Al-Quran – Penghormatan Allah kepada manusia

12/11/2003
“Bulan Ramadan diturunkan al-Quran padanya. Al Quran menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” (al-Baqarah: 185)
Keistimewaan Ramadan saban tahun yang dilalui umat Islam di seluruh dunia ialah memperingati Nuzul al-Quran, di mana bulan ini merupakan bulan kitab suci al-Quran diturunkan kepada umat manusia, sebagai asas panduan kehidupan yang menarik setiap insan yang hidup dalam kegelapan dan kekeliruan kepada jalan kehidupan yang lebih bercahaya dan penuh ketenangan.
Al-Quran merupakan satu-satunya sumber wahyu Ilahi yang berperanan besar dalam mengolah kehidupan manusia dalam menyedarkan hakikat kejadian dengan matlamat kehidupan, serta tugas seorang hamba dan khalifah dalam memakmurkan bumi Allah. Hadis-hadis turut meriwayatkan bahawa Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan Nabi Daud a.s. menerima risalah kenabian pada bulan Ramadan pada satu, enam, tiga belas dan lapan belas Ramadan. Berdasarkan beberapa riwayat, al-Quran diturunkan pada 15 Ramadan, dan turut berpendapat ia diturunkan pada 24 Ramadan dan 27 Ramadan.
Ulama-ulama berpandangan tarikh yang berbeza ini melibatkan tiga peristiwa yang berlaku sepanjang sejarah turunnya wahyu al-Quran. Pertama, ia merupakan permulaan al-Quran diturunkan ke langit dan diwahyukan sedikit demi sedikit mengikut keadaan, ayat demi ayat dan surah demi surah sepanjang 23 tahun. Kedua, ia merupakan permulaan wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w., dan ketiga, tarikh yang disebutkan merupakan permulaan wahyu Allah yang mewajibkan umat Islam mengerjakan rukun Islam ketiga ini (Muhammad Umar Chand; 1992).
Al-Quran seringkali dikaitkan dengan kebesaran, kemuliaan dan kebenaran ajaran yang dibawa bersama. Melalui pembinaan akhlak berisikan pendidikan al-Quran, kandungan wahyu ini turut membawa bersama ciri-ciri atau hasil akhir yang sewajarnya berlaku kepada seorang Muslim dalam usaha mengembalikan identiti mukmin yang beriman dan patuh serta mengabdikan diri kepada Allah. Nilai-nilai ini hanya akan dikecapi dengan keinginan dan keikhlasan seseorang melakukannya demi mendapat keredhaan dan keberkatan di dunia dan akhirat. Di antaranya disebutkan di dalam al-Quran:
– Gementar hati dan bertambah iman apabila disebut ayat-ayat al-Quran sebagaimana difirmankan oleh Allah, “Sesungguhnya orang-orang beriman itu ialah mereka apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan mereka berserah.” (Al Anfal: 2)
– Bercucuran air mata kerana kefahaman yang mendalam mengenai ayat-ayat Allah sambil berdoa kepada Allah. “Dan apabila mereka mendengar al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah, engkau melihat mata mereka bercucuran air mata disebabkan apa yang mereka ketahui daripada kebenaran al-Quran, sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan, kami beriman, oleh itu tetapkan kami bersama orang-orang yang menjadi saksi (kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah).” (Al-Maidah: 83)
– Apabila diberi peringatan melalui ayat-ayat Allah, mereka patuh sambil sujud kepada Allah. “Sesungguhnya mereka yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberi peringatan dan pengajaran dengan ayat-ayat itu, mereka segera merebahkan diri sambil sujud (menandakan taat dan patuh) dan menggerakkan lidah dengan bertasbih serta memuji Tuhan mereka dan mereka tidak bersikap takbur.” (Al-Sajadah: 15)
Al-Quran membina peradaban manusia berakhlak dan mempunyai tautan hati yang kukuh terhadap Tuhan. Elemen-elemen kehidupan manusia meliputi moraliti, perundangan, ekonomi, muamalat, sains dan filosofi, nilai-nilai sosial dan sejarah turut terkandung dalam isi kitab ini agar manusia yang mahu berfikir bijak menjalin hubung kait kehidupan dunia dengan keimanan pada yang satu.
Penyakit-penyakit jiwa dan krisis kehidupan sejagat hari ini daripada sekecil-kecil unit keluarga sehinggalah kepada negara, bukan kerana umat Islam tidak ada daya kekuatan untuk menyelesaikannya. Ia kerana tiadanya gandingan antara penyelesaian akal dan panduan wahyu yang menyebabkan masih ada ruang-ruang kosong yang merupakan jawapan krisis yang tidak sudah. Umat Islam bukannya golongan atheis yang bersandar kepada penyelesaian bersifat akal semata-mata dan apabila sampai ke kemuncak masalah, mereka seolah-oleh hilang arah tujuan.
Kembali kepada didikan al-Quran sepanjang bulan Ramadan ini merupakan salah satu usaha yang perlu digiatkan bagi mereka yang ingin memperbaiki diri. Daripada sekecil-kecil usaha, hatta sebaris ayat setiap hari dengan difahami maksudnya dan dari masa ke masa meningkatkan mutu pembacaan dan jumlah ayat yang dibaca, seorang Muslim akan mengalami satu proses perubahan kendiri yang lebih baik dengan usaha bersungguh-sungguh dalam mencari keredhaan Allah. Semarakkan semangat cintakan al-Quran dan menjadikan ia sumber motivasi kehidupan menghadapi cabaran emosi dan fizikal seharian.
Manusia yang mencari kebahagiaan hati seringkali tersasar dalam kehidupan sehingga hilang kehidupan yang menenangkan. Kebahagiaan sebenar perlu dicari daripada sumbernya. Dan sumber kebahagiaan seorang Muslim telah terhimpun di dalam al-Quran untuk diambil manfaat pemberian Tuhan dalam bentuk membina ketaqwaan dan disajikan sebagai manisan kehidupan.
Nasihat Yusuf Qardhawi: “Kebahagiaan itu ibarat sebatang pokok yang rendang, tempat tumbuhnya ialah jiwa dan perasaan kemanusiaan. Ketaqwaan kepada Allah merupakan air, udara dan cahaya yang membantu pertumbuhannya.” (1001 Mutiara Hikmah & Kata Nasihat: 1998)
Inilah hadiah yang paling agung untuk mereka yang benar-benar mencari panduan memperbaiki hidup di dunia dan akhirat menjadi insan yang cemerlang, hebat di sisi manusia dan diangkat darjatnya di sisi Tuhan. Al-Quran, penghormatan Allah kepada manusia untuk dibaca dan difahami setiap maksudnya dan cubalah untuk mengaitkan segala dilema, peluang dan tindakan seharian dengan intipati ajaran wahyu agung ini.
Al-Quran bukan sahaja dihormati oleh makhluk jin dan manusia, malahan semua makhluk lain menghormati al-Quran (Abu Fathan: 1996). Disebutkan oleh Allah di dalam surah al Hasyr: 21: “Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung nescaya engkau dapat melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada Allah. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: