Rakyat harus bersama cegah gejala seks remaja

07/08/2003
PENDEDAHAN isu gejala sosial melibatkan hubungan seks di atas tangga oleh beberapa pasangan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah melanjutkan lagi rasa kekesalan sebilangan rakyat negara ini.
Kekesalan timbul akibat daripada kegagalan menanganinya meskipun ia adalah rentetan kes-kes terdahulu yang tidak diketengahkan secara lebih meluas lagi.
Siapa perlu disalahkan kali ini? Pemimpin politik, masyarakat atau pihak institusi terbabit?
Rancangan televisyen tempatan Edisi Siasat terbitan ntv7 pada 2 Ogos 2003 (hari Sabtu) telah mengembalikan fungsi media dalam menyedarkan masyarakat dengan renjatan sosial di kalangan rakyat tempatan, khususnya remaja.
Adegan mengghairahkan melibatkan wanita Melayu berbaju kurung dengan seorang lelaki melepaskan nafsu daifnya melontarkan satu lagi peringatan bahawa gejala yang menjijikkan ini sudah sampai ke tahap klimaks.
Isu hari ini bukan sekadar isu kecil bangsa, tetapi inilah isu negara dan agama. Moral dan akhlak bagai tidak berperanan dalam mengatur kehidupan berdisiplin. Kesukaran yang kita hadapi kali ini ialah keengganan pihak pengurusan premis kediaman mengusahakan sesuatu dalam memerangi kejahilan masyarakat ini.
Sikap tidak peduli masyarakat kerana rasa bimbang akibat melaporkannya, kelewatan pihak-pihak tertentu mengambil tindakan dan ketidakprihatin wakil rakyat setempat adalah sebahagian batu penghalang membersihkan masalah masyarakat ini.
Sudah beberapa kali kita mendengar ulasan demi ulasan dikeluarkan namun titik noktahnya masih tidak ditemui. Apa sudah jadi?
Debat politik rancak terjadi, isu demi isu dilonjakkan ke pengetahuan umum. Namun apa yang ingin dilihat ialah kerjasama dan perpaduan serta sokongan antara pihak untuk duduk semeja membicarakan soal ini dan melaksanakan tindakan secekap mungkin.
Isu seks di atas tangga bukan isu orang Melayu tetapi isu rakyat Malaysia. Jika dibiarkan berleluasa, boleh jadi seorang anak kecil atau remaja kaum lain yang menontonnya mengintai-intai peluang melakukannya kelak.
Maka bagi mengatasi masalah seks di kalangan remaja ini kerjasama antara kaum hendaklah diwujudkan untuk menggerakkan usaha pengawalan dan pencegahan maksiat tersebut daripada berleluasa.
Permasalahan ini bagaikan mengingatkan setiap kaum pada nilai agama masing-masing tidak kira Islam, Buddha, Kristian mahupun Hindu untuk menunaikan amanah sejajar dengan didikan agama.
Malah ini adalah tanggungjawab bagi mereka yang menjun-jung Rukun Negara pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan untuk memenuhi nilai kepercayaan dengan tindakan – bukan sahaja mengimani sesuatu tanpa perbuatan.
Cinta remaja hari ini makin sudah hilang arah tuju kesan kurang bimbingan dan penghayatan konsep murni ini. Matlamat sudah hilang dan nafsu disandarkan. Menidakkan konsep cinta remaja dengan menyifatkannya sebagai satu perkara yang sia-sia untuk diperbincangkan dalam institusi keluarga hatta masyarakat membawa remaja mendefinisikan konsep cinta mereka tanpa ilmu dan berakhir dengan gejala-gejala begini.
Hakikatnya konsep cinta perlu ditangani secara bermaruah oleh pasangan dengan rasa hormat terhadap hak serta melindungi diri serta perhubungan dalam menjaga kualiti serta keutuhannya.
Dalam kita melarang mereka dengan istilah `jangan’ secara berterusan, ia perlu digandingkan bersama dengan istilah `kerana’ agar remaja sedar apa yang dilarang ada hikmah di sebaliknya. Inilah salah satu daya usaha kita dalam melaksanakan amal makruf nahi mungkar dalam komuniti hari ini.
Gaya intelektual siswa dan siswi sudah dicemari. Ibu bapa sudah hilang rasa percaya dengan keupayaan institusi pengajian membentuk sahsiah pelajar, lebih-lebih lagi apabila sudah berjauhan.
Meskipun sistem pendidikan sedang pesat dibangunkan dengan pengenalan sukatan dan sistem pendidikan terkini, namun sukatan pendidikan akhlak sudah semakin menurun.
Tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak, cuma rantaian hubungan antara pihak perlu diperkuatkan dan diperjelaskan lagi. Jika salah satu pihak enggan berubah, apakah perkara ini akan dapat diselesaikan? Gandingan mantap dan berhenti sejenak untuk menuding jari mana-mana pihak buat sementara waktu amat penting untuk berhadapan dengan krisis.
Di luar sana, masih ada keluarga yang mempunyai anak-anak kecil, lelaki dan perempuan yang sedang meningkat dewasa dan bakal menjejakkan kaki keluar untuk meneruskan kehidupan remaja. Seandainya kita masih bijak beretorik, manakan mungkin masalah ini akan selesai?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: