Minta percepat penubuhan Jabatan Pengurusan Risiko Penjagaan Kesihatan

25/04/2003
SAYA bersimpati dengan Tasrin Devaki atas pemergian suaminya sebagaimana yang diceritakan dalam Forum 23 April 2003.
Munasabahkah seorang doktor tidak membenarkan beliau menggunakan perkhidmatan ambulans untuk memindahkan suaminya yang sakit tenat dari rumah ke Jeti Pangkor?
Pada 17 Julai 1999, Perdana Menteri meminta semua pengarah hospital memberi perhatian terhadap aduan orang ramai melalui akhbar atau yang datang sendiri ke hospital kerajaan. Ini berdasarkan beberapa kes antaranya, kes seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina (SMJKC) Jit Sin, Bukit Mertajam, Liang Thian How, 18, menjadi mangsa langgar lari di jejambat Seberang Jaya, 26 Jun 1999. Dalam kejadian 10 malam itu, mangsa cedera parah dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan, tetapi seorang doktor dipercayai memberitahu tiada doktor pakar untuk merawat mangsa.
Mangsa dihantar ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang dan mati beberapa hari selepas kejadian itu (Utusan Malaysia 8 Julai 1999).
Ini sebenarnya cerita lama yang tidak ada kesudahan. Penulis mengakui sensitif dengan keadaan ini kerana penulis merupakan anak kepada bekas kakitangan hospital kerajaan yang berkhidmat lebih 25 tahun dan sedikit sebanyak merasa tempiasnya apabila imej jabatan kesihatan dicemari dengan sikap yang amat memalukan. Tambahan pula penulis sendiri pernah ditengking oleh seorang ketua jururawat di hospital tempat ayah penulis menjalani rawatan hanya kerana bertanya terhadap cara beliau mengendalikan keadaan kes ayah saya yang menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari yang sama.
Kita memang mengakui masih ada kelompok pakar perubatan, jururawat lama dan baru yang berkhidmat dengan betul serta peka dengan keadaan emosi pesakit dan ahli keluarganya.
Penulis juga mengakui sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Jabatan Kemalangan dan Kecemasan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Azhar Abdul Aziz bahawa tahap permintaan yang tinggi dan kurangnya kefahaman berhubung perkhidmatan hospital terutama di jabatan kecemasan sedikit sebanyak menyebabkan masalah seumpama ini sering berlaku. (Utusan Malaysia 18 Februari 2001)
Maka penulis menggesa Kementerian Kesihatan, selain mempercepatkan penubuhan Jabatan Pengurusan Risiko Penjagaan Kesihatan, hendaklah juga menubuhkan bahagian atau unit yang bertanggungjawab mengawal, memantau dan melatih kakitangan hospital supaya bersikap dan berkhidmat dengan mesra dan betul. Janganlah dibiarkan masalah ini berulang-ulang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: