Suami mencintai isteri orang

Suami mencintai isteri orang
Putri,
HAMPIR tiga bulan lebih saya menghadapi tekanan perasaan yang hebat disebabkan oleh kecurangan suami. Kami telah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun dan sangat bahagia dengan anak yang kian remaja. Ironinya, suami seorang yang penyayang, bertanggungjawab dan sangat romantik. Saban hari, ucapan kasih sayang dan cinta tidak pernah lekang daripada bibirnya.

Untuk pengetahuan Putri, dahulunya saya bekerja sebagai pegawai di salah sebuah bank terkenal di negara kita. Bagaimanapun, memikirkan anak dan suami serta harapan yang suci murni untuk menjadi seorang isteri yang solehah, saya mengambil keputusan untuk menerima skim pemberhentian kerja (VSS) pada tahun 1998. Ketika itu juga, negara kita sedang dilanda kegawatan ekonomi.

Entah di mana silapnya, semakin saya berikan perhatian terhadap suami, semakin banyak pula saya diduga. Hati saya sering disakiti. Adakah kerana saya tidak lagi dapat membantu suami dari segi kewangan, maka suami saya mula curang dan bermain kayu tiga? Tiga kali semuanya.

Paling malang, seleranya bukan hanya anak dara tetapi dia juga suka bermain cinta dengan isteri orang. Kes yang pertama isteri orang dan saya cepat dapat tahu dan mereka akhirnya putus. Mujur perempuan itu tinggal agak jauh dan sukar untuk mereka bertemu dan menjalinkan hubungan semula.

Kali kedua pula dengan seorang janda. Tetapi Putri, selepas tiga bulan, suami saya bercinta lagi dengan isteri orang. Saya tidak tahu, apa yang sudah jadi dengan dunia ini. Dah nak terbalik agaknya. Menyukarkan keadaan, perempuan itu tinggal satu daerah dengan kami.

Percintaan mereka sangat serius dan perempuan penjual nasi lemak itu sangat licik menyimpan rahsia daripada suaminya. Pasangan itu mempunyai empat orang anak dan kerjanya menjual nasi lemak di warung di tempat kami, membolehkan suami saya hari-hari melekat di warungnya tiga, empat jam lamanya sehari.

Sambil perempuan itu melayani pelanggan lain, dia masih sempat melayani suami saya dan bermesra dengan madah cinta menggunakan telefon bimbit. Dia juga sanggup membayarkan tambang bas suami saya semasa mereka sama-sama mengikuti satu rombongan ke satu negeri, asalkan perempuan itu dapat pergi bersama suami saya memadu asmara di dalam bas selama dua hari dua malam, tanpa pengetahuan suaminya.

Saya pula ditipu hidup-hidup oleh suami, katanya, pergi dengan kawan lelaki. Namun, hati saya berasa tidak sedap. Saya dapat merasakan kelainan dan sesuatu yang pelik sedang berlaku. Selama percintaan hangat mereka, saya menjadi pembaca setia khidmat pesanan ringkas (SMS) mereka selama satu tahun lima bulan. SMS mereka sangat lucah dan sering meluahkan rasa cinta serta rindu. Apabila saya tanyakan kepada suami, katanya itu kawan lelakinya. Saja mereka suka-suka?

Walaupun saya berasa curiga, saya tidak mahu bergaduh tanpa bukti. Apabila saya menelefon perempuan itu, tiada jawapan. Puas saya menasihati suami, tetapi gagal. Sehinggalah pada suatu hari menjelang subuh, SMS daripada perempuan itu telah mengejutkan saya dari lena.

Tanpa disedari oleh suami, saya telah mencuri baca dan meneliti di ruangan multimedia di dalam telefon bimbitnya. Alangkah terperanjatnya saya, begitu banyaknya gambar perempuan itu dan yang paling menyakitkan hati serta memualkan, tidak terkecuali gambar mereka sedang bercumbuan mesra. Hanya Tuhan yang tahu betapa remuknya hati saya. Jijik pun ada kerana mengenangkan status wanita itu yang masih isteri orang. Kalau zaman Rasulullah dahulu, kedua-duanya direjam sampai mati.

Lebih menyakitkan hati dan tidak boleh saya terima dan lupakan adalah suara-suara yang tidak sepatutnya, yang mereka rakamkan bersama, begitu banyak sekali berserta ungkapan-ungkapan cinta berahi daripada suami saya untuk perempuan itu. Putri bayangkan, suami mengakui hanya inginkan perempuan itu sahaja. Di mana letaknya saya sebagai isterinya yang sah dan halal ini?

Saya pernah mengadu hal ini ke pengetahuan suaminya. Pada mulanya, suaminya tidak mempercayai kata-kata saya. Akhirnya, setelah saya tunjukkan bukti-bukti gambar mereka bermesra di dalam telefon yang telah saya cuci di kedai gambar, barulah suaminya percaya. Tetapi, entah kenapa, kemudiannya saya dihalau oleh suaminya. Katanya, dia tidak mahu lagi saya mengganggu keluarganya.

Padahal, isterinya yang mula mengganggu keluarga saya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Teman-teman saya menganggap suaminya dayus kerana masih boleh menerima kecurangan isterinya tanpa berasa apa-apa dan tanpa sebarang tindakan susulan. Suaminya tetap menerima isterinya sehingga kini. Saya mula fikirkan perkara karut-marut yang mungkin telah dikenakan oleh isteri itu terhadap suaminya.

Kini, walaupun sudah tiga bulan lebih saya memujuk hati ini, namun, saya masih tidak boleh menerimanya. Hati saya telah luka dan saya rasa amat kecewa di atas perbuatan suami. Saban hari saya menangis apabila teringatkan bayangan dosanya.

Rumah tangga kami tidak aman lagi. Saya kini semakin kerap mengambil pil penenang kerana tidak tahan lagi dengan tekanan ini. Lantas, saya mengambil keputusan untuk bekerja semula dan telah pun mendapat pekerjaan yang sekurang-kurangnya boleh menjamin masa depan saya dan anak-anak, jika apa-apa berlaku.

Suami saya telah menyatakan kekesalannya yang teramat sangat dan menginsafi perbuatannya. Dia juga berjanji tidak akan berlaku curang lagi dan akan menyayangi saya serta anak-anak dengan penuh rasa tanggungjawab.

Bagaimanapun, saya masih lagi tidak dapat melupakan kecurangan yang dilakukannya itu. Saya hampir tidak percaya tetapi dia kini sering menangis dan berasa amat kecewa apabila melihatkan keadaan diri saya sekarang yang kurus kering akibat perbuatannya. – ISTERI DERITA

Isteri Derita,
Sememangnya, sekali kepercayaan hilang, untuk membina semula perhubungan bukan sahaja mengalami jalan sukar, tetapi juga menyakitkan. Lebih mudarat lagi bagi sesetengah isteri yang menjadi mangsa, apabila ia turut mempengaruhi keyakinan diri mereka sendiri.

Apa pun, ia terpulang kepada sejauh mana kekuatan dan pengurusan emosi empunya diri. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya malah jika kena gayanya, ia boleh menjadi satu perangsang. Itulah jalan yang sepatutnya puan pilih dan bukannya ubat penenang, terutamanya jika tanpa preskripsi.

Puan, perhubungan merupakan sesuatu yang terus berkembang. Ia bukan statik. Oleh kerana itulah, kita sentiasa melihat bahawa usaha-usaha berkaitan isu-isu kepercayaan tidak pernah berpenghujung. Apabila pemeteraian perhubungan telah dimungkiri, ia tentunya memberikan kesan terhadap soal kepercayaan yang kita bincangkan. Itu jelas.

Malangnya, ia juga boleh mengambil masa yang lama untuk luka itu disembuhkan. Menurut pakar-pakar di bidang perhubungan insan, kira-kira dua tahun masa diambil sebelum rasa percaya itu dapat dipulihkan. Keadaannya tidakkan sama seperti dulu lagi. Bukan bermakna, puan tidak akan berpeluang untuk menikmati perhubungan yang hebat lagi tetapi maknanya, puan mungkin tidak dapat menikmati perhubungan yang sehebat dulu lagi. Masih boleh hebat.

Untuk meletakkan harapan dan berpura-pura sebaliknya hanya akan meningkatkan peluang untuk mengulangi kesilapan yang serupa. Kesannya pasti lebih menyakitkan.

Bagaimanapun, bukanlah satu perkara yang mustahil untuk membina semula kepercayaan. Tidak mustahil, ia boleh membawa kepada perhubungan yang lebih kukuh. Ada baiknya puan menerima apa yang telah terjadi tanpa perlu memperincikannya agar tidak merosakkan jiwa sendiri. Kenal pasti di mana silapnya.

Mungkin ada sesuatu yang telah hilang, baik pada suami puan sendiri atau dalam hubungan kalian berdua. Seperti tulang yang patah boleh menjadi kuat semula setelah dirawat, begitu juga kecurangan sebenarnya boleh mengembalikan keutuhan perhubungan.

Kalau puan merasakan rumah tangga puan benar-benar berbaloi untuk diselamatkan, puan komited dan bekerja keraslah ke arah itu, walau apa cara sekalipun. Berikut adalah perkara yang mungkin puan perlu pertimbangkan.

Memandangkan sikapnya yang berulang-ulang, puan perlu menjelaskan kepada suami penderitaan yang telah puan lalui disebabkan oleh perbuatannya. Jikalau dia benar-benar ikhlas dengan taubatnya dan mempunyai kesungguhan untuk berubah, ada beberapa perkara yang perlu dipersetujui bersama.

Misalnya, suami perlu membuktikan komitmennya yang kuat dalam tempoh masa tertentu serta mematuhinya, bagi membolehkan tingkah laku baru terjelma. Ia juga boleh menghindarkan suami daripada melakukan kesilapan yang berulang.

Puan pula perlu memainkan peranan dengan bersabar kerana seperti yang Putri nyatakan tadi, kelukaan akan pulih bersama masa. Begitu juga dengan perubahan yang bakal dilakukan oleh suami, tidak akan berlaku dalam sekelip mata. Kalau suami berubah dalam masa sehari, mungkin puan sendiri pun naik cuak dengannya, seperti ada yang tidak kena pula.

Ada juga syarat-syaratnya jika kepercayaan puan terus diperkotak-katikkan. Mungkin puan perlu bersedia untuk memberikan kata putus kepada suami sekiranya ia hanya membinasakan bagi puan untuk kekal di dalam hubungan ini.

Putri turut mengalu-alukan jika ada mana-mana wanita yang pernah mengalami kejatuhan dan bangkit semula, ingin berkongsi pengalaman mereka dengan kita semua di ruangan ini, sebagai inspirasi Isteri Derita, juga buat iktibar bersama.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: