Jemput Jerry Falwell ke Malaysia

07/10/2002

Pendapat saya ini mungkin tidak sampai ke peringkat pembaca antarabangsa, namun saya percaya tanggungjawab sebagai seorang Muslim perlu dipenuhi dalam memastikan Islam tidak mudah diperkotak-katikkan oleh sesiapa sahaja. Membaca laporan berita muka hadapan Utusan hari Sabtu, 5 Oktober 2002, yang menyatakan stesen televisyen CBS yang sangat berpengaruh di Amerika Syarikat (AS) secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad s.a.w. untuk menyiarkan satu wawancara seorang paderi yang memburukkan Baginda dan Islam.
Dalam hal ini kita melihat kenyataan paderi Kristian Amerika Syarikat (AS), Jerry Falwell benar-benar tidak memahami Islam dari sudut pandangan yang betul. Apakah ini sikap seorang paderi yang perlu dicontohi? Menghina, melempar kata-kata kesat ke atas agama lain tanpa mengira sensitiviti umat Islam keseluruhan. Sikap sebegini hanyalah satu permainan lapuk yang diulang-ulang. Tindakan Falwell yang berkata: “Saya fikir Muhammad adalah seorang pengganas” bagi saya adalah satu titik kecil daripada ribuan titik kecil yang wujud di laman-laman web anti-Islam.
Inilah yang dikatakan oleh Thomas Carlyle dalam salah satu ucapannya yang kini telah dibukukan, Heroes and Hero Worship and the Heroic in History (lihat muka surat 57), bahawa Penipuan dan dakwaan palsu ke atas Nabi Muhammad adalah satu penghinaan ke atas kita semua.
Sikap tokoh Kristian seperti Thomas Carlyle merupakan gambaran sifat seorang Kristian yang dinyatakan di dalam al-Quran:
Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani. Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong surah al-Maidah ayat 82.
Falwell mendakwa kenyataannya adalah berdasarkan buku-buku tulisan penulis-penulis Islam dan bukan Islam mengenai Nabi Muhammad dan menganggap Baginda sebagai `seorang yang keras dan suka berperang.’
Dalam keadaan ini, beliau mungkin tidak membaca buku seorang tokoh Kristian Reverend R. Maxwell King yang mengatakan bahawa Setelah membaca buku-buku karangan Muslim – melihatkan rasa hormat dan kasih mereka ke atas Nabi Isa a.s., hinggakan ia membuatkan saya terlupa yang saya bukannya membaca buku karangan seorang penulis Kristian. Sangat menyedihkan apabila melihat ucapan dan penulisan Kristian terhadap Muhammad. Adalah lebih baik jika kita menolak sikap angkuh dan mengatakan perkara yang benar mengenainya.
Alhamdulillah, Malaysia sebuah negara yang berbilang kaum dan agama adalah satu negara yang yang patut diteladani oleh Jerry Falwell dan Pat Robertson iaitu bagaimana kita mempraktikkan amalan hormat-menghormati antara satu sama lain. Ini yang dinyatakan oleh Dr. John Gupusamy seorang tokoh Kristian dan Dr. K. Sri Dhamananda seorang tokoh agama Buddha dalam Dialog Antara Agama yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada bulan September lalu.
Dr. K. Sri Dhamananda bersetuju isu salah faham antara agama sememangnya wujud dan berlaku, tetapi beliau gembira dengan keadaan rakyat Malaysia yang bersedia duduk semeja berbincang dan sedia bekerjasama ke arah keamanan negara.
Di dalam bukunya, Buddhist Attitude Towards Other Religions, beliau memetik kata-kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad yang mana toleransi yang dipraktiskkan oleh masyarakat Islam di Malaysia terhadap agama-agama lain adalah asas kekuatan keharmonian negara.
Pada masa akan datang UIAM akan menganjurkan Dialog Antara Agama peringkat nasional, alangkah baiknya jika kedua-dua tokoh Kristian yang kontroversi ini dijemput datang melihat kecantikan Malaysia dalam toleransi agama.
Bayangkan apa pandangan masyarakat Kristian di Malaysia apabila mendengar pandangan tokoh agama seperti kedua-dua mubaligh itu di kaca TV Malaysia. Saya yakin ramai yang akan mengkritik tindakan mereka sebagai bukan golongan agama.
Kita mengharapkan pada masa akan datang, mereka lebih sensitif dengan isu-isu sebegini. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Awang Sulung “ia sudah tentu mencetuskan kemarahan umat Islam di dalam dan di luar Amerika.”
Adalah lebih baik Falwell dan rakannya mencari jalan tengah ke arah perpaduan antara masyarakat Kristian dan Islam di AS, selain daripada membuang masa menghentam pihak lain. Umat Islam telah lama bersedia duduk bersama berbincang ke arah persefahaman kerana itulah yang diperintahkan oleh Allah:
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun dan jangan pula sebahagian daripada kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain daripada Allah. Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam surah al-Imran: ayat 64.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: