Nyaris ditampar ketika berdakwah

Dipetik dari Akhbar Berita Harian 14 Julai 2005
Personaliti: Mohd Ridhuan Tee nyaris ditampar ketika berdakwah
Oleh Hasliza Hassan

NIAT baik untuk mengajak orang Melayu di kampungnya menghayati ajaran Islam yang sebenar dibalas dengan kemarahan dan nyaris ditampar kerana beliau mualaf, yang baru memeluk agama Islam.

Kejadian itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat Mohd Ridhuan Tee Abdullah, pengacara yang wajahnya muncul kembali dalam program Forum Perdana Ehwal Islam setiap malam Jumaat di TV1, untuk meneruskan misi dakwah.

“Itu pengalaman pertama saya ketika cuba menegur orang kampung agar menghayati Islam sebagai agama yang mudah. Ketika itu saya baru memeluk Islam pada usia 20 tahun.

“Mereka marah dan kata, kamu tu baru lagi nanti aku tampar. Nasib baik saya tidak kena tampar masa itu,” cerita Mohd Ridhuan mengimbau kembali pengalaman dilalui ketika mula memeluk Islam pada 1985.

Pengalaman itu adalah yang pertama, tetapi bukan yang terakhir bagi anak jati Kampung Kota Setia, Teluk Intan, Perak. Hal ini kerana dalam usahanya mengajak orang Islam memperbaiki diri serta melaksanakan suruhan agama, sering kali ajakannya dibalas dengan kemarahan.

Apa yang mendukacitakannya, sepanjang 20 tahun berdakwah mengembangkan syiar Islam, sering berhadapan dengan orang Islam sendiri yang tidak boleh menerima teguran secara baik.

Malah, ada yang menyindir kononnya dia sengaja hendak mempromosi budaya Cina apabila mengetengahkan nilai yang ada pada bangsa itu ketika berceramah kerana beliau asalnya berketurunan Cina.

Mohd Ridhuan juga pernah diberi amaran oleh penganjur pada satu forum di negeri yang semangat Melayunya begitu kuat, agar tidak menyebut mengenai bangsa atau budaya Cina.

Katanya, beliau hanya ingin menyelitkan unsur antarabangsa kerana baginya, setiap nilai baik walaupun dimiliki bangsa bukan Islam, boleh diterima asalkan tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Ketika dalam satu sesi perbincangan, Mohd Ridhuan mencadangkan agar reka bentuk masjid mencampurkan seni reka Cina serta India dalam usaha mengharmonikan dan menarik minat bukan Islam terhadap keindahan Islam.

Tetapi beliau disindir oleh mereka yang tidak berfikiran terbuka dan gagal memahami dakwah dalam konteks lebih luas, yang sepatutnya meraikan orang lain agar jinak kepada Islam.

“Orang pandang serong kepada saya yang cuba meletakkan syiar agama pada tahap tinggi supaya orang tertarik kepada Islam. Lagipun, Allah tidak tanya apa bangsa atau keturunan kita kita. Allah tanya sejauh mana penghayatan dan pengabdian kepada agama.

“Ini yang kadang-kadang usaha itu jadi payah dan menyebabkan rasa kecewa. Saya memikirkan bagaimana untuk melihat Islam cantik, Islam yang tidak taksub,” katanya.

Ditanya bagaimana beliau menyejukkan hati apabila berhadapan dengan sindiran, Mohd Ridhuan berkata, semua itu dianggap sebagai cabaran untuk terus mara dan mengambil sikap tidak peduli dengan apa orang kata.

Beliau juga lebih memikirkan apa yang Allah akan kata. Hal ini kerana sebagai insan berilmu dan mempunyai kemampuan mengajak hamba lain menghayati dan membangunkan Islam, kenapa beliau tidak berusaha menarik mereka kepada ajaran Islam sebenar.

Disebabkan itu juga, beliau tidak kisah walaupun ada pihak menabur fitnah, mengaitkannya dengan parti pembangkang serta cuba mencari kelemahannya.

“Suatu hari nanti kebenaran akan terbukti dan mereka yang melakukan onar pasti sedar kesilapan dan menanggung beban kesalahan yang dilakukan,” katanya sedih.

Mohd Ridhuan mengakui penampilannya sebagai pengacara program berbentuk forum yang membincangkan isu semasa berkaitan Islam memberi kelebihan untuknya meneruskan misi mengajak masyarakat menghayati dan mengamalkan ajaran dan nilai Islam.

Beliau bersyukur, kelebihan berdakwah menerusi media membolehkan setiap ilmu yang disampaikan merebak serta diterima oleh masyarakat tidak kira di ceruk mana pun.

Katanya, cabaran pendakwah sekarang adalah meningkatkan kualiti umat Islam yang kian menurun dan semakin lemah walaupun dari segi bilangan, umat Islam mengalahkan bangsa lain.

Sebagai kaedah dakwah terbaik, Mohd Ridhuan sering mengambil pendekatan yang dibawa idolanya, Nabi Muhammad SAW yang menjadikan akhlak serta keperibadian mulia sebagai contoh mengajak kaum jahiliah mendekati Islam.

Kejayaan Rasulullah berjaya melembutkan hati orang kafir yang hebat menentangnya dan mereka memeluk Islam selepas melihat i tingkah laku yang baik, kini diserapkan beliau dalam kehidupan harian serta kerjaya dakwahnya.

Mohd Ridhuan percaya, hanya melalui contoh baik akan dapat menarik minat, melembutkan hati seterusnya membuang prejudis bangsa lain terhadap agama Islam bukan saja di negara ini, malah seluruh dunia.

“Sebab itu saya tidak pernah kata kepada keluarga atau saudara mara, mari masuk Islam, kalau tidak nanti masuk neraka. Sebaliknya, saya ambil pendekatan Rasulullah dengan menunjukkan contoh yang baik.

“Keindahan Islam yang ditunjukkan melalui layanan baik terhadap ahli keluarga juga akhirnya berjaya melembutkan hati emak, yang dulu kuat menentang hasrat saya memeluk Islam. Emak kini menerima saya sebagai seorang Muslim.

“Saya yakin, melalui contoh yang baik itu orang akan pandang Islam itu cantik. Saya yakin hingga hari ini dan kerana itu saya cuba menunjukkan contoh yang baik,” katanya.

Katanya, kehebatan idolanya itu turut diakui penulis Barat, Michael H Hart yang memasukkan Nabi Muhammad sebagai insan berpengaruh dalam buku tulisannya berjudul The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History.

Beliau juga bersyukur kerana usaha menerapkan nilai murni dalam kehidupan seharian, termasuk pergaulan dengan rakan bukan Islam, membuka minat mereka mempelajari, mendalami seterusnya memeluk agama Islam.

Kegigihan beliau menyebarkan dakwah Islamiah mendapat pengiktirafan kerajaan Selangor yang menganugerahkan Tokoh Saudara Baru (Mualaf) kepadanya sempena sambutan Maal Hijrah 1424/2003.

Selain sibuk mengacara dan menjadi pendakwah bebas, Mohd Ridhuan menguruskan syarikat hartanah di Pandan Indah, bersama seorang rakan kongsi.

Beliau kini mengendalikan projek perumahan yang dibangunkan secara bersama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Nabi pun kata punca rezeki daripada perniagaan. Saya cuba berniaga dan ini pun kecil-kecil saja. Saya akan terus berdakwah selagi boleh. Bagi saya, ini kelebihan yang Allah berikan pada saya,” katanya.

PROFIL:
TARIKH LAHIR: 24 April 1965
TEMPAT LAHIR: Kg Kota Setia, Teluk Intan, Perak
PENDIDIKAN:
Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (1985-1989)
Diploma Pengajian Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1992-1993)
Sarjana Sastera Analisis Polisi dan Keselamatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (1995-1996)
Sedang melanjutkan pengajian peringkat PhD di Universiti Putra Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: