Rashid Sibir dulu pembancuh air pelakon filem

Rashid Sibir dulu pembancuh air pelakon filem
Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Pondok Buruk, Rumah Di Tengah Sawah, Sekeras Kerikil, Quran Buruk dan Ustaz Sufi adalah nama-nama telefilem yang telah meruntun hati penonton apabila ia disiarkan oleh beberapa stesen televisyen Malaysia tidak berapa lama dulu.

Kesemua drama itu diarahkan Rashid Sibir.

Sebenarnya banyak lagi drama arahan Rashid yang berjaya membuat penonton menangis. Rashid cukup dikenali sebagai pengarah yang berjaya menyentuh hati penonton dengan kisah-kisah sedih dalam dramanya. Atas sebab itulah ramai yang melabelkan Rashid sebagai Pengarah Air Mata.

Namun kata Rashid, “Apalah kuasa yang saya ada untuk suruh orang menangis. Sebenarnya air mata penonton datang dengan sendiri kerana mereka dapat merasai setiap adegan yang dipaparkan oleh pelakon telefilem itu.

“Mungkin penonton terharu dengan adegan yang ditonjolkan kerana ia adalah realiti dan mungkin pernah terjadi dalam kehidupan masing-masing,’’ kata Rashid.

Kebanyakan drama yang di arahnya lebih cenderung kepada tema kemasyarakatan yang mencakupi tema kemiskinan, kasih sayang dan kematian yang dapat membuat penonton berfikir.

Rashid bukan sahaja berupaya mengarah malah juga menghasilkan skrip. Apa yang digarap adalah hasil pengalaman dan cerita kawan-kawan.

“Idea hasilkan Sekeras Kerikil, misalnya, saya dapat daripada penceritaan seorang kawan. Cerita itu saya kembangkan menjadi plot yang pada saya pasti dilalui oleh semua orang.

“Selain itu saya juga terapkan pengalaman saya menjaga arwah bapa yang menggunakan kerusi roda,’’ kata anak ke-11 daripada 13 beradik ini.

Sebagai penulis skrip, Rashid mampu menulis dengan cepat. Beliau boleh menghasilkan satu karya drama dalam tempoh 12 jam.

Skrip Pondok Buruk dihasilkannya dari pukul 5 pagi hingga 5 petang. Kini drama yang dihasilkan secara sekuel itu turut dijual kepada stesen televisyen di Thailand.

Dalam kes telefilem Bertaut Di Jabal Rahmah pula, Rashid mendapat idea itu sewaktu mengerjakan umrah pada 2000.

Kata Rashid, rahsia untuk membuatkan penonton suka menonton sesuatu drama adalah skrip yang dekat dengan hati mereka. Malah sewaktu menghasilkan skrip, penulis perlu meletakkan diri sebagai penonton.

“Bagi saya kalau drama atau skrip yang dihasilkan dapat memberi sedikit keinsafan kepada penonton, itu sudah memberi kepuasan di hati. Sebagai penggiat seni, saya bukan sahaja bertanggungjawab untuk mengangkat karya tempatan tapi pada waktu yang sama memberi kesedaran kepada penonton,’’ katanya yang tidak gemar membuat filem berunsur seni.

Bagi Rashid yang berusia akhir 30-an, buat apa menghasilkan filem berunsur seni kalau penonton tidak faham. Baginya, menghasilkan filem itu sudah satu seni.

Kini sibuk membuat persediaan untuk drama bersiri Cinta Semalam, Rashid sebelum ini pernah menghasilkan drama ringan yang sering membuat penonton tertawa seperti Hanya Dikau, Cik Mala Janda Berhias, Seri Pengantin, Salina dan Kutub Utara, Kutub Selatan.

Meskipun drama-drama tersebut adalah gabungan serius dan komedi namun Rashid tetap menyelitkan mesej dalam karyanya.

“Seseorang pengarah tidak boleh tertumpu pada satu genre kerana itu akan membataskan kreativiti. Saya lebih suka membuat sesuatu yang tidak dibuat oleh orang lain. Jadi bila ada yang mengikut, saya akan cari alternatif lain. Kita kena menjadi pencetus,’’ jelas Rashid yang mengagumi bakat Tan Sri P. Ramlee dan Steven Spielberg.

Dengan kreativiti Rashid juga, pelakon Jalil Hamid yang sering tampil dalam drama komedi telah ditukar oleh Rashid menjadi pelakon serius dalam telefilem Sekeras Kerikil.

Handyman

Pengarah yang berasal dari Sungai Nibung, Semerah, Batu Pahat, Johor ini mula mendapat perhatian ramai sewaktu menghasilkan drama bersiri Mat Despatch. Drama yang diterbitkan oleh Berjaya Filem itu telah disiarkan oleh RTM dari 1996 hingga 2002.

“Dulu kalau pengarah tidak ada nama, orang tidak pandang. Pernah saya bagi skrip drama Persinggahan Abadi kepada seorang produser, dia tak pandang langsung. Saya ambil balik dan arah sendiri.

“Saya beruntung kerana mendapat kepercayaan daripada Azimah Advertising. Persinggahan Abadi lakonan Susan Lancaster dan Shaharuddin Thamby merupakan drama pertama arahan saya pada 1993,’’ cerita pengarah yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Penyiaran) dari UiTM ini.

Menyingkap kembali pembabitannya dalam bidang seni, kata

Rashid, selepas menerima ijazah pada pertengahan 1990, dia menganggur selama tiga bulan. Ketika itulah dia bercadang untuk terlibat dalam bisnes percetakan di kampungnya.

Dalam usaha membina karier, Rashid memohon kerja di Serangkai Filem, tempat dia menjalani latihan amali sewaktu belajar dulu.

Biarpun memiliki ijazah, Rashid bersedia menjalankan tugas sebagai handyman di Serangkai Filem yang kerjanya membuat air minuman untuk pelakon dan krew.

“Semua itu mendorong saya untuk bekerja lebih keras. Daripada tugas handyman, saya naik setapak menjadi pengurus produksi dan selepas itu penolong pengarah,’’ katanya.

Ketika Serangkai Filem menerbitkan filem Hati Bukan Kristal, Rashid turut terbabit sebagai pengarah dubbing.

Setelah empat tahun bersama Serangkai Filem, beliau mengambil keputusan untuk bergerak solo.

“Kerja pertama saya ialah menjadi penolong pengarah kepada Othman Zainuddin untuk drama Tanah,’’ cerita Rashid yang turut membuka produksi sendiri, Opera Klasik Sdn. Bhd, pada 1995.

Filem pertama arahan Rashid ialah Sutera Putih. Filem itu telah mengangkatnya sebagai Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia pada 1997. Filem-filem lain arahan Rashid ialah Laila Isabella dan Cinta Luar Biasa.

Meskipun filem-filem arahannya mendapat sambutan hangat namun Rashid tidak terdesak untuk mengarah.

Baginya, biarlah dia mengarah filem sesekali tetapi mampu memberi pulangan yang baik.

“Saya perlu mencari sesuatu yang baru untuk kembali mengarah filem. Saya tidak mahu meneruskan gaya lama sebab saya tahu penonton akan bosan. Tunggu bila saya sudah ada kelainan yang hendak ditonjolkan, barulah saya kembali mengarah filem,” kata pengarah ini.

Rashid merupakan bapa tunggal kepada seorang anak perempuan, Shahirah, 7 tahun.

1 Komen »

  1. hajitoto berkata

    saya sangat menyukai karya pak H. Rashid sibir
    semua best

RSS feed untuk komen pos ini · URI Trackback

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: