Wanita Islam – Sumbangan dihargai hak terpelihara

05/08/2003
Suasana hari ini menyaksikan tumpuan yang tidak putus-putus terhadap perkembangan Islam di seluruh dunia. Malah jika diteliti dengan lebih mendalam, tidak kurang juga yang sedang mencari-cari peluang untuk merendah-rendahkan peranan serta kepentingan Islam yang banyak menyumbang kepada peradaban manusia, meliputi pelbagai gerak kehidupan dalam lapangan yang berbeza.
Salah satu cabaran yang dihadapi oleh umat hari ini apabila menyentuh hak asasi wanita dalam Islam. Isu wanita dan Islam adalah salah satu isu yang kerap kali menimbulkan kontroversi, lebih-lebih lagi dengan kemunculan beberapa pergerakan dan individu-individu yang bergerak dengan mesej keadilan dan kebebasan untuk wanita.
Di antara isu-isu panas yang acap kali diketengahkan dan disidang plenokan meliputi kebajikan dan status wanita, peranan dari sudut spiritual, hak dalam berpolitik, persamaan jantina, hak perundangan, keganasan, pemakaian hijab dan kedudukan wanita di dalam al Quran (Muslim Womens League, Fixed: 7 Mac 1999, 21 Mac 2001)
Meskipun tuduhan demi tuduhan dilemparkan, hakikatnya Islam masih menjadi pilihan sebagai cara hidup yang sempurna dan praktikal. Malah, laporan akhbar turut mengetengahkan minat mendalam wanita bukan Islam khususnya di negara-negara Barat, mula cenderung dan akur dengan kekuatan nilai-nilai didikan Islam meskipun terpaksa menghadapi gelombang-gelombang perjuangan palsu dan kabur liberalisme wanita di sana.
Mengapa berubah arah? Itulah persoalan yang diajukan kepada wanita-wanita Barat yang memeluk Islam. Seorang guru dan penulis wanita warganegara Britain bernama Rose Kendrik menyifatkan Islam memberikan kepuasan dari sudut intelektual kerana ia memberi jawapan mengenai kehidupan yang cukup jelas dan meyakinkan. Beliau yang merupakan pelajar teologi mengakui latar belakang akademik turut membantunya membuat keputusan untuk memilih Islam.
Persamaan dari sudut hak antara lelaki dan wanita diakui oleh mana-mana sarjana yang mengkaji Islam. Inilah salah satu perjuangan Rasulullah s.a.w. untuk meletakkan wahyu sebagai timbangan penentu antara tanggungjawab kedua-duanya. Saroj Bala, di dalam artikelnya “Islam Does not offer women equality” bertarikh 24 April 1998, meletakkan satu pertimbangan yang tidak adil dan kurang ilmiah apabila membicarakan persamaan hak dan tanggungjawab lelaki dan wanita di dalam Islam. Penulis ini menyifatkan pemakaian hijab adalah penindasan terhadap wanita dan hanyalah satu pengamalan masyarakat yang tidak bertamadun.
Pandangan ini disangkal melalui statistik yang jelas memperlihatkan peralihan hidup wanita-wanita cerdik pandai di Britain, di mana setiap seorang lelaki di sana memeluk Islam akan diikuti dengan empat wanita Britain, secara nisbah purata 1:4 (Lucy Berrintone,The Spread Of A World Creed: Times, 9 November 1993).
Di manakah kedudukan wanita dalam Islam sebagaimana digambarkan oleh al Quran? Wanita di awal penciptaan oleh Allah telah memberi sumbangan yang besar kepada manusia pertama bernama Adam a.s. Wanita berperanan memberi sokongan emosi dan salah satu sumber ketenangan kepada kaum lelaki kerana sifatnya yang istimewa melengkapi kekurangan serta kelemahan kaum Adam. Dengan erti kata lain lelaki dan wanita amat berkehendakkan antara satu sama lain dan saling melengkapi.
Dari sudut spiritual, Islam meletakkan kayu ukur yang sama rata dalam menilai keimanan dan takwa antara lelaki dan wanita. Ini telah disebutkan di dalam ayat pertama surah al Nisa.
Tambahan lagi, kekerasan ke atas wanita diharamkan sama sekali kerana ia merupakan penindasan hak ke atas mereka. Memenuhi hak mereka secara adil amat ditekankan dan dipandang penting sebagaimana disebut dalam surah al Baqarah ayat 187: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…”
Malah, nilai tanggungjawab agama dan moral antara satu sama lain adalah sama dan akan diperhitungkan oleh Allah secara adil.
Bagi pengkritik Islam, mereka mungkin tidak menyedari Allah tidak meletakkan jantina, keturunan dan warna kulit sebagai penentu siapakah yang terbaik. Peluang yang sama diberi oleh-Nya untuk membuktikan dan menunjukkan kehebatan seorang manusia bukan dari segi harta benda, bangsa atau keturunan tetapi dari sudut takwa. Kerana dengan nilai takwa yang tinggi, manusia akan lebih merasa rendah diri kepada Tuhan dan dekat hatinya untuk membuat kebaikan.
Dari sudut harta, Yusuf Qardhawi mengatakan bagi hak-hak harta wanita, Islam telah membatalkan tradisi yang sering berlaku di kalangan masyarakat di dunia, sama ada orang-orang Arab atau `ajam iaitu penafian ke atas hak milik dan hak pewarisan bagi kaum wanita atau mempersempit bagi mereka mempergunakan apa yang mereka miliki. Juga sikap monopoli para suami terhadap harta isterinya.
Dengan itu, Islam menetapkan hak milik bagi kaum wanita dengan pelbagai jenis dan cabangnya sekali gus hak untuk mempergunakannya. Maka ditetapkan hukum wasiat dan hukum waris bagi kaum wanita seperti halnya bagi kaum lelaki. Islam juga memberi kaum wanita hak jual beli, persewaan, hibah (pemberian), pinjaman, wakaf, sedekah, kaflah, hawlah, gadai dan hak-hak yang lainnya.
Dalam kekeluargaan, peranan wanita tidak pernah direndah-rendahkan hanya kerana mereka tidak berkecimpung dalam dunia kerjaya untuk sama-sama meraih sumber ekonomi dan status yang ditawarkan. Hatta seorang suri rumah, berperanan besar dalam memberi sumbangan sebagai seorang isteri dan ibu yang cemerlang dan hebat. Tidakkah sebuah tamadun dengan kelompok komuniti yang hebat, tokoh yang dikagumi lahir dan terbentuk hasil didikan dan jagaan seorang wanita bergelar ibu? Atas dasar ini, intipati didikan Islam amat menitik beratkan kepentingan menghormati wanita yang bergelar seorang ibu.
Kehebatan wanita telah diperakui dan dicatat bersama tokoh-tokoh Islam lain dalam lipatan sejarah. Di antaranya ialah Khadijah, Aisyah, Fatimah, Barakah, Ramlah Abu Sufyan, Rumaysa Milhan, Ummu Salamah, Asma Abu Bakar, Zainab al-Ghazali dan Maryam Jameelah. Nama mereka disebut dengan rasa bangga kerana pencapaian serta sumbangan yang sangat bererti dan bermakna bagi setiap Muslim.
Amat malang apabila kita menonton televisyen tempatan yang menyiarkan penganiayaan ke atas wanita sebagaimana yang berlaku di Pakistan, kesan daripada kurangnya penghayatan dalam mempraktikkan ajaran-ajaran Islam yang murni. Lebih menyedihkan melihat ia dilakukan oleh seorang Muslim seperti mana kisah seorang isteri yang cacat wajahnya kerana disimbah asid oleh suaminya akibat rasa cemburu yang melampau. Tindakan keji ini turut mencacatkan identiti Islam sebagai satu agama yang menyanjung hak-hak manusia sehingga mereka yang bergelar cerdik pandai menggunakan isu ini dengan mengatakan Islam tidak relevan untuk melindungi nasib wanita khususnya.
Wajar penerapan nilai-nilai murni Islam secara berterusan dilaksanakan secara proaktif dengan landasan ilmu yang betul dan mengawal nafsu yang sentiasa menghasut manusia ke arah kemusnahan nilai dan etika.

Tinggalkan komen