Sediakan berita adil, tepat


Sediakan berita adil, tepat
Utusan Sabtu 16 Julai 2005

Sedutan teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Persidangan Media Massa 2005 anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri di Putrajaya, semalam.

Alhamdullilah saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. di atas limpah kurniaan-Nya dapat kita sama-sama berkumpul pada pagi ini. Saya amat berbesar hati untuk berada di sini dan bertemu dengan saudara saudari sekalian. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran tokoh-tokoh ilmuwan dan wakil-wakil daripada beberapa pejabat perwakilan Asia negara-negara ASEAN, pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Kuala Lumpur serta wakil-wakil penerbitan antarabangsa dari luar negara yang turut hadir di majlis pada pagi ini.

Saya percaya persidangan media massa 2005 ini dapat menjadi satu forum penemuan fikiran dan percambahan minda di kalangan pihak kerajaan dengan pengamal-pengamal media. Bagi saya sendiri, saya yakin dengan kekuatan media massa dalam menyebarkan maklumat demi pembangunan sesebuah negara dan masyarakat.

Tanpa media massa, adalah sukar bagi mana-mana negara untuk membentuk masyarakatnya sebagai sebuah masyarakat yang berilmu pengetahuan.

Perkembangan pesat rangkaian telekomunikasi global dan ledakan teknologi maklumat masa kini amat ketara dirasai setelah dunia melangkah masuk ke dalam abad baru ini.
Fenomena globalisasi telah mendedahkan masyarakat antarabangsa kepada suatu revolusi maklumat yang melangkaui sempadan sehingga mampu mengubah dan mencorak sistem pentadbiran dunia dan budaya masyarakat global.

Di setiap organisasi baik pejabat perdagangan atau institusi-institusi ilmiah, kesemuanya kini dilengkapi dengan pelbagai rangkaian komunikasi.

Ditambah pula dengan industri media cetak dan elektronik yang kian berkembang, media massa menjadi pelengkap kepada rangkaian komunikasi hari ini. Malah, Internet juga sudah diiktiraf sebagai satu sumber penting dalam pengumpulan dan penyebaran maklumat.

Pada masa yang sama, tidak ada sesiapa yang dapat menafikan kuasa yang ada kepada media massa sebagai sebuah institusi sosial yang menjadi penghubung antara pemerintah dan rakyat. Kuasa media massa sesungguhnya amat besar terutama dalam membentuk pemikiran sesebuah masyarakat.

Sama ada anda setuju atau tidak, saya berpendapat bahawa setiap daripada kehidupan kita dibelenggu oleh kesan bagaimana sesebuah organisasi terutama organisasi awam mengendalikan maklumat. Bagaimana sesebuah organisasi mengelola maklumat menjadi faktor genting dalam menentukan kecekapan dan kewibawaan institusi mereka.

Persoalan yang mungkin anda boleh bincangkan secara mendalam pada persidangan ini adalah bagaimana sesebuah organisasi itu terutama bagi kerajaan dan agensi-agensinya, menggunakan elemen komunikasi dalam menyampaikan maklumat yang diperlukan kepada media massa?

Pada pandangan saya, dalam suasana negara menuju ke arah kemodenan, kita hendaklah mempunyai jalinan kerjasama yang baik antara kerajaan dengan media massa.
Pasukan komunikasi yang wujud di agensi-agensi kerajaan hendaklah lebih cekap dalam mengendalikan maklumat yang ingin disampaikan. Kita hendaklah hadapi apa jua persoalan berkaitan organisasi kita, agar pelanggan kita iaitu rakyat dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik.

Memang sukar bagi mana-mana organisasi awam untuk mencorakkan mesej yang ingin disampaikan tetapi kita kena melihat bahawa jalinan komunikasi yang baik hendaklah merangkumi semua aspek kehidupan tidak kira dari segi ekonomi, politik atau budaya masyarakat.

Janganlah kita terlalu takut atau cepat melenting apabila media massa melaporkan sesuatu yang tidak positif mengenai organisasi kita. Apa yang kita perlu lakukan adalah, memberi penjelasan yang betul dan tepat agar rakyat dapat memahami apa jua masalah yang mungkin timbul.

Alhamdullilah, kita kini hidup dalam suasana yang bebas dan aman, di mana masyarakat rata-rata mempunyai hak untuk memilih. Kita mempunyai peluang untuk memilih apa juga bentuk maklumat yang kita ingini. Maka tidak hairanlah, jika media ada kalanya dijadikan sebagai cermin kepada sesebuah masyarakat dan negara. Kita dapat menyelami hati budi rakyat atau sistem sosio-ekonominya dengan menilai kandungan media massa sesebuah negara itu.

Sehubungan itu, kerajaan sedar akan keperluan pihak media untuk mencari kumpulan sasarannya dalam menghasilkan apa juga bentuk produk, baik surat khabar atau program di kaca televisyen. Kerajaan juga memahami akan persaingan hebat yang wujud dalam industri ini. Setiap media kini berlumba-lumba untuk mencari sesuatu kelainan hanya untuk menarik perhatian masyarakat umum dan pembaca.

Sememangnya, persaingan begini menunjukkan betapa industri media massa telah berkembang pesat setaraf dengan pembangunan negara.
Jika dilihat kepada perkembangan industri media cetak tempatan sahaja, jumlah penerbitan baru kian meningkat di pasaran. Sebagai contoh, terdapat 31 surat khabar harian di Semenanjung Malaysia, lapan surat khabar harian di Sabah dan 11 surat khabar harian di Sarawak.

Berdasarkan bahasa pengantar, daripada jumlah ini, 12 adalah dalam bahasa Malaysia, 13 dalam bahasa Inggeris, 22 dalam bahasa Cina dan tiga dalam bahasa Tamil.
Kesan globalisasi juga memberi kesan terhadap peningkatan drastik dalam kemasukan penerbitan luar negara yang direkodkan di pintu-pintu masuk utama di seluruh negara.

Sebagai contoh, daripada bulan Januari ke bulan Mei 2005, Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah memeriksa sejumlah 1.24 juta tajuk penerbitan asing yang merangkumi lebih kurang 70.1 juta naskhah. Daripada jumlah ini, penerbitan-penerbitan utama termasuklah surat khabar, majalah, komik dan novel.

Bagaimanapun, adalah amat mendukacitakan apabila persaingan ini telah menyebabkan ada pihak yang mula mengabaikan tanggungjawabnya kepada masyarakat hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Ada pihak kini dengan sewenang-wenangnya menulis pelbagai fitnah atau dakwaan yang tidak
berasas mengenai sesiapa juga yang mungkin tidak disenanginya. Mereka juga yang kononnya mengutamakan kebebasan yang dilaungkan sebagai freedom of press, (kebebasan akhbar) menulis untuk kepuasan peribadi.

Di manakah letaknya integriti seseorang penulis jika tulisan yang cuba dipaparkan bukan bertujuan untuk mendidik masyarakat tetapi sekadar meracuni fikiran orang ramai dengan pelbagai dakyahnya?

Kadangkala, saya juga merasa kecewa kerana persaingan dalam industri media ini turut mendorong kepada usaha mensensasikan sesuatu berita. Saya sering perhatikan, ada masanya surat khabar sering gemar memaparkan tajuk berita yang menggemparkan tetapi apabila kita membaca keseluruhan berita berkenaan, ceritanya tidaklah sebegitu.

Sebenarnya, bukan hasrat sesiapa untuk menyekat saluran maklumat, tidak kira berita baik atau buruk, bagi paparan masyarakat. Namun, maklumat yang disiarkan ini mestilah berdasarkan fakta yang tepat. Ingatlah bahawa kebebasan yang tidak bertanggungjawab hanya akan mencetuskan kebinasaan kepada masyarakat dan seterusnya negara.

Perkataan yang tersiar di dada akhbar dan imej ditonjolkan di skrin barangkali cukup kuat untuk membentuk idea-idea terbuka serta persepsi mengenai dunia dan isu-isu pada hari ini.
Kuasa ini telah diperkuatkan lagi dengan kecanggihan dalam teknologi dan pertumbuhan pesat pelbagai organisasi media.

Di hadapan rakyat Malaysia kini terbentang banyak pilihan. Sebagai contoh di peringkat tempatan, ada pelbagai akhbar, penerbitan, stesen radio dan televisyen yang boleh dipilih.
Televisyen satelit kini membawa terus sebarang jenis berita dari seluruh dunia ke tempat tinggal penonton untuk tempoh 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan sepanjang tahun.

Akhbar-akhbar antarabangsa yang menyediakan perspektif global pula secara bebas ada di negara ini.

Dan jika seseorang itu mahukan maklumat khusus atau informasi terkini – sebagaimana yang saya sebutkan tadi, ia adalah Internet.

Putaran berita pada masa ini begitu cepat, pesat lagi berterusan. Kisah kejayaan dan cerita tragedi segera tersebar kepada khalayak di seluruh dunia pada masa yang tepat.
Keadaan ini menyediakan ruang persaingan dan kita faham bahawa pertubuhan media cenderung sering mahu scoop atau lebih berjaya menyediakan berita awal kepada khalayak, mendahului pesaingnya.

Namun, kebanyakan pertubuhan adalah membuat perniagaan dan motivasi di sebalik itu bertujuan untuk mendapat keuntungan.
Sebagai pembuat dasar, saya ingin memberi peringatan tentang persaingan untuk melariskan jualan dan menarik lebih ramai pendengar atau penonton.
Saya berharap media benar-benar melaksanakan tanggungjawabnya untuk menyediakan berita yang adil dan tepat.

Beberapa peristiwa di seluruh dunia sejak akhir-akhir ini menunjukkan bahawa laporan yang mempunyai sumber tidak berasas telah menyebabkan kejadian yang serius dan membawa kepada kesan jangka panjang.

Peperangan tercetus akibat maklumat tidak tepat yang disebarkan oleh media, baik sama ada yang disengajakan atau yang tidak.
Hakikatnya, jika kredibiliti media utama diragui, orang ramai akan mencari sumber maklumat yang lain.

Ini tidak wajar memandangkan banyak sumber alternatif ini tidak mempedulikan soal menjaga standard yang tinggi seperti yang diamalkan oleh pertubuhan berita dihormati.
Adalah amat membimbangkan jika orang ramai bergantung kepada sumber yang hanya lebih berminat menyebarkan khabar angin dan tuduhan daripada menjadi penyampai maklumat yang bertanggungjawab.

Malaysia amat mengambil berat soal ini. Kita adalah sebuah negara yang membangun dan mahukan medianya bersifat bebas selain memainkan peranan membina ke arah kemajuan negara.

Kita juga sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum dan sentiasa berusaha mengekalkan keamanan dan kestabilan yang menjadi tunjang kejayaannya. Kita telah mencapai kejayaan keseimbangan ini dengan sentiasa prihatin terhadap sensitiviti masing-masing.

Malahan kita juga bersikap sederhana dalam segala hal dan saya percaya rakyat Malaysia lebih gemar memelihara persekitaran yang menggalakkan kemajuan dan kemakmuran.
Saya difahamkan bahawa sempena persidangan ini akan ada beberapa siri perbincangan dan sesi dialog, yang menyentuh peranan serta tanggungjawab kerajaan dan media serta sumbangannya kepada masyarakat.

Saya yakin bahawa kita boleh mencapai matlamat itu sekali gus menyediakan landasan terbaik demi meneruskan minat dan kepentingan dalam soal tersebut.
Akhirnya, kerajaan komited dalam menyuburkan hubungan positif dan menyemai kefahaman di antara kerajaan dan media.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: