Falsafah motivasi – Menjana kecemerlangan muslim

30/03/2004
Motivasi adalah perkataan yang dahulunya jarang sekali kedengaran di khayalak ramai, tetapi hari ini perkataan tersebut seolah-olah sebaris perkataan yang perlu disebut dalam perbualan umum. Dahulunya, istilah ini diguna pakai oleh motivator-motivator di sekolah-sekolah melalui bengkel-bengkel peperiksaan, selain daripada firma-firma yang menjemput pakar-pakar pembangunan individu di dalam progam-program khusus.
Hari ini ia tidak sekadar berlaku sebagai satu progam rasmi, sebaliknya keprihatinan ibu bapa tentang apakah itu motivasi menjadikan ia semakin berkembang dari sudut kepentingan dan keperluan.
Apakah yang dimaksudkan dengan motivasi? Taidin Suhaimin, professional terlatih dalam ilmu kepimpinan, fasilitator dan jurulatih hubungan personal dan interpersonal serta kepimpinan organisasi menyebutkan motivasi diambil daripada perkataan bahasa Inggeris, Motivation. Perkataan asalnya ialah motif yang juga telah diberi pengistilahan baru ke dalam Bahasa Melayu kepada motif bermaksud tujuan.
Betapa pentingnya motivasi dalam kehidupan khususnya dalam menjana kecemerlangan kehidupan Muslim dapat diambil melalui falsafah dan intipati motivasi itu sendiri. Di antaranya ialah:
– Motivasi adalah arah tuju. Motivasi berperanan membina kehendak dan kefahaman seseorang tentang arah tujuan tindak-tanduk seseorang. Persoalan-persoalan asas seperti mengapa, kenapa, bila, di mana, siapa, untuk siapa seseorang itu melakukan sesuatu berlaku kesan daripada motivasi diri untuk mencapai hasratnya. Ia dikukuhkan lagi dengan catatan cita-cita yang jelas. Motivasi bermula daripada kehendak diri yang mempengaruhi lingkungan keluarga, negara dan komuniti. Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebagaimana diisytiharkan melalui kenyataan rasmi kepimpinan negara adalah satu contoh gerakan motivasi dalaman yang perlu didukung melalui tindakan rakyatnya agar ia disusuli melalui pengisian sebenar.
– Motivasi adalah kesan daripada stimulasi akibat keghairahan tentang sesuatu. Seseorang kebiasaanya bertindak kesan daripada kejadian atau perkara yang menjadi stimulasi yang mendorong pelakunya melaksanakannya. Seorang ayah sanggup bekerja lebih masa kerana ingin memberikan anak-anak pendidikan yang terbaik untuk masa depan mereka. Keadaan ini memperlihatkan bagaimana anak-anak merupakan stimulasi kepada ayah tersebut untuk berusaha lebih keras dan bersungguh-sungguh kesan daripada motivasi tersebut.
– Motivasi menggerakkan rasa berani menghadapi ketakutan, risiko dan kegagalan. Ubat mujarab untuk menghadapi ketakutan ialah dengan berhadapan dengannya. Menjauhkan diri daripada unsur-unsur ketakutan atau risiko dan kegagalan tidak menyelesaikan masalah dan ia akan terus menghantui kehidupan dan berakhir dengan kualiti hidup yang rendah.
Anthony Robbin, pengarang buku Unlimited Power pernah mengkritik ahli-ahli psikitari Amerika dalam kaedah mengubati para pesakitnya. Kritikan terbuka tersebut disertai bersama dengan cabaran, dengan memberikan beliau kes seorang pesakit yang mengalami fobia berhadapan dengan ular kesan daripada mimpinya digigit ular setiap kali waktu tidurnya. Kes fobia tersebut berlanjutan melebihi empat tahun dengan susulan terapi ahli psikologi.
Anthony Robbin menyelesaikan masalah pesakit tersebut dengan meletakkan seekor ular di lehernya dan dalam masa 15 minit, hasilnya pesakit tersebut berjaya berhadapan dengan rasa takutnya. Kita dapat melihat, kadangkala apabila kita memotivasikan diri untuk berhadapan dengan ketakutan ia mungkin menyelamatkan lebih banyak masa dan peluang dalam kehidupan yang boleh dimanfaatkan.
Pendakwah-pendakwah Muslim di serata dunia adalah tulang belakang gerakan Islam sejak awal lagi, bermula dari zaman para sahabat Rasulullah sehinggalah hari ini. Inilah salah satu golongan yang patut kita lihat dan dijadikan contoh bagaimana mereka berhadapan dengan rasa takut berjauhan dari kediaman, keluarga dan dalam masa yang sama membuang rasa takut ditolak pendakwahan mereka terhadap masyarakat kepada cara hidup Islam.
Melaka, contoh empayar kejayaan kerajaan Islam di Tanah Melayu yang dihormati dan disegani kesan daripada susulan bijak pendakwah yang juga pedagang dari Tanah Arab yang jauh beribu batu kerana dakwahnya. Jika pendakwah-pendakwah Arab ini bimbang dengan penolakan ajakan mereka kepada rakyat tempatan, mungkin umat Islam di Malaysia tidak seramai hari ini.
– Motivasi pengukur kepada kesungguhan. Sikap dan tingkah laku seseorang amat berkait rapat dengan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu. Darjah kesungguhan dinilai melalui keseriusan seseorang dalam memenuhi impian dan amanah yang diberikan. Masalah dan halangan tidak menjadi penghalang besar selagi tahap motivasinya berada pada tahap yang tinggi dan tidak ia mampu diganggu gugat oleh sesiapa pun sama ada dalam bentuk kritikan, sindiran, ketidak percayaan seseorang dan seumpamanya.
Nilai motivasi adakalanya mencerminkan nilai peribadi seseorang dan memberi pengaruh mendalam kepada mereka di sekeliling. Ibu dan ayah, sebagai model kepimpinan keluarga melalui tindakan dan pemikiran dalam lingkungan motivasi yang tinggi memberi impak kepada perkembangan kanak-kanak di rumah. Dengan ertikata lain, motivasi yang bermula dari dalam diri menjadi momentum kepada lebih banyak tindakan dan pemikiran positif.
Seorang ibu yang merupakan seorang pensyarah pernah berkongsi kisahnya kepada penulis bagaimana beliau berjaya menukar watak anaknya yang pendiam dan kurang gemar bercampur dengan rakan-rakan sekelasnya kepada seorang yang aktif dan ceria.
Di rumah, ibu ini seringkali menggalakkan anaknya untuk bercerita tentang apa sahaja mengenai dirinya atau perkara-perkara yang terlintas di fikirannya dan ada masanya ia akan membawa anaknya ke kedai-kedai buku dan menggalakkan anaknya menyertai pertandingan yang dianjurkan tidak kira sama ada kuiz mahupun pertandingan cerita.
Apa yang boleh kita pelajari di sini ialah motivasi seorang ibu dalam membantu anaknya membentuk personalitinya, telah memberi satu tujahan kepada motivasi yang berada dalam diri kanak-kanak kecil itu sehingga beliau menjadi seorang yang yakin terhadap diri. Perkara ini amat penting, kerana dalam tahun-tahun mendatang ini kita perlu mempersiapkan generasi Muslim dengan unsur kekuatan jiwa agar mereka siap siaga terhadap apa sahaja yang datang menggoyah nilai diri dan agama.
– Motivasi dapat dibentuk dalam diri sebagai satu tabiat kekal dalam menjalani rutin seharian. Dalam pembentukan tabiat, sebagaimana dinyatakan oleh Stephen R Covey, pengarang 7 Habits of Highly Effective People, ia perlu kepada penggabungan tiga unsur iaitu ilmu yang betul, keinginan membara dan kemahiran yang tepat.
Jalinan emosi dan motivasi amat penting kerana ia merupakan pengikat kepada diri dalam sebarang tindakan. Dengan pengamalan semangat yang positif, seorang Muslim lebih bersedia melihat setiap tindakan sebagai tahap memperbaiki diri sehingga mana setiap kesusahan dilihat sebagai peluang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: