhubung dengan saya. Mula-mula perhubungan kami berlangsung secara formal, sama ada melalui e-mel, telefon mahupun apabila di dalam mesyuarat, mungkin beliau menghormati saya disebabkan jawatan saya lebih tinggi daripadanya. Tetapi lama-kelamaan e-mel dan perbualan telefon beliau mula berubah kepada lebih mesra, seolah-olah seperti rakan biasa.

“Saya amat menyenangi sikapnya yang bersahaja dan suka berseloroh, tetapi pada masa yang sama, saya juga mengagumi buah fikirannya yang matang dan penuh intelektual. Saya akui layanannya terhadap saya berbeza dengan rakan-rakan lain di pejabat. Kalau dengan rakan-rakan lain terutama wanita, Ikram langsung tidak pernah menunjukkan sebarang minat apatah lagi bersembang dan berseloroh seperti yang dilakukan bersama saya.

“Ikram amat diminati ramai di pejabatnya mahupun di kalangan petugas lain di pejabat saya kerana sikapnya yang peramah itu. Tetapi yang jelas dia nampaknya lebih selesa dan amat rapat dengan saya, sering datang ke pejabat saya apabila ada perkara yang ingin dibincangkan biarpun perkaranya amat kecil yang dia sendiri boleh selesaikan.

“Dalam pada itu apa yang saya perhatikan selama enam bulan kami berkenalan sikapnya semakin hari semakin mendekati diri saya, walaupun Ikram tahu saya sudah bersuami. Pendek kata, dia sentiasa merapatkan dirinya seolah-olah ingin menggoda saya, cuma tidak diluahkan kerana perasaan malunya kerana kedudukan dan jawatan saya.

“Kadangkala saya terfikir juga, adakah Ikram menganggap saya ini tidak lebih daripada seorang kakak, memandangkan usia saya yang jauh lebih tua daripadanya. Tetapi pada masa yang sama hati naluri saya dapat merasakan apa yang dirasai oleh Ikram, iaitu kasih sayang dan lemah lembut seorang kekasih. Cuma yang tidak ada pujuk rayu sahaja.

“Pada mulanya saya ingin menafikan hati naluri saya, oleh kerana saya tidak pernah seumur hidup setelah berkahwin mahu bercinta dengan lelaki lain, dan saya rasa amat berdosa terhadap suami saya yang tidak pernah mencurigai saya semasa saya bekerja, walaupun perkahwinan saya ketika itu sedang dilanda krisis, dan jiwa saya memang kesunyian.

“Apa yang membuatkan perasaan saya mula mengasihinya kerana setiap hari Ikram berusaha membuatkan hati saya ceria dan gembira. Ikram bersungguh-sungguh cuba menarik perhatian saya, melayani perasaan saya, menemani saya setiap hari dengan gurauannya, e-melnya dan smsnya, hingga membuatkan perasaan dan jiwa saya menggeletar.

“Kadangkala pula saya rasakan bahawa Ikram hanya cuba menggoda saya. Dan ini yang membuatkan saya berasa curiga terhadap sikapnya. Mungkinkah Ikram hanya cuba hendakkan sesuatu daripada saya, ataupun kemungkinan beliau benar-benar telah jatuh hati pada saya. Setelah hampir enam bulan lamanya beliau melayan perasaan dan memainkan jiwa saya dan memberikan penuh perhatian pada saya, lama-kelamaan saya mengalah, saya akhirnya jatuh cinta terhadapnya. Saya mengaku kalah kerana saya adalah insan biasa.

“Tetapi yang peliknya apabila saya berterus terang pada Ikram tentang perasaan saya yang sudah terpaut padanya, dan saya juga beritahu dia bahawa rumah tangga saya dalam krisis, Ikram tiba-tiba berubah terus bertindak dingin dan melarikan diri daripada saya. Ini yang membuat saya berasa hairan apa sebenarnya tujuan Ikram memainkan perasaan saya atau dengan lebih tepat cuba menggoda saya selama ini.

“Saya tertanya-tanya pada diri sendiri mengapa Ikram boleh berubah secara tiba-tiba, dia juga seolah-olah cuba melarikan diri daripada saya. Apa salah saya? Dan mengapa dia sanggup hancurkan hati dan perasaan saya setelah sekian lama dia memainkan hati dan jiwa saya. Apa dosa saya? Apa silap saya?

“Apa yang membuatkan jiwa saya lebih tertekan mengapa dia dengan tiba-tiba bertindak melarikan diri daripada saya. Jiwa saya remuk. Lebih kejam lagi dia minta bertukar ke jabatan lain jauh daripada saya. Walhal, pada mulanya dialah yang beria-ia sangat melayan saya hingga menyebabkan saya jatuh hati dan terlalu sayang padanya.

“Tetapi mujurlah perhubungan kami tidak pernah terlanjur, kerana saya masih menjaga kesucian diri sebagai seorang isteri. Cuma apa yang saya terkilan saya amat menyayangi dia hinggakan rumah tangga saya dilanda krisis pun saya tidak berusaha untuk menyelamatkan keadaan. Saya tak tahu apa yang perlu saya lakukan, terlalu sukar bagi saya melupakan Ikram. Hinggakan saya sering menangis sendirian merinduinya, tetapi pada masa yang sama saya tahu masih ada peluang untuk berdamai dengan suami saya.

“Oleh kerana suami saya juga sedar kesilapannya selama ini, saya tidak lagi menghubungi Ikram dan dia juga tidak menghubungi saya. mungkin dia sendiri berasa takut dan bersalah kerana secara tiba-tiba dia tersedar kesilapannya mencintai isteri orang.

“Kini rumah tangga kami telah pulih semula, kerana saya insaf atas kesalahan saya dan melalui ruangan ini saya ingin berkongsi pandangan dengan pembaca semua, tentang tindakan yang telah saya lakukan. Saya pasti ada antara pembaca yang mempunyai pengalaman yang sama seperti saya, apakah anda tewas di lautan cinta atau berjaya berenang ke tepian setelah mengharau badai?

“Sebenarnya kerjaya juga sering kali mencabar keimanan kita, lebih-lebih lagi jika kita berjawatan tinggi dan profesional. Ramai akan menganggap kita ini berhati besi dan tidak mudah lentur. Tetapi apabila kita lebih banyak menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah, dan apabila kita sering menjadikan tugas kita itu sebagai suatu escapism daripada stress di rumah, maka kita mudah terpengaruh dengan apa yang digelar office romance.

“Lebih-lebih lagi apabila suami mula tidak begitu memberi perhatian kepada kita, komunikasi bersama suami juga berkurangan, kerana kedua-duanya terlalu sibuk, anak-anak juga sudah besar dan tidak lagi memerlukan kita, maka apabila ada orang yang melayan perasaan kita, kita akan cepat dan mudah sangat terpengaruh.

“Sememangnya kita ini insan yang amat lemah. Saya berharap jika ada pembaca menghadapi keadaan yang sama seperti saya, jangan dilayani perasaan jahat itu, hentikanlah segera. Saya pada mulanya juga menolak, tetapi lama-kelamaan terus dibuai mimpi-mimpi indah, oleh kerana lelaki yang datang menggoda saya bukan calang-calang orangnya. Pada masa yang sama beliau juga bukanlah seorang kasanova. Kemungkinan beliau juga menghadapi krisis dalam keluarganya. Namun seperti sebuah kisah percintaan, apabila ia berakhir, amat perit dan pedih dirasakan, tak kira berapa pun usia kita ketika itu.

“Tetapi satu nasihat saya kepada lelaki yang membaca ruangan ini. Tolonglah, jangan ganggu isteri orang, kalaupun tanpa disedari anda jatuh cinta padanya. Kemungkinan Ikram jatuh hati pada saya disebabkan sifat keibuan saya, tetapi pada semua lelaki di sana, yang ternyata trend kini ramai lelaki yang memilih wanita yang jauh lebih tua daripada mereka.”

Demikian cerita Ezanawati tentang pengalaman pahit dalam hidupnya, tidak keterlaluan kalau dikatakan kini semacam satu trend suami orang suka sangat menggoda isteri orang. Perbuatan begini bukan sahaja menghancurkan hati banyak pihak tetapi anda telah robohkan rumah tangga orang. Apa hukuman merobohkan masjid? Jadi insaflah!

Sebenarnya saya juga tidak menduga banyak masalah telah dibincangkan dalam laman web dcckmona.com, dan banyak juga pandangan diterima. Dan pandangan yang diberikan cukup bernas dan bersahaja. – http://www.dcckmona.com dcckmonaum@hotmail.com – MAIMUNAH

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: