Jihad – Gerakan dinamik bukan permusuhan

26/03/2003
Manusia meneruskan kehidupan di muka bumi ini dengan matlamat. Melalui matlamat yang jelas dan terancang, kehidupan akan lebih terurus dan bersistematik. Kekaburan dalam menentukan hala tuju hidup menyebabkan manusia gagal memahami hakikat diri dan tujuan kewujudannya.
Muslim seharusnya bersyukur kerana dengan pimpinan wahyu daripada Allah s.w.t. menjadikan kita golongan yang beruntung kerana dengan redha Allah s.w.t., hidup dijalani dengan satu cita-cita dan usaha yang jelas sehingga ke titik pengakhiran.
Jihad amat sinonim dengan kehidupan Muslim setiap waktu. Kerana inilah Muslim menjalani satu bentuk kehidupan dengan penuh semangat dan berani menghadapi dugaan.
Untuk membincangkan konsep secara menyeluruh dalam konteks kehidupan seorang Muslim, kita perlu kembali kepada pengertian yang lebih tepat melalui sumber-sumber al-Quran dan Hadis.
Dari sudut bahasa, jihad berasal daripada kalimah al-juhd yang bererti keberatan dan kesusahan. Dipandang dari sudut ini, maka jihad bererti mencurahkan daya dan tenaga kekuatan dalam usaha mencapai suatu matlamat atau cita-cita mulia dan ideal, iaitu matlamat dan cita-cita Islam serta mendapat keampunan Allah, keredhaan dan rahmat-Nya.
Dalam pengertian yang lain, jihad adalah mencakupi suatu usaha bersungguh-sungguh untuk mencapai satu-satu tujuan yang diingini atau mempertahankan sesuatu yang tidak diingini dengan berbagai cara sama ada alat, ilmu pengetahuan dan sebagainya.
Salah faham mengenai jihad masih bebas berlegar di dalam masyarakat antarabangsa dan tempatan, tambahan lagi dunia yang mengalami sejarah hitam dengan berlakunya serangan Amerika Syarikat ke atas Iraq baru-baru ini.
Manusia mula rasa takut kerana bimbang seluruh umat Islam diseluruh dunia akan melancarkan jihad terhadap setiap individu yang bukan beragama Islam di sekelilingnya.
Jihad mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri. Seawal jihad yang utama ialah jihad mengenali Allah dan mencintai-Nya. Menjadi sifat semula jadi manusia untuk lebih mencintai apa yang dapat dilihat dan dirasa melalui pancaindera berbanding realiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Begitulah Allah, pencipta alam yang maha agung yang kadang kala dilupai oleh makhluk-makhluk-Nya. Buat golongan yang mengakui beriman, Allah berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu dan anak-anak kamu dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu dan kaum keluarga kamu dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).” (At-Taubah: 24)
Apabila seorang Muslim meletakkan kata putus untuk menjadikan Allah melebihi apa sahaja di muka bumi ini, maka konsep jihad amat penting dalam menghadapi tekanan keluarga, rakan sebaya dan masyarakat.
Sebagaimana disebutkan, “…dan berjuanglah dengan hujah-hujah al-Quran menghadapi mereka dengan perjuangan yang besar dan bersungguh-sungguh.” (Al-Furqan: 52)
Usaha seorang Muslim untuk terus hidup di landasan yang benar adalah disifatkan sebagai satu jihad, lebih-lebih lagi apabila hidup di dalam satu kelompok yang tidak patuh dan tidak mengendahkan cara hidup Islam yang mulia.
Dikaji semula sirah Nabawiyah, penghijrahan Baginda adalah satu usaha jihad agar Islam dapat dipraktikkan dengan aman dan tenteram. Di akhir ayat surah Al-Hajj ayat 78 menyebut: “Dan berjihadlah (jahidu) kamu pada jalan Allah dengan jihad (jihadihi) yang sebenar-benarnya. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya) dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”
Menyebarkan mesej Islam menjadi tanggungjawab setiap Muslim yang mencintai agamanya dengan kemampuan yang dimiliki oleh setiap individu. Usaha mulia untuk melihat kejayaan Islam melalui ruang lingkup dakwah dan islah ini menjadi sebahagian medan jihad bagi kita yang bergelar Muslim kerana Allah ada menyebutkan: “Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta dia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” (Al-Fussilat:33)
Tanggungjawab ini perlu sebagaimana disebutkan oleh Hamid Mavani di dalam artikel bertajuk Salah Faham Tentang Islam, bahawa istilah jihad seringkali dirujuk sebagai perang suci, padahal istilah ini daripada kalimah Arab ialah al-Harbul-Muqaddasah bukannya kata akar bagi jihad iaitu jaahada.
Malah istilah al-Harb-ul-Muqaddasah tidak akan dijumpai di mana-mana ayat di dalam al Quran dan himpunan hadis. (North American Islamic Education Board, 2001)
Selain itu, aplikasi jihad dalam kehidupan merujuk kepada mempertahankan Islam dan komuniti daripada serangan musuh. Dengan mengambil pergolakan yang berlaku hari ini sebagai contoh, menjadi tanggungjawab pemimpin Iraq untuk mempertahankan negara dan rakyat daripada sebarang serangan dan pencerobohan Amerika dan sekutunya Britain selepas pengisytiharan peperangan. Dan situasi ini, al-Quran memberi jawapan yang cukup jelas yang bermaksud: “Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Al-Hajj:39).
Malah dengan konteks yang lebih luas turut dibincangkan. Turut menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk mempertahankan golongan bukan Islam yang dianiayai.
Buktinya dengan merujuk kepada peristiwa yang berlaku di zaman nabi di mana baginda pernah melindungi Banu Khuzaah di Mekah daripada serangan Banu Bakr, sekutu pihak Quraisy selepas Banu Khuzaah memohon perlindungan dan memeterai perjanjian dengan kaum Muslimin di bawah kepimpinan Rasulullah.
Jihad dalam usaha membebaskan masyarakat daripada pemerintahan diktator yang memeras rakyat di bawah amanahnya dibenarkan dalam Islam.
Ekspedisi peperangan yang digerakkan oleh khulafa al Rasyidin ke Parsi, Rome dan kawasan sekitar bukan atas dasar penjajahan tetapi untuk menyelamatkan rakyat daripada terus dizalimi haknya oleh pemerintah. Malah kejayaan Islam menawan tempat-tempat tersebut disifatkan cahaya pembebasan oleh rakyat daripada belenggu ketakutan.
Al Quran menyebut: “Dan apakah yang menghalang kamu (maka kamu) tidak mahu berperang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam) dan (untuk menyelamatkan) orang-orang yang tertindas daripada kaum lelaki, perempuan dan kanak-kanak, iaitu mereka yang selalu (berdoa dengan) berkata:” Wahai Tuhan kami! Keluarkanlah kami dari negeri (Mekah) ini, yang penduduknya (kaum kafir musyrik) yang zalim dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang mengawal (keselamatan agama kami) dan jadikanlah bagi kami dari pihak-Mu seorang pemimpin yang membela kami (daripada ancaman musuh).” (An-Nisa:75)
Jihad adalah elemen ke arah memperbaiki diri, masyarakat dan keadaan. Tanpa konsep jihad, manusia mungkin kehilangan sesuatu yang berharga yang mampu mengangkat kedudukannya kembali secara adil dan saksama.
Dengan konsep jihad jualah, keamanan dapat dipelihara. Sebagaimana disuarakan oleh seorang tokoh akademik bukan Islam dari Barat yang berusaha menolak prejudis Barat hari ini, Marcel A. Boisard berkata jihad bukannya satu usaha permusuhan tetapi gerakan yang dinamik di mana keadilan, kasih sayang dan persamaan adalah tiga ciri utama ke arah hubungan kemanusiaan yang sihat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: