Lihat kembali nilai Hari Kekasih

12/02/2003
Pada 14 Februari ini dianggap sebagai sweet 14 bagi gadis atau jejaka yang bertuah kerana tarikh ini dianggap sebagai lambang ikatan kasih sayang antara pasangan bercinta. Pemberian sejambak bunga ros merah, coklat atau menghantar pesanan ringkas (SMS) kepada yang tersayang tepat jam 12 malam pada tarikh tersebut menambahkan lagi rasa gembira kerana merasakan diri dihargai.
Mungkin ada yang mengambil kesempatan keluar berdua-duaan untuk makan malam bersama di tempat yang ditempah khas. Malah, siaran televisyen pula giat bersaing menyiarkan kisah-kisah percintaan penuh dugaan dan romantis sehingga mampu menarik emosi penonton menghayatinya hingga ke akhir cerita.
Setakat mana kita di Malaysia memahami sejarah dan asal-usul Hari Valentine ini? Apakah ia satu hari yang mempunyai nilai sejarah tersendiri atau sekadar satu legenda dan mitos cebisan kisah-kisah lama?
Pensyarah Perbandingan Agama, Akademi Islam, Universiti Malaya, Khadijah Mohd. Hambali mengatakan Valentine atau nama sebenarnya St.Valentino merupakan seorang paderi yang paling berpengaruh di zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol yang kedudukannya dikatakan di tempat kedua selepas Pope.
Individu ini mempunyai ceritanya tersendiri. Pertama, ialah dia merupakan orang terpenting Ratu Isabella yang berperanan menumpaskan kerajaan Islam Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap oleh Ratu Isabella sebagai amat bermakna sehingga Valentino dianggap kekasih rakyatnya sendiri.
Oleh itu tarikh 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum di samping hari untuk merayakan kemenangan tersebut pada setiap tahun sekali gus mengenangnya sebagai mengingati St. Valentino sebagai rakyat Cordova.
Menurut versi kedua pula, sebelum kejayaan itu St. Valentino dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam manakala yang kedua beragama Kristian berfahaman Protestan. Oleh kerana berlainan agama, St. Valentino terpaksa melupakan kekasih pertama dan menumpukan perhatian kepada kekasih kedua.
Apabila ditanya Ratu Isabella apakah bentuk ganjaran yang boleh dikurniakan berikutan kejayaannya mengalahkan umat Islam, St. Valentino terus menyatakan yang dia ingin berkahwin dengan kekasih keduanya itu.
Ini terus menimbulkan kegemparan di kalangan rakyat Cordova sendiri kerana Valentino merupakan paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, sementelahan lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Ratu Isabella pula dikatakan murka dengan hasrat St. Valentino lantas memenjara paderinya itu buat sementara waktu.
Begitupun, baginda tetap cuba mengingati jasa paderinya itu dengan menetapkan 14 Februari sebagai Hari Mengingati Kekasih yang diperuntukkan khas untuk St. Valentino sendiri.
Baru-baru ini sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita AFP, Gabenor Bangkok mengarahkan pihak berkuasa bandar raya itu supaya tidak mempromosikan Hari Kekasih, sebaliknya meraikan `Hari Kasih Sayang Buddha’ atau `Maka Bucha’ pada 16 Februari ini. Sebagaimana diluahkan oleh setiausaha tetap Pentadbiran Metropolitan Bangkok, Natthanon Thavisin, mereka tidak mahu budaya asing begitu mempengaruhi rakyat Thailand dan berharap Maka Bucha menjadi hari penting pada bulan Februari ini.
Begitu sekali nilai sensitiviti masyarakat Buddha di Thailand, bagaimana dengan umat Islam di Malaysia? Sudah sampaikah penilaian kita ke tahap lebih baik mengenai sambutan hari mengingati kekasih?
Hari Valentine disambut sebagai menghargai nilai kasih sayang. Islam tidak meletakkan sekatan malah menggalakkan nilai kasih sayang disebar dan dikongsi bersama selagi mana kita memahami batas sempadannya yang digariskan oleh Quran dan sunah sehingga tidak mencampur-baurkan ia dengan budaya serta agama lain yang bertentangan.
Jika seseorang mengkaji ajaran Islam dengan teliti, kita dapat melihat bagaimana nilai kasih sayang mempunyai kedudukan yang tersendiri serta menjadi satu ikatan yang kukuh menghubungkan antara Allah dan ciptaan-Nya. Nilai kasih sayang Allah memberi pengampunan kepada hamba yang berdosa, memberi rahmat kepada alam, kesejahteraan kepada semua lebih patut dihargai tanpa batas waktu tertentu untuk mengucapkan lebih kesyukuran atas kurniaan-Nya. Kerana kasih sayang Allah, para Rasul dan Nabi diutuskan untuk memberi khabar gembira daripada Tuhan dan memperbaiki hubungan manusia di muka bumi.
Tiga kategori kasih sayang iaitu, kasih Pencipta kepada hamba-Nya, kasih hamba kepada Pencipta dan kasih makhluk sesama makhluk di iktiraf dalam ajaran Islam mempunyai ganjaran serta nilai yang hebat jika dihayati.
Kini Hari Valentine disambut meriah di kalangan remaja dan pasangan yang sudah berkeluarga tanpa dasar ilmu. Ini menggambarkan kefahaman sejarah yang rendah dan jaringan agama yang rapuh serta kehilangan identiti Muslim itu sendiri. Mungkin juga kerana bimbang dianggap tidak mengikut arus semasa menjadi alasan kita untuk meraikannya lebih hebat daripada hari-hari kebesaran Islam sendiri.
Saat ini ramai yang tertunggu-tunggu untuk menyambutnya 14 Februari. Oleh itu saya lebih cenderung untuk menyarankan agar kita menunggu tarikh ulang tahun perkahwinan dengan isteri yang dicintai atau kelahiran anak pertama kita kerana pada tarikh-tarikh inilah terkandungnya emosi dan pengalaman manis kita berbanding mengingati Valentino yang tidak kita kenali.
Nilai kasih sayang antara manusia kerana inginkan kasih sayang Allah sentiasa disanjung tinggi dalam Islam tanpa sekatan hari dan waktu. Permasalahannya, janganlah kita mudah terpedaya dengan langkah-langkah nafsu yang menjadikan kita jauh dari Tuhan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: