Fokus terancang – Memenuhi matlamat yang diamanahkan

15/01/2004
Sebelum anda melakukan sesuatu yang menjadi rutin pada hari ini, cuba kita berhenti sejenak dan bertanyakan apakah aktiviti yang kita lakukan hari ini mempunyai sesuatu perkara yang ingin dicapai atau sebaliknya. Adakah ia sesuatu yang terpaksa kita lakukan atau ia mempunyai signifikan yang tersendiri dalam kehidupan.
Kisah-kisah manusia yang serba serbinya gagal dalam kehidupan merupakan cerita yang sering tidak lekang dari bibir kita. Gagal dalam membina keluarga, gagal dalam perniagaan atau mungkin dalam pendidikan menjadi sesuatu yang digeruni dan ingin dijauhi.
Manusia, dalam kehidupannya hari ini melalui pelbagai pahit manis dan cabaran yang memberi pelbagai impak cukup besar, dan ia bergantung kepada bagaimana seseorang itu bertindak balas terhadapnya.
Namun demikian, seseorang perlu menyedari bahawa setiap sesuatu yang dilakukan di muka bumi ini, perlu memenuhi salah satu syarat asas ke arah memenuhi matlamat tugas yang diamanahkan atau mungkin sebarang kehendak yang ingin dipenuhi, iaitu dengan meletakkan fokus yang betul dan terancang.
Fokus, bukannya sesuatu yang dianggap perkara baru untuk diketahui oleh masyarakat dan umat Islam hari ini untuk diperbincangkan. Cuma ia merupakan satu konsep asas yang diketahui ramai tetapi tidak semua memberi keutamaan kepadanya. Fokus membawa pengertian pusat bagi setiap bentuk minat, kehendak dan aktiviti yang melibatkan konsentrasi dan pemerhatian yang khusus dan jelas.
Dalam kitar hidup manusia, kita tidak dapat lari daripada mengaplikasikan konsep ini selagi manusia terus bergerak dengan aktivitinya sesuai dengan sifat seorang manusia.
Dalam ibadah solat lima kali sehari, fokus amat sinonim dengan istilah khusyuk. Setiap rukuk dan sujud dalam gerakan solat, minda terus menerus mengingati kebesaran Allah dan meletakan diri sebagai hamba yang bergantung kepada-Nya saban waktu.
Sedaya upaya kita cuba menolak sebarang gangguan dalam pemikiran daripada hasutan syaitan untuk mengingati perkara-perkara lain yang tidak ada mengena dengan tuntutan solat.
Oleh kerana itu, ibadah dengan nilai fokus atau kekhusyukan yang tinggi merupakan ibadah yang berkualiti dan menghasilkan kesan mendalam terhadap pelakunya.
Melalui fokus, kita sebenarnya melalui proses memahami apakah kehendak dan keperluan sesuatu tugas itu untuk dilaksanakan. Seandainya kita seorang usahawan Muslim dalam menjalankan usaha niaga dengan memenuhi keperluan orang ramai melalui khidmat dan barang yang ditawarkan, fokus yang perlu ada ialah memberi yang terbaik, halal dari sudut syariat dan rezeki yang diperoleh tidak lain tidak bukan ialah untuk memenuhi keperluan diri, isteri dan anak-anak.
Seawal perbincangan, penulis mengutarakan betapa gemarnya manusia bercerita kisah-kisah manusia yang serba serbinya gagal dalam kehidupan. Tidak kurang juga, mereka yang gagal berhenti dalam menggandakan usaha untuk mencapainya. Salah satu punca mengapa keadaan ini berlaku ialah kurangnya fokus terhadap perkara tersebut.
Seorang graduan dalam pencariannya untuk mendapat sebarang pekerjaan hari ini, terpaksa bersaing dan berhadapan dengan krisis 51,000 graduan lain yang menganggur dan mempunyai dua pilihan dalam kehidupan, sama ada terus berputus asa dan berhenti daripada terus mencari pekerjaan atau mungkin mencari alternatif-alternatif lain dalam usahanya.
Fokus beliau ialah mencari sumber pendapatan halal untuk menampung kehidupan dan melangsaikan pinjaman pendidikan mencecah berpuluh ribu ringgit, dan kerana fokus yang tetap dan konsisten serta semangat untuk memenuhi kehendaknya, graduan ini mencari alternatif-alternatif lain selain daripada mencari pekerjaan, iaitu dengan melibatkan diri dalam perniagaan meskipun kecil-kecilan.
Bertitik tolak dari situ, melalui fokus juga graduan tersebut merancang ke arah menjana pendapatan yang lebih baik, kerana beliau faham usaha yang dilakukannya tidak sekadar untuk diri, tetapi untuk mereka yang bergantung kepadanya dan ummah. Seandainya beliau berhenti berusaha hanya kerana kegagalan tersebut, itulah kegagalannya yang sebenar kerana beliau tidak tahu mungkin dengan sedikit usaha sahaja, rezeki kurniaan Allah pasti datang menggolek.
Kehidupan setiap hari berhadapan dengan pelbagai bentuk risiko, kerana itu fokus amat penting dalam mengimbanginya. Melalui fokus, minda akan lebih positif, individu bersedia untuk lebih komited dalam kehidupan, risiko dilihat sebagai peluang, cabaran dilihat sebagai guru membina jiwa.
Sejarah Islam yang terbentang di hadapan kita penuh dengan dugaan dan cabarannya. Bagaimana seawal perkembangan Islam tidak kurang yang kehilangan jiwa mempertahankan kebenaran Islam, dan di bibir-bibir syuhada, mereka meyakini janji Allah itu adalah pasti dan Islam pasti gemilang. Ini kerana fokus di minda terbentuk dengan keinginan mendapat keredhaan Allah di dua dunia, mereka berjuang dalam setiap apa yang dilakukan.
Perkara kecil di sisi manusia dilihat sebagai suatu yang besar dan bernilai selagi fokusnya untuk meraih cinta Allah, cinta agung dan sejati.
Fokus perlu datang bersama dengan kefahaman tidak sekadar keinginan meluap-luap. Melalui kefahaman melalui ilmu, fokus yang terbentuk akan lebih rasional, terarah dan mempunyai nilai yang tinggi dalam lembaran hidup seorang insan. Dengan adanya fokus juga, impian seseorang ditolak kehadapan daripada sebuah idea kepada perkara yang realistik dalam dirinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: