Antara azam dan minda tahun baru

01/01/2004
Semangat Tahun Baru. Mungkin itu yang disuarakan oleh majoriti rakyat Malaysia yang semakin merasakan bahang 2004 yang akan tiba esok. Kesedaran memperbaiki diri dan mengubah cara hidup kepada satu kedudukan yang lebih baik lagi, merupakan agenda yang dirancang secara individu atau bersama-sama keluarga dalam memastikan perjalanan hidup sepanjang tahun baru merupakan hari-hari penuh cemerlang dan hebat dengan pengisian lebih bermakna sesuai dengan bertambah usia.
Azam atau tekad yang diletakkan kukuh melalui lisan dan sesuatu yang gemar diungkapkan setiap kali kehadiran tahun baru, secara tidak langsung sebagai rekod permulaan yang baik pada hari pertama bulan Januari.
Meletakkan azam tidak semudah atau sesukar yang disangka. Tetapi ramai yang kurang peduli dengan kepentingannya, apatah lagi mengambil tahu perkara-perkara penting untuk menanam semangat baru kehidupan.
Setiap tindak tanduk manusia berpengaruh dalam menentukan hala tuju hidup seterusnya. Proses `kesan dan akibat’ akan mengambil tempat sesuai dengan tindakan. Misalnya melalui perkataan yang positif, seperti pujian atau dorongan ia akan mengembalikan keyakinan pelaku atau penerima mesej tersebut, begitu juga apabila dilakukan sebaliknya.
Setiap perkara yang dilakukan oleh manusia berpunca daripada fungsi minda yang mencanai idea, menggerakkan setiap perbuatan serta keputusan dan mengangkat atau menurunkan manusia daripada satu potensi kepada satu potensi diri yang lain.
Dengan nilai peratus yang kecil kurang daripada 10% daripada lebih 100 trilion sel di dalam otak, impak diberikan cukup besar kepada individu dan keadaan sekeliling. Inilah salah satu kurniaan Allah.
Tuhan Maha Pencipta yang mengangkat darjat manusia sesuai dengan kesempurnaan pemberian-Nya yang secara langsung mengangkat keimanan golongan yang berfikir dan sentiasa menilai diri sebagai hamba Tuhan.
Di antara azam tahun baru dan minda, ia cukup berkait rapat. Meletakkan azam baru tidak sekadar dengan mengungkap sebaris ungkapan “Aku ingin berubah menjadi seorang yang baik” atau seumpamanya. Sebaliknya satu perancangan yang teliti sangat perlu jika seorang individu benar-benar serius dalam mengubah cara hidupnya.
Tanpa perancangan, ungkapan semangat cuma tinggal ungkapan awal tahun dan mungkin juga keadaan yang sama berlaku seperti mana tahun-tahun sebelumnya.
Jika hari ini seorang remaja di usia 20an meneruskan hidupnya dengan cara hidup yang sama, alangkah ruginya jika separuh kehidupan melalui keadaan yang sama tanpa sebarang perubahan. Di mana kemanisan kehidupan yang sebenar?
Mengambil contoh sebuah organisasi dan institusi, visi dan misi merupakan antara perkara penting yang perlu ada sebelum sebuah organisasi dan institusi bergerak dalam satu matlamat yang sama dan terarah.
Tanpa kedua-dua perkara ini, sebuah kumpulan tidak dapat bergerak bersama dalam memenuhi perancangan serta agenda yang disusun walau sehebat mana ia dibentuk.
Visi diinterpretasikan sebagai imej yang terbentuk di minda berpunca daripada imaginasi. Ia juga boleh difahami sebagai sesuatu yang telah dan sedang dilihat. Dengan erti kata lain, visi merupakan sesuatu yang ingin dicapai dan ingin dipenuhi oleh seorang individu melalui imaginasi yang membentuk imej-imej di minda.
Perkara ini sering diamalkan oleh kita dalam merancang sesuatu dengan bayangan kita sudah melaksanakannya. Visi dan imaginasi yang bergerak bersama berperanan menggerakkan individu dalam melaksanakan sebarang tugas atau peranan.
Kebiasaannya visi individu atau kumpulan digambarkan melalui kenyataan umum yang boleh dihuraikan dengan adanya penyata misi. Misalnya, visi individu Muslim menjadi seorang usahawan yang beriman dan berjaya, seharusnya sudah tergambar dan tercatat dalam visinya apa yang akan berlaku pada masa akan datang dalam imaginasinya tergambar gaya hidupnya ketika itu.
Penyata misi disifatkan sebagai pengisian terhadap visi. Ia menghuraikan bagaimana visi dapat dipenuhi melalui gerak kerja yang terancang.
Dalam institusi keluarga, visi dan misi perlu diimplementasi sebaik-baiknya kerana peranan kedua-dua konsep ini membantu dalam memenuhi peranan setiap ahli keluarga secara berkesan.
Masih ramai yang tidak peka bagaimana perbincangan antara ahli keluarga dalam membincangkan visi dan misi bersama dapat menjamin keutuhan dan ikatan kekeluargaan apabila matlamat dan tujuan hidup dapat disatukan.
Melalui perbincangan keluarga, sama-sama berpeluang mendengar keinginan orang lain dan berkongsi keinginan sendiri tanpa mengorbankan apa sahaja, sebaliknya bekerjasama dalam mendapat hasil yang baik yang boleh dikongsi.
Apa yang terjadi pada hari ini, setiap ahli keluarga lebih bersikap individualistik dalam tindakan dan merasakan keinginan orang lain sebagai ancaman.
Kesannya kembali kepada diri, tahun baru berakhir tetapi tiada apa yang dapat dicapai. Maka tahun ini berakhir seperti mana tahun-tahun lalu. Ke manakah kita?
Azam tahun baru harus digerakkan dengan perancangan tidak sekadar impian kosong dan semangat bersifat seketika. Semakin jauh kita memenuhi setiap agenda ke arah matlamat kesempurnaan dan kecemerlangan hidup, semakin kita merasakan betapa bererti setiap masa dan hari yang kita lalui dalam kehidupan.
Azam tahun baru harusnya mengambil kira peranan individu dalam kehidupan. Sebagai seorang suami, apakah azam tahun barunya dalam memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga dan isteri serta dalam masa yang sama memikirkan azam yang ingin dipenuhi sekiranya beliau seorang kakitangan dalam sektor kerajaan atau swasta.
Kerana itu, berfikir, merancang dan mencatat amat penting agar kita sedar akan tanggungjawab kita dalam memenuhi janji pada diri. Melalui cara ini, kehidupan lebih fokus dan tetap kepada sasaran.
Perkara amat penting dalam menghadapi tahun baru ini ialah bertanya kepada diri ke mana haluan kita selepas ini. Mungkin dengan satu tindakan atau pilihan baru yang kita lakukan pada akhir tahun ini membawa satu perubahan besar dalam tahun-tahun mendatang, bukan sahaja kepada diri malah mereka yang hampir kepada kita.
Melalui azam tahun baru yang bergerak bersama catatan misi dan visinya serta keinginan bekerja sama dan dalam masa yang sama memohon doa kepada Allah agar diberi kekuatan jiwa dan semangat, ia tidak sekadar mengubah diri tetapi membawa satu episod baru dalam tamadun manusia yang bakal diwarisi oleh generasi dan ummah akan datang. Bertanyalah pada diri hari ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: