Tingkatkan penterjemahan laman web ke bahasa Melayu

11/04/2003
BAHASA Inggeris, Mandarin, Arab kini berkedudukan di Malaysia di samping bahasa Melayu.
Usaha kerajaan melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik dilakukan setelah mengambil kira situasi kini yang memperlihatkan penggunaan bahasa ini secara meluas di peringkat dunia. Kekuatan bahasa Arab pula dilihat dari segi kedudukannya sebagai bahasa ilmu Islam. Mandarin pula menjadi tumpuan setelah mendapat aduan-aduan yang mengatakan kekosongan jawatan memerlukan bahasa Cina sebagai kelayakan. Kementerian Pendidikan sedang mengkaji untuk memasukkan mata pelajaran Mandarin di sekolah-sekolah kebangsaan.
Dengan pengukuhan kedudukan tiga bahasa itu, sebilangan anggota masyarakat melihat kedudukan bahasa Melayu semakin terancam.
Maka usaha memperkukuhkan bahasa ibunda ini perlu ditingkatkan. Usaha penterjemahan mungkin merupakan jalan yang terbaik untuk membuktikan bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu dunia.
Kita masih kekurangan karya-karya asing yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Ini menjadikan keupayaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu semakin rapuh. Usaha penterjemahan karya-karya asing, jika ada, hanya dilakukan secara sambil lewa dengan matlamat mengaut keuntungan hingga menjejaskan kualiti bahasa itu sendiri.
Penterjemahan bukan sahaja merujuk kepada pengalihan bahasa asing dalam bentuk bahan cetak. Ia turut melibatkan penterjemahan laman-laman web yang bermanfaat kepada pengguna.
Terdapat lebih kurang 80% laman web yang disediakan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar yang turut melibatkan pemilik-pemilik laman web tempatan sendiri. Jarang sekali dapat dilihat laman-laman web antarabangsa yang diterjemah oleh orang-orang tempatan sendiri. Sebagai contoh, laman web http://www.it-is-truth.org merupakan laman web terbaik dalam kajian sains dan Islam.
Namun usaha penterjemahannya hanya dilakukan oleh satu jawatankuasa surau di Pulau Pinang yang benar-benar prihatin dengan isi kandungan laman web tersebut. Malangnya hari ini, laman web tersebut tidak dapat dilayari lagi kerana kehilangan kesemua fail-fail kerana penutupan enjin pelayar Tripod Malaysia pada 13 Ogos 2002.
Sebagaimana dikatakan oleh H. Ansuri Basuki, dalam Jurnal Bahasa terbitan DBP. Beliau mengatakan, terjemahan sebagai usaha mengalihbahasakan suatu karya tulis mempunyai erti yang sangat penting dalam usaha mendidik masyarakat untuk memperoleh maklumat melalui bahasanya sendiri. Oleh sebab itu, terjemahan mempunyai erti yang sangat penting dalam pembangunan peradaban manusia.
Kegiatan menterjemah ialah kegiatan mengalihkan fikiran konseptual yang ditulis oleh penulis bahasa sumber dengan segala gagasan dan pengalaman yang dapat menambah dan memperkaya budaya dan merangsang kemajuan peradaban bangsa bahasa sasaran. Kemajuan peradaban ini tidak sahaja diertikan sebagai upaya maksimum manusia untuk memenuhi keperluan sehari-hari dan kenyamanan hidup lainnya, tetapi juga mempunyai erti penyempurnaan ilmu dan pemikiran, kecerdasan, dan ketakwaan yang mengangkat kehidupan manusia ke darjat yang lebih tinggi.
Dengan hal demikian, suatu bangsa yang beradab ialah bangsa yang tidak hanya memperoleh kemakmuran dalam bidang kebendaan, tetapi juga yang memperkembang nilai intelektual dan spiritual.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: