Da`i antarabangsa – Mampu hadapi masyarakat dunia

06/03/2003
PERKEMBANGAN dunia hari ini memperlihatkan kepada tuntutan keperluan media massa bagi tujuan penyebaran dan perkongsian maklumat dari masa ke masa.
Sempadan negara tidak menjadi permasalahan bagi mana-mana individu mencari dan mengakses sebarang maklumat, sama ada bagi tujuan peribadi mahupun perniagaan.
Usaha-usaha ke arah perkongsian maklumat turut dijadikan agenda oleh pelbagai pertubuhan agama di dunia bagi tujuan penyebaran agama atau dakwah.
Keadaan yang berlaku pada hari ini merupakan satu peluang kepada umat Islam secara keseluruhan untuk bergiat secara aktif bagi berkongsi nikmat Islam kepada masyarakat universal.
Tambahan lagi, kesan daripada tekanan-tekanan dari segenap sudut oleh musuh-musuh Islam yang bimbang dengan kebangkitan semula pejuang-pejuang Islam dalam pelbagai lapangan hidup, mendesak kita agar melakukan penyusunan strategi yang teratur serta berkesan.
Dalam situasi tempatan, kita perlu memikirkan apakah cara terbaik yang boleh dilaksanakan secara kolektif ke arah usaha melahirkan da`i atau pendakwah bertaraf antarabangsa.
Da`i antarabangsa tidak bermaksud seseorang pendakwah itu adalah di kalangan mereka yang tergolong dalam status atau kelompok tertentu, tetapi ia merujuk kepada kemampuan da`i tersebut berhadapan dengan masyarakat dunia serta peka kepada permasalahan dunia yang hanya boleh diselesaikan melalui kaedah Islam.
Hari ini kita melihat golongan profesional luar negara melahirkan barisan da`i, yang mampu menggoncang kerusi empuk musuh-musuh Islam dengan kekuatan ilmu serta hujah secara terbuka yang tidak mampu ditangkis oleh mereka.
Kita ambil beberapa tokoh sebagai contoh. Dr. Zakir Naik, 37 tahun merupakan lulusan bidang perubatan dan pembedahan dari Universiti Mumbai.
Dalam usia semuda ini, beliau telah menjelajah seluruh dunia antaranya Amerika Syarikat, Kanada, Britain, Australia, Saudi Arabia, Kuwait, Bahrain, Qatar, U.A.E., Afrika, Singapura, Malaysia, Hong Kong, Thailand bagi tujuan dakwah serta telah mengendalikan sekurang-kurangnya 600 ceramah berkaitan Islam dan perbandingan agama, malah telah menulis buku-buku berkaitan.
Beliau turut dikenali sebagai pendakwah yang berkemampuan dalam menyampaikan mesej Islam melalui kaedah sains logik sesuai dengan latar pendidikannya.
Di India sendiri, ibu-bapa mereka cenderung mendidik anak-anak mereka agar dapat mengikuti jejak langkah tokoh-tokoh muda agama di sana.
Tidak menjadi kejutan di Institut Penyelidikan Islam di Bombay, mereka menerima kehadiran seorang kanak-kanak berumur 9 tahun yang mempunyai kemampuan berucap mengenai ilmu perbandingan agama kesan daripada didikan awal yang diberikan oleh ibu-bapa mereka meletakkan contoh ikutan yang terbaik untuk anak mereka.
Seorang lagi tokoh pendakwah antarabangsa, Dr. Jamal Badawi merupakan pengarah sebuah pertubuhan Islam di Halifax, Kanada.
Beliau merupakan profesor dalam bidang Pengurusan di Universiti St Mary. Setakat ini beliau telah menghasilkan beberapa buah buku berkaitan Islam serta terlibat hampir 350 jam segmen-segmen televisyen berbentuk pendidikan agama.
Mereka mengambil keputusan yang besar untuk mengorbankan nilai ijazah yang menjanjikan pulangan beribu ringgit melalui profesion mereka.
Ini tidak bermakna mereka mengetepikan nilai ilmu yang mereka perolehi melalui pengajian yang mengambil masa bertahun-tahun, tetapi mereka telah melakukan satu perubahan dengan menyelaraskan kefahaman Islam, dengan kepakaran mereka sehingga mampu menarik ribuan hadirin yang rata-rata beragama Islam, mencintai ilmu serta menjadikannya sebagai alat menyampaikan Islam kepada masyarakat.
Melayu Muslim perlu mempunyai cita-cita yang tinggi untuk mengikuti jejak-jejak mereka. Hari ini kita melihat golongan saudara baru berketurunan India dan Cina telah mengambil tempat memperkembangkan dakwah di dalam masyarakat masing-masing malah dalam masyarakat kita sendiri.
Seorang usahawan bernama Lim Jooi Soon atau dikenali sebagai Abdul Rahman Lim, dan bekas pelajar Dr. Zakir Naik sendiri iaitu Shah Kirit Kalkulai Govindi, merupakan golongan pelapis saudara baru yang giat mengadakan usaha dakwah ke seluruh Malaysia, khususnya dalam bidang perbandingan agama sebagaimana yang dipaparkan dalam majalah Al-Islam keluaran Oktober dan Disember 2002.
Apa yang mendorong mereka turun ke padang mengorbankan sebahagian besar masa dan tenaga untuk berdakwah? Firman Allah Taala memberi jawapan: “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan daripada keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” (Al Baqarah: 159)
Janganlah kita menjadi seperti golongan Yahudi yang menyembunyikan ayat-ayat Allah kerana merasakan hanya mereka yang layak memilikinya.
Golongan Yahudi berdasarkan latarbelakangnya, terbahagi kepada tiga, pertama mereka yang mengingkari suruhan Allah, mereka yang beriman tetapi tidak berdakwah dan mereka yang mentaati Allah s.w.t.
Dua golongan yang pertama diazabkan oleh Allah dengan pelbagai bala sebagai hukuman. Bacalah di mana-mana ayat surah Al-Baqarah menggambarkan keadaan mereka yang termasuk dalam ketiga-tiga golongan itu, sebahagian menerima nikmat dan sebahagian menerima azab.
Hari ini, ia menjadi peringatan kepada kita serta kepada generasi kita. Kelahiran generasi al-Quran perlu agar tersemat di dada ketakwaan dan keinginan berkongsi kepada semua.
Islam perlu dikongsi kepada semua. Sesuai dengan hadis Nabi Muhammad s.a.w, “Sampaikan daripadaku walau sepotong ayat”. Adakah sukar untuk kita membuka mulut bercerita tentang Islam atau setidak-tidak menunjukkan akhlak mulia sebagai medium dakwah?
Dari masa ke masa, pembacaan meluas perlu dilakukan. Mulianya orang Islam itu ialah bersedia berkongsi kebaikan kepada semua.
Kita tidak boleh meletakkan tanggungjawab dakwah di bahu pegawai-pegawai agama yang sentiasa menumpukan khidmat di jabatan-jabatan.
Sebaliknya kita sendiri dengan latar pendidikan yang ada, perlu merencanakan sesuatu bagaimana ingin menjurus kepakaran kita dengan ajaran Islam agar agama suci ini dilihat sebagai agama yang meliputi semua perkara dari sekecil-kecil sehingga sebesar-besar aktiviti kehidupan.
Telah lahir ramai di kalangan kita mereka yang berkelulusan sehingga ke tahap Master dan Ph.D dalam bidang pengajian Islam mahupun bidang profesional yang lain.
Namun menjadi kebimbangan, jika nilai ilmu yang diberi pada kedudukan sangat tinggi oleh institut pengajian terbuka hanya menjadi landasan atau tiket untuk meraih pendapatan yang tinggi berdasarkan jawatan atau peluang perniagaan di hadapan mata tanpa mengambil kira masyarakat setempat.
Berapa ramaikah Muslim di Malaysia turun ke desa-desa meletakkan kedudukan setara dengan mereka, dengan satu tujuan iaitu memberi inspirasi serta semangat kepada beliawan dan beliawanis Muslim agar mengikuti jejak langkah kita atau melangkah lebih jauh ke hadapan? Persoalan ini perlu ditanya dalam jiwa setiap hari.
Jika golongan yang diharapkan ini masih gagal merenung tanggung jawab mereka. Tokoh seperti Sheikh Ahmed Deedat perlu menjadi contoh yang perlu diteladani.
Beliau bukan seorang lulusan universiti apatah lagi merupakan lulusan pelajar sekolah yang keciciran kerana kemiskinan. Namun hanya satu sahaja ilmu yang mampu dikuasai iaitu bahasa Inggeris.
Bermula sebagai pembantu kedai runcit, kemudian penjual garam beralih sebagai pemandu lori dan pekerja gudang, beliau tidak jemu menggali ilmu Islam serta perbandingan agama dalam keadaan tidak formal tanpa ijazah sehingga mampu berkongsi kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di seluruh dunia.
Keadaan beliau yang lumpuh hari ini tidak pernah melemahkan semangat dakwahnya malah beliau pernah mengatakan umat Islam di Malaysia ada kekuatan mengubah dunia. Itulah beliau, tokoh yang menerima anugerah Raja Faisal di Arab Saudi sekitar tahun 1990an dahulu.
Keluarga Muslim hari ini perlu berfikir apakah pelan tindakan yang perlu dilakukan ke arah melahirkan anak-anak yang mampu menguasai bidang-bidang profesional serta bidang dakwah.
Jika masyarakat antarabangsa mampu melahirkan barisan pendakwah yang hebat, mengapa tidak kita? Apa cacat celanya Melayu Muslim di Malaysia yang menjadi penghalang kepada kita selama ini?
Pejamkan mata, berimaginasilah, bayangkan di hadapan anda adalah anak-anak anda seorang doktor, peguam, profesor, saintis atau usahawan berjaya sedang berdiri di hadapan masyarakat Barat tanpa gentar dan bangga berkongsi kecantikan Islam kepada mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: