DJ Impian. Bukan sekadar Populariti

Ramai juga yang berminat nak bekerja dengan radio kerajaan, sedangkan kalau di dalam kenderaan, Radio Satu (kini Nasional FM) tidak pula diputarnya. Apatah lagi RMKL (kini KL.fm). Tetapi fanomena di Malaysia, mencari pekerjaan melalui rancangan realiti. Termasuklah ribuan penganggur akan mencuba peluang. Bijak-bijak merencana masa hadapan.

Tidak ada satu ujibakat pun pernah aku hadiri sebelum ini melainkan semalam (Ahad 24 Julai 2005) apabila mengetahui satu ujibakat juruhebah radio RTM di Kuala Lumpur. Dalam benak fikiran, ini peluang untuk membentuk karier kalau mahu mencuba. Ujibakat diadakan di Hotel Singgahsana Petaling Jaya. Seminggu sebelum itu aku pernah menanyakan beberapa rakan tentang lokasi hotel tersebut. Ada yan mengatakan turun di Stesen LRT Asia Jaya dan ada pula yang mengatakan dua stesyen selepas itu. Sehinggalah ke pagi Ahad, aku tidak tahu stesyen manakah yang perlu aku berhenti. Alhamdulillah, aku bertemu dengan sahabat yang turut ingin pergi ke ujibakat tersebut. Itu pun kami masih main sembunyi-sembunyi, tidak mahu memberi tahu arah tujuan kami. Apabila ditanya hendak ke mana, di jawabnya ke Petaling Jaya. Jika disoal untuk apa, balasnya, “Adalah…”

Jangkaan kami meleset setibanya di sana, boleh tahan juga sambutan ujibakat tersebut. Seawal jam 9.10 pagi, nombor giliran peserta sudah menjangkau seratus. Pada awalnya Hisyam mengambil sahaja borang di atas kaunter, sehinggalah diberitahu oleh seorang peserta, borang diberikan bersama nombor giliran. Maka terpaksalah beratur lagi buat kali kedua.
Penantian sememangnya membosankan, melainkan kita ringan mulut untuk bertegur sapa. Aku berkesempatan berkenalan dengan dua orang peserta berketurunan India, salah seorangnya tak ubah seperti Sassi The Don. Ramah mereka menjadikan kami tidak janggal. Ada sahaja lawak jenaka yang dibuatnya. Adakalanya mereka menyanyikan rap secara spontan. Salah seorangnya berasal dari Pulau Pinang dan bekerja di Bangsar.

Merungut salah seorang dari mereka apabila bercerita tentang perjalanan mereka ke sana.

“Kau tahu, aku awal-awal lagi dah siap nak ke sini. Dari jam 7.30 pagi lagi. Sampai sahaja ke rumah dia, aku kena tunggu lagi satu jam setengah. Nak tunggu dia bangun tidurlah, mandilah…”

Dari jam 9.00 pagi sampailah 4.35 petang kami menunggu. Sempat lagi bersarapan pagi di gerai mamak berdekatan. Dalam jangka masa yang agak lama, berkesempatan berkenalan dengan dua-tiga orang lain. Mereka peramah, selagi mana kita yang memulakan sapaan dahulu. Seorang bernama Amir dan rakannya EDI. Masyarakat Kuala Lumpur gemar dengan nama panggilan yang ringkas dan moden sehinggakan HELL pun menjadi pilihan.

Perkara paling penting dalam tempoh menunggu ujibakat atau temuduga kerja sekalipun ialah, cubalah cari sesuatu yang baru dalam diri orang yang baru kita kenali. Ada pula yang bertukar-tukar nombor telefon dalam usaha mereka mencari sahabat baru dan rangkaian baru dalam kehidupan.

Aku sempat bertukar-tukar pandangan berkenaan isu filem dan sosial hari ini dengan seorang bekas pelajar ASK dalam seni pengarahan. Lucunya, setiap kali dia melihat lampu kamera berkelipan, dia akan menutup wajahnya, katanya “Ah, buat apa nanti orang kenal. Kalau lepas tak apalah juga. Ini kalau keluar akhbar ditulisnya di bawah gambar “penat menunggu”, “Sabar menanti” apa-apa lagilah…” Ketawa aku mendengarnya. Dia ditemani oleh rakannya Amir, seorang yang peramah dan kami disangka adik beradik oleh para peserta lain.

Dia baru sahaja habis penggambaran filem VCD yang akan dipasarkan kelak. Katanya, dia sudah menghabiskan masa untuk pergi ke pelbagai ujibakat dan hampir putus asa. Tetapi apabila dia berkesempatan menonton seorang artis Akademi Fantasia 3 lalu, dia kembali semula untuk ujibakat ini. Katanya dia mengenali salah seorang peserta dalam kumpulan tersebut pernah mencuba lebih daripada sekali ke ujibakat dan perkara itulah yang membuatnya untuk mencuba lagi.

Mengejutkan, dalam butir bicaranya, masih ada kelompok pelajar yang masih menjadi pelayan kepada keseronokan pihak kelas atasan. Ia bukannya melibat golongan Datuk-Datuk tetapi berstatus Datin. Perkara yang mengejutkan bukanlah gejala ini semata-mata, kerana ia pernah di bawa dalam media massa dan menjadi isu dalam dunia hiburan. Tetapi sistem yang dibentuk dalam memudahkan kerja kurang sihat ini dibentuk dengan teratur sekali. Ada orang tengahnya yang akan memasarkan rakan-rakannya yang sedang mencari duit saku kepada pihak satu lagi. Tidak perlu wajah yang terlalu kacak, cukplah jika tahu mengambil hati. Mungkinkah ini berlaku kerana keceriaan rumahtangga gagal dikembalikan semula?

Dalam hal perfileman, aku sempat bertanya mengapa pasaran filem di Malaysia di dominasi oleh kelompok popular, yakni mereka yang terjun dalam bidang lakonan tanpa pendidikan khusus berkaitan. Soalan ini aku ajukan kerana beliau sendiri bekas pelajar ASK di Padang Merbuk, Kuala Lumpur. Jawabnya, “Memang betul. Jika di ASK ramai yang memohon adakalanya tak cukup untuk menampung mereka. Tetapi, apabila sampai pertengahan, berduyun-duyun keluar sebab tak tahan…”
Erti kata lain, perfileman atau dunia layar bukan satu dunia untuk mencari populariti mee segera, apabila dihadapkan dengan disiplin ilmu, ramai yang tidak sanggup seperti katanya. Tidak mahu belajar dan menghayati nilainya yang betul. Sebaliknya mahu ‘hemtam kromo’ dengan pakej bernama kecantikan dan ‘bakat’.

Tentang bayaran pula, mereka yang disifatkan mentah dalam dunia ini sering dianiayai dengan pembayaranyang murah meskipun melibatkan mana-mana syarikat filem yang gah dengan filem-filem pecah rekodnya. Ada yang berkongsi pengalaman mengatakan beliau pernah dibayar RM500 untuk penggambaran sebulan, tetapi untuk membayar seorang artis popular untuk sebuah filem melibatkan paling minima RM100, 000. Jika sudah ada populariti, mendapat banyak tawarannya, tawar menawar dalam dunia artis adalah biasa.

Aku juga sempat mengenali seorang suri rumah yang turut ingin mencuba. Suaminya turut ada di bahagian lobi menemani anak kecil mereka. Dia gemar bercerita dan sempat berkongsi kisah suaminya yang merupakan seorang pelukis majalah Pancing. Menariknya, isteri ini menceritakan siapakah suaminya dengan rasa seronok dan bangga. Dalam fikiran aku, suaminya bertuah kerana mempunyai isteri yang ‘menjenamakan’ suaminya dengan 110% penjenamaan yang berkualiti dan terbaik di hadapan mata orang lain.

Mata aku rancak melihat manusia. Sekumpulan lelaki dengan gaya bekas DJ THR Isma Halil datang ke ujibakat dengan tuala ‘kie’ terikat di kepala. Mengikut gaya mentornya mungkin. Kalau guru begitu, samalah muridnya. Aku kagum dengan peserta-peserta berbangsa India yang fasih berbahasa melayu dan boleh berlawak spontan. Salah seorangnya bernama KUMA, aku mengenalinya ketika dia meminjam skrip beritaku. Sempat lagi dia berkata, “Saya pesaing awak!” dalam nada jenaka. Aku akui dia memang mempunyai kelebihan.

Kembali kepada kisah ujibakat. Kami diminta membacakan 3 skrip iaitu skrip berita, skrip carta lagu Hitz (kami perlu kreatif dan mencipta skrip sendiri untuk memaniskannya) dan hebahan kementerian dan ‘tit-bits’ kerana terlalu ramai yang datang dan masa semakin suntuk, setiap daripada kami diperuntukan lima minit untuk membacakannya di hadapan mikrofon, dirakamkan di hadapan lima juri terdiri daripada empat stesyen radio, Nasional.fm, AI.fm, Minnal.fm dan Traxx.fm. Keluar sahaja dari bilik Zamrud (bilik Ujibakat mankala bilik fotografi dan pendaftaran di sebelahnya Bilik Delima) terasa kepuasan dan kelegaan kerana kegusaran dan kekhuatiran yang terbentuk awal-awal lagi sebenarnya tidak berlaku. Gentar terhadap perkara yang baru sememangnya perkara biasa, cuma kita perlu memilih sama ada untuk lari darinya atau berhadapan. Kesilapan sentiasa timbul apabila mencuba, tetapi bukankah itu namanya kehidupan?

Kita akan belajar banyak perkara, mengenali manusia dan personalitinya. Mencari jawapan terhadap pilihannya selagi mana kita membuka mata hati untuk semua itu. Ujibakat tersebut mungkin menjadi ruang populariti, bagi sebahagian melihatnya sebagai ruang pekerjaan, atau sebagai sumber untuk meyakinkan diri. Siapa tahu, pilihan masing-masing.

Petikan berita promosi DJ IMPIAN RTM

Be 1 Of Malaysia’s top Djs. Discover hidden talents at the DJ Impian Reality Radio Show. The search is on for 4 Djs to join Nasional Fm, Ai Fm, Minnal Fm, and TraXX Fm.
There are Prizes worth RM 100,000 to be won!
Contest is open to all Malaysians, aged 18 to 30 years with minimum SPM qualification. Bring along your personal identification documents and a photocopy of it, along with a 3R sized photograph.You will be required to undergo intensive training programs, under the guidance of our professional trainers in culminating your skills on and off air. If you are selected, you will travel around Malaysia to showcase your newly developed skills and fulfill your dreams to be crowned the first ultimate DJ Impian. Winners will be decided via SMS voting.

Auditions Venues :-
26th June – Crowne Plaza Riverside Hotel, Kuching, Sarawak
3rd July – Hyatt Agency, Kota Kinabalu, Sabah
10th July – Vistana Hotel, Penang
17th July – MS Garden Hotel, Kuantan Pahang
23rd July – Pan Pasific Hotel, Johor Bharu
24th July – Singgahsana Hotel, Petaling Jaya, Selangor

Auditions will be held from 9am – 6pm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: