Bahana riba jelas dalam isu along

18/12/2002
Bahana riba jelas dalam isu along
Masalah peminjam ceti haram merupakan satu isu yang melibatkan kebanyakan peniaga-peniaga mahupun usahawan-usahawan kecil yang pada awalnya tidak disedari ramai sehinggalah berlakunya beberapa kes melibatkan kes bunuh, bunuh diri dan ugutan.
Kewujudannya tidak kita sedari meskipun mereka telah menyiarkan iklan berbayar di dada-dada media nasional.
Keadaan ini telah menarik perhatian ramai antaranya Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Amin Al-Jeffri, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk N. Siva Subramaniam, dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Senator Zainal Rampak yang meminta agar pihak bank memudahkan urusan pinjaman bank kepada para usahawan dan peniaga kecil serta mengharamkan agensi peminjam yang lebih agresif bertindak sebagai ceti atau along.
Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengesyorkan agar syarat pinjaman daripada institusi kewangan dilonggarkan adalah satu kenyataan yang perlu diambil perhatian serius oleh pihak bank.
Kita tidak mahu keadaan di mana bank-bank mengutamakan nilai keuntungan yang tinggi dengan mengamalkan `polisi tidak bertulis’, iaitu dengan meluluskan pinjaman kepada peminjam yang memberi cagaran atau pulangan yang tinggi sehingga meninggalkan usahawan kecil terus dalam dilema.
Sekiranya ini terjadi atau diamalkan, kewujudan ceti haram dan along mustahil untuk dibendung dalam satu jangka masa yang panjang.
Meskipun begitu, apakah tiada alternatif lain yang oleh diambil oleh para peniaga kecil selain dari terus meminjam bank?
Di dalam buku Permulaan Perniagaan Kecil muka surat 35 penulis, Ridzuan Muhammad yang juga pengurus serta koordinator bengkel mingguan perniagaan kecil percuma menyifatkan pinjaman bank perlulah dijadikan alternatif kedua dalam usaha mengembangkan atau memulakan perniagaan.
Beliau menyifatkan sebagai permulaan, sebelum sebuah rekod aliran tunai yang baik hendak dibawa ke bank, setidak-tidaknya terdapat sumber pembiayaan lain perlu dilihat terlebih dahulu.
Antaranya ialah ibu bapa dan rakan-rakan yang boleh bertindak sebagai rakan kongsi tidak aktif, mentor atau penasihat yang terdiri dari usahawan yang telah berjaya, rakan niaga yang lain yang boleh diperoleh melalui pertubuhan misalnya melalui gabungan peruncit-peruncit kecil di bawah satu persatuan, melalui pelabur luar yang mana peniaga bertindak menggerakkan suntikan modal yang diperolehi daripada pelabur yang terdiri dari individu atau kumpulan dan melalui penjualan dan penggunaan aset yang sedia ada untuk perniagaan.
Malahan, kerajaan juga telah memperuntukkan sebilangan besar pinjaman untuk para usahawan dan peniaga kecil.
Tetapi, nasihat dari peguam amat penting sebelum memilih di antara sumber biaya di atas kerana ia melibatkan penyediaan perjanjian bertulis serta pengesahan saksi. Yang pastinya pilihan berikut lebih selamat berbanding meminjam daripada ceti haram ataupun along yang pastinya mengganggu kehidupan diri dan keluarga.
Banyak sebab mengapa timbul budaya along ini. Tetapi saya fikir antaranya ialah keruntuhan institusi koperasi. Seharusnya koperasi berfungsi membantu peniaga-peniaga kecil dan orang perseorangan bagi memandapatkan pinjaman apabila timbul kesesakan peribadi.
Kadangkala terfikir juga mengapa Islam amat melarang amalan memakan riba. Along ternyata mengenakan wang bunga yang berganda-ganda dan jelas adalah suatu perbuatan riba yang diharamkan oleh Islam.
Saya fikir perkara ini perlulah dihebahkan. Perbuatan along adalah haram. Bukan saja yang mengeluarkan pinjaman, tetapi juga yang meminjam dan lebih-lebih lagi mereka yang melakukan kerja-kerja menakut-nakutkan peminjam.
Tetapi masalah ini masih jauh daripada selesai dan saya bimbang ia tidak begitu ditangani sehingga ke akar umbi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: