Bahagia dunia akhirat – Mulakan dari rumah

08/05/2003
RUMAH diibaratkan sebagai tapak asas dalam pembentukan masyarakat. Dari rumah lahirnya mereka yang bergelar ayah, ibu dan anak.
Sebuah keluarga yang bahagia memberi satu bayangan bahawa warisan generasi sebuah negara juga akan mendapat sentuhan yang terbaik daripada rakyatnya.
Perkara sebaliknya berlaku seandainya masyarakatnya terdiri daripada keluarga yang pincang dan tidak ada persefahaman. Negara akan rosak, institusi keluarga akan musnah dan perkembangan nilai-nilai agama sebagai sistem kehidupan akan goyah.
Kita gemar membincangkan istilah kebahagiaan dalam rumahtangga dan cuba mencari formula terbaik untuk mendapatkannya. Apakah yang dimaksud dengan bahagia?
Ibn Khaldun menjelaskan bahagia itu ialah tunduk dan patuh mengikut garis-garis yang ditentukan oleh Allah s.w.t. dan juga perikemanusiaan.
Bagi al Ghazali, kebahagiaan dikecapi apabila kita merasai nikmat kesenangan dan kelazatan. Rumusannya dapat kita sebutkan bahawa, setiap manusia mestilah hidup di dalam kesempurnaan dan kebahagiaan di dunia, iaitu mempunyai segala keperluan, harta dan kesihatan.
Manusia juga mesti hidup dalam kesempurnaan dan kebahagiaan di akhirat, iaitu mempunyai keimanan dan ketakwaan terhadap segala perintah Allah dan Rasulnya.
Sebuah keluarga yang inginkan kebahagiaan tidak sekadar cukup dari segi memenuhi keperluan kewangan dan harta benda, malahan kebahagiaan rohani dititik beratkan dengan lunas-lunas yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul sebagai panduan.
Sebaiknya seorang bakal suami atau bakal isteri perlulah bersedia minda dan fizikal dengan asas matlamat yang jelas atas dasar dan tujuan apakah mereka bersama membina rumahtangga.
Sebuah keluarga yang jelas matlamatnya berperanan menyelamatkan kehidupan ahli keluarga yang beriman di dunia dan akhirat.
Apa yang berlaku hari ini ialah wujudnya kelompok keluarga yang mengutamakan kehidupan di dunia semata-mata sehingga mengenepikan persediaan menuju akhirat.
Allah memperingatkan dalam surah at-Tahrim “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada seksaan api neraka.”
Ibu bapa Muslim hendaklah bersedia memperlengkapkan diri dengan ilmu-ilmu kekeluargaan serta bersedia memperkembangkan kemampuan diri untuk mendalami serta mempraktikkan dalam gerak kehidupan berkeluarga.
Rasa ego khususnya seorang yang bergelar ketua keluarga perlulah diawasi kerana kerana sikap ini menjadikan diri kita merasakan kita tidak perlu menambah ilmu pengetahuan sehinggakan memberi impak negatif dalam perjalanan keluarga.
Sikap amanah adalah tiang yang menyokong bumbung kekeluargaan. Jika tiangnya goyah, maka runtuhlah segalanya. Amanah yang dimaksudkan berkait rapat dengan hak serta tanggungjawab.
Seorang ayah, isteri mahupun anak-anak perlu mengetahui hak dan tanggungjawab masing-masing. Peringatan Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya mengkhianati amanah itu).” (Al Anfal: 27)
Hari ini kita dihadapkan dengan pelbagai jenis permasalahan masyarakat yang meruncing serta membimbangkan.
Gejala pelacuran dengan catatan 60 peratus di kalangan wanita Melayu serta 20 peratus masalah tekanan mental remaja sehingga membawa kepada kecenderungan bertindak ganas, mengambil dadah dan bunuh diri adalah sebahagian besar permasalahan yang mencacatkan masa depan mereka.
Sewajarnya keadaan ini diambil iktibar dan tindakan segera melalui perancangan pembinaan keluarga yang teliti sangat penting kerana mereka adalah sebahagian daripada umat yang kita sayangi.
Seorang ayah yang cemerlang faham akan tanggungjawabnya. Lelaki sebagai ayah dan suami perlulah memainkan peranan penting dalam melaksanakan tugasnya. Antaranya ialah bersembahyang jemaah bersama mereka, mengajarkan ilmu agama kepada ahli secukupnya, memohon keampunan, memberikan rezeki yang halal, mengingatkan mereka menjauhi perkara yang mungkar, saling membantu dan mengajar mereka menjadi seorang yang pemaaf.
Isteri yang cemerlang juga menjadi tunggak kebahagiaan keluarga apabila hak dan tanggungjawabnya dipenuhi seadilnya. Di antaranya ialah taat kepada Allah dan Rasul, taat kepada suami, melayan anak-anak dengan penuh kasih sayang, dan redha dengan segala kemudahan yang disediakan oleh suami. Rasulullah s.a.w. menyebut: “Sebaik-baik isteri ialah yang menggembirakan suami apabila dilihat, apabila suami memerintah dia patuh dan apabila suami tidak ada di sisinya dia menjaga kehormatan dirinya dan harta kepunyaan suaminya”. (Riwayat Ahmad dan Nasai)
Apabila kedua-duanya sedar dan berusaha sedaya usaha memenuhi kewajipannya, maka Allah akan mengurniakan rahmat serta rezeki serta petunjuk agar kehidupan keluarga akan sentiasa berada di jalan yang lurus dan diredhai-Nya. Allah menyebutkan: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) daripada Allah, dan sebuah kitab (al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. Dengan (al-Quran) itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaan-Nya, dan (dengannya) Allah keluarkan mereka dari gelap gelita (kekufuran) kepada cahaya (iman dan Islam) yang terang benderang dengan izin-Nya, dan (dengannya juga) Allah menunjukkan mereka ke jalan yang lurus.” (Al-Maidah: 15-16)
Sama ada ibu atau bapa hendaklah peka dengan perkembangan anak-anak mereka, jadikanlah anak-anak sebagai sahabat apabila meningkat umurnya ke peringkat remaja.
Adakalanya remaja akan memberontak dan keras kepala terhadap teguran dan nasihat. Maka pendekatan secara hikmah perlulah diambil sewajarnya seperti melibatkan aktiviti percutian keluarga bagi merapatkan kembali hubungan.
Rasulullah s.a.w. menjadi contoh pendidikan terbaik. Kita dapat melihat kebijaksanaan Rasulullah melayani anaknya, Fatimah dan cucu-cucunya Hassan dan Hussin.
Kita dapat meneladani bagaimana hubungan sahabat dan teman sepermainan dapat diterapkan terhadap anak-anak sesuai dengan tingkat umur mereka.
Pendidikan iman perlulah dijadikan asas ilmu kepada anak-anak serta ibu bapa. Ini adalah pendinding terhadap setiap bentuk cabaran emosi dan fizikal di dunia sebenar.
Pendidikan berasaskan keimanan tidak sekadar mengenali Tuhan, malah penerapan kasih sayang juga wujud dalam elemen pendidikan tersebut.
Ini sesuai dengan dasar pembinaan keluarga beriman yang berkasih sayang sebagaimana disebutkan dalam surah Rum ayat 21: “Sebahagian daripada tanda kekuasaan Allah bahawa ia menjadikan bagi kamu daripada jenis kamu isteri-isteri supaya kamu bermesra dengannya dan dijadikan pula perhubungan antara kamu atas dasar kasih sayang dan belas kasihan.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: