Jangan biar jawi mati sebab sikap Melayu

22/01/2003
SELAMAT datang Daily Oriental, selamat tinggal Utusan Melayu. Mesej terakhir itu terkandung dalam ruangan Bisik-Bisik oleh Awang Selamat pada 19 Januari 2003. Tidak dapat ditolak hakikat bahawa jawi berperanan dalam menyuarakan hasrat Melayu ketika bangsa ini bangkit menentang penjajah bermula daripada kelahirannya pada tahun 1939.
Hari ini jawi bukannya satu yang bersifat massa, yakni sudah hilang kepentingannya dalam masyarakat dan tidak mampu dikekalkan sebagai satu warisan yang dibanggakan.
Selaku generasi muda hari ini, saya amat beruntung kerana masih mampu membaca dan menulis dalam tulisan jawi meskipun jawi hari ini mengalami perubahan sistem ejaan akibat penambahan perbendaharaan kata dari hari ke hari.
Namun, merenung kepada majoriti daripada kita, jawi seumpama tidak wujud lagi dalam kamus kehidupan Melayu. Mengapa keadaan ini terjadi?
Jawi hilang kerana sikap Melayu sendiri. Tidak ada rasa menghargai dan mencintai nilai warisan bangsa yang banyak berjasa ke arah perjuangan dan perkembangan awal negara.
Mengekalkannya amat penting dalam memastikan kesinambungannya kepada generasi mendatang. Dalam usaha mengekalkannya, idea-idea baru serta menyemak kembali kegagalannya menambat hati anak-anak muda perlu kita teliti semula.
Pendidikan jawi di sekolah hari ini menggabungkan bersama pendidikan Islam dengan menggunakannya sebagai tulisan buku teks.
Namun begitu, tenaga pengajar berhadapan dengan kesukaran kerana keperluan pendidikan yang menjurus kepada peperiksaan mendesak mereka untuk mengguna nota-nota bertulisan rumi yang mudah didapati di pasaran bagi memenuhi keperluan masa pelajar yang semakin singkat sebelum peperiksaan. Sewajarnya jawi diwujudkan sebagai satu sukatan berasingan agar pengajaran yang lebih mantap dapat dipraktikkan. Utusan Melayu mungkin akan mati, tetapi jangan biarkan jawi mati bersamanya.
Surat-surat khabar tempatan berbahasa Melayu perlu bersedia menyediakan setidak-tidaknya satu atau separuh muka penuh ruangan berita dunia, sukan atau hiburan yang bertulisan jawi. Kita tidak mahu orang tidak tahu apa itu jawi apabila Utusan Melayu bakal dihentikan pengeluarannya kelak.
Maaf jika saya katakan media cetak berunsurkan jawi mengalami masalah kualiti dari sudut persembahannya. Jumlah terbitan majalah kanak-kanak atau remaja berunsur jawi amat kurang di pasaran dan jika ada pun, tulisan-tulisan kecil yang membosankan, penggunaan warna yang menyakitkan mata menyebabkan remaja lebih gemar memilih majalah atau akhbar yang mempunyai kualiti dan persembahan lebih baik berbanding akhbar atau majalah-majalah berunsur jawi.
Peranan kepimpinan mahasiswa yang popular dengan suara-suara memperjuangkan kebajikan pelajar dan kadang kala bersifat politik memang diketahui ramai.
Tetapi kepimpinan muda dalam barisan perwakilan pelajar di IPTA-IPTA seperti UKM, UM, UUM, UIA dan seterusnya `sunyi’ dalam memperkatakan isu jawi sejak dari dahulu lagi. Apakah jawi tidak ada nilai bagi mereka?
Artis-artis Melayu yang mempunyai sejumlah bilangan peminat yang mencecah ribuan perlu mencari jalan menggunakan populariti mereka untuk menarik para peminatnya mendalami dan mencintai jawi sebagai warisan bangsa.
Hairan, melihat majoriti artis-artis Melayu lebih gemar dan berbangga mempromosikan gaya fesyen Barat di dada akhbar dan majalah, tetapi tidak pernah bercakap tentang kepupusan tulisan jawi.
Hari ini kerajaan dengan sokongan Puteri UMNO giat menjalankan kempen English On Wheel dalam usaha mencambah minat para pelajar menguasai bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Mungkin selepas ini jika ada ahli-ahli Puteri yang berkemampuan membaca dan menulis jawi menggunakan daya upaya serta semangat yang ada untuk mempromosikan Jawi On Wheel kepada anak bangsa kita khususnya di bandar-bandar?
Harapan untuk melihat generasi muda mengenali jawi sebagai satu aset berharga bangsa masih terpahat di jiwa pejuang-pejuang jawi. Mungkin Utusan Melayu akan mati tapi jangan biarkan jawi mati bersamanya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: