Topi keledar, benda kecil impak besar

07/06/2005
“Seorang sahabat dari Indonesia yang lama aku tak aku jumpa sepanjang semester ini menyapa dengan gayanya yang mesra. Hampir sepuluh minggu yang lalu dia melakukan kerja praktikalnya di negaranya sendiri iaitu di Metro TV. Mendengar pengalamannya cukup mearik sekali. Dia mempunyai idea-idea yang bernas dalam memeriahkan lagi dunia berita dengan membawa idea-idea baru yang dikongsinya semalam. Antaranya ialah dengan mewujudkan berita dari kampus.

Seperti di Metro TV, slot berita Metro Kampus diisi sebagai sebahagian daripada slot berita utama mereka. Memang menarik sekali. Kalau dibawa ke Malaysia, boleh jadi memotivasikan minda pelajar-pelajar sekolah untuk meletakan matlamat untuk ke universiti kelaka. Tapi biarlah pengisiannya sesuatu yang sesuai dengan jiwa remaja. Dahulu di RTM 1 pernah disiarkan siri rancangan yang melibatkan aktiviti kampus, tetapi masanya dan cara ia diolah belum cukup untuk membuat penonton teruja untuk berkata ya. Insya Allah, selepas penjenamaan RTM, ia akan lebih menarik lagi.

Kemudian, rakanku ini mempelawa agar ditemuramah dalam slot Metro Kampus berkenaan dengan gerakan kampusdi Malaysia. Antaranya ialah bagaimana gerakan kampus di Malaysia dan apakah penggerak-penggerak gerakan kampus di Malaysia tidak cemburu dengan kejayaan para pelajar di Indonesia yang berjaya menjatuhkan rejim (menurut istilahnya). Seawalnya dia mempelawa Presiden SRC sendiri untuk membuat komen, namun tidak ada sesiapa yang berani membuat kenyataan. Aku masih memikir-mikir tentang pelawaan ini. Tapi jika diukur dari sudut pengalaman, kelompok yang sering melaungkan ‘mahasiswa jurubicara masyarakat’ mungkin boleh mengambil kesempatan ini.

Sekitar kelas Psychology of Personality, aku dalam kebingungan. Pensyarahku menggunakan buku sepenuhnya di kelas, sedangkan aku sendiri masih belum mendapatkannya lagi. Termanggu-manggu sedikit aku dibuatnya, ada dua orang pelajar antarabangsa yang menyertai kelas ini. Seorang dari Vietnam dan seorang lagi dari Eriteria. Dengan selambanya, pensyarahku mengatakan, “Sorry to say, Eriteria is the poorest country in the world…” Tapi ia tak berhenti di situ sahaja. Sebaliknya dia memberitahu betapa beruntungnya pelajar tersebut untuk keluar dan belajar walau dalam kedaifan sekalipun.

Aku dipanggil dengan gelaran Brother Melati. Ini gara-gara aku diminta untuk mengajuk semula suara di dalam LRT apabila setiap kali tiba ke destinasi lebih-lebih lagi Taman Melati. Terima sajalah. Adakalanya bagus juga mempunyai pensyarah yang berlainan anginnya. Bukan sekadar yang duduk dan menyelak buku dan membacakan untuk pelajar. Hari ini kami diperkenalkan dengan asas teori personaliti dan ciri-ciri personaliti manusia. Personaliti manusia terbahagi kepada 3 bahagian iaitu, ciri-ciri manusia secara umum, ciri-ciri yang dipengaruhi individu atau kumpulan dan ciri-ciri keunikan yang membezakannya dengan orang lain. Surah Al Alaq ayat 4 sehingga akhir membicarakan ciri-ciri umum manusia.

Malam ini aku kira hangat dalam kelompok komuniti pelajar. Hari ini merupakan sesi dialog berkenaan penggunaan topi keledar di kampus yang akan diwajibkan kelak. Menurut pegawai unit undang-undang dan bahagian keselamatan UIAM, jalan di sekitar kampus adalah jalan awam maka tertakluk kepada kata yang diluluskan dalam akta jalan raya. Kedua ia berkaitan dengan keselamatan. Ketiga ia berkait rapat dengan tuntutan insuran seandainya berlaku kemalangan.

Dialog yang menjadi tempat perbincangan menjadi tempat meluahkan perasaan oleh para pelajar. Mereka kurang berpuas hati dengan sikap pelaksana keselamatan yang tidak memakai topi keledar di sekitar kampus, dengan jaminan unit keselamatan, Encik Wahab berkata pegawai yang didapati melanggar undang-undang akan dikenakan saman maksimum tanpa rayuan.

Aku kagum dengan sikap pelajar-pelajar yang berani menyuarakan pandangan dan ada yang cukup berkesan dari gaya penyampaian mereka yang menarik dan persis wakil rakyat. Perkara yang lebih penting lagi ialah bagaimana mereka menggunakan ilmu secara praktikal dalam menangani isu-isu yang diutarakan.

Seorang pelajar undang-undang mempersoalkan bagaimana laluan kampus disifatkan sebagai laluan awam seandainya pihak polis sendiri mengakui mereka tidak boleh menyaman mana-mana pelajar di dalam kawasan kampus yang tidak memakai topi keledar ketika mereka membuat sekatan jalanraya di hadapan universiti. Kedua, apabila berlaku pertindihan dari sudut undang-undang misalnya undang-undang kampus dan yang diperakui perlembagaan, maka undang-undang tertinggi secara langsung menidakkan yang satu lagi. Ketiga, seandainya laluan kampus UIAM menjadi laluan awam, maka sepatutnya tidak ada istilah curfew bagi pelajar untuk keluar masuk.

Ada juga pelajar yang ‘rajin’ dalam menyiasat salah laku penguatkuasa keselamatan kampus. Misalnya melalui laluan sehala secara bertentangan dan meletakkan kenderaan rasmi di kawasan awam. Alasan En Wahab ialah, mereka melakukan tugas. Ia alasan yang boleh diterima, tetapi bagaimana berlaku kemalangan antara penguatkuasa dan pengguna laluan, siapa yang hendak bertanggungjawab?

Pegawai dari unit undang-undang mengakui dia terikut-ikut dengan emosi pelajar yang menariknya sekali dalam perdebatan. Sehinggakan dia mengakui bahawa undang-undang yang dilaksanakan ke atas pelajar boleh dipertikaikan (setelah didesak) namun dia melontarkan soalan siapakah yang dapat memberi jaminan tidak akan ada kemalangan di dalam kampus. Beliau merujuk kepada kemalangan yang melibatkan dua pelajar perempuan di hadapan auditorium utama semester lalu sebagai contoh. Sekali lagi, faktor keselamatan menjadi alasan utama betapa pentingnya penguatkuasaan penggunaan topi keledar perlu dilaksanakan. Dalam Islam, keselamatan mejadi faktor utama dalam melindungi manusia meliputi keselamatan diri, keturunan, harta dan lain-lain.

Keseluruhannya, isu topi keledar dalam kampus adalah perkara yang kecil sebenarnya, tetapi ia dibawa dalam keadaan yang cukup mearik untuk diambil motivasinya. Apa yang menarik perhatian dalam dialog ini ialah, dalam melaksanakan sesuatu perlulah ada persetujuan bersama, sikap memberi dan menerima dan jangan sesekali memandang rendah keupayaan orang lain dalam mempertikaikan sesuatu, meskipun ia melibatkan perkara yang benar tetapi apabila ia dikendali dengan cara tersembunyi (behind the bushes) dan bersikap menang-kalah, kesepakatan akan diperolehi tapi bukan dalam kepuasan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: