Berhati-hati dengan sembang siber

Cinta Siber: Sejauh mana kebenarannya?
Oleh Fairuz Zaidan
Ruangan IKON Berita Harian 26 Julai 2005

Pengirim A: Hello…
Pengirim B: Hi… Nama saper?
Pengirim A: Amri… u?
Pengirim B: Atilia panggil Lia je…
Pengirim A: U kat mana ni? I boring lee… Jom jumpa?
Pengirim B: Hmmm… ish bahayanya u niee…

INI adalah antara dialog biasa mainan cinta siber di laman sembang, yang menjadi kegilaan masyarakat berpengetahuan celik IT.

Namun, laman sembang popular ini mungkin juga boleh menjadi suatu ‘perangkap’ maut jika tidak mengambil berat mengenai latar belakang si pengirim laman sembang Internet berkenaan.

Tidak mustahil, pelbagai kejadian negatif dan angkara keganasan seksual, sehingga kesucian gadis tergadai hanya kerana kerelaan hati untuk bertemu dengan teman laman siber.

Kisah seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dirogol bergilir-gilir sekumpulan remaja kerana terpedaya dengan cinta Internet, tahun lalu, umpamanya, cukup menyedihkan, juga menakutkan! Tidak cukup dengan itu, mangsa yang ketika itu berusia 19 tahun turut dirompak lelaki berusia antara 17 tahun dan 25 tahun berkenaan.

Namun, tidak semestinya perhubungan menerusi laman sembang ini bakal berakhir menjadi mimpi ngeri kerana ada juga pasangan yang menjalinkan hubungan sehingga ke alam perkahwinan.

Minggu ini, i-Kon cuba ‘membongkar’ isi sebenar dan keasyikan laman sembang yang dikenal pasti mula dilayari oleh kanak-kanak seawal usia 10 tahun lagi.

Pelbagai bentuk perbualan dan topik yang diketengahkan menerusi laman sembang ini bergantung bagaimana arah tuju anda. Tepuk dada tanyalah selera!

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai aktiviti laman sembang ini, i-Kon mendapat pandangan Penganalisa Jenayah, Kamal Aff andi Hashim.

Kamal berkata, keasyikan laman sembang siber sememangnya medium yang begitu mengasyikkan, khususnya bagi remaja yang masih tercari-cari identiti dan inginkan kepastian serta jawapan mengenai alam dewasa.

Beliau berkata, perubahan hormon testosteron bagi remaja lelaki menyebabkan mereka cuba untuk mengenali dan melakukan sesuatu yang baru dalam hidupnya.

Begitu juga remaja perempuan, perubahan hormon estrogen memberi perubahan ketara dalam bentuk fi zikal dan perkembangan ciri seks.

“Internet pula adalah saluran terbaik bagi mendapatkan pelbagai maklumat dan tidak mustahil ada remaja yang mudah diperdayakan oleh pujuk rayu serta janji palsu teman siber sendiri,” katanya yang ditemui i-Kon di pejabatnya.

Kamal berkata, remaja perlu lebih berhati-hati dan tidak harus mudah terpedaya dengan ‘janji manis’ teman siber kerana banyak kes yang dilaporkan mengenai tipu daya kesan daripada perjumpaan kali pertama laman sembang berkenaan.

Beliau berkata, antara kes yang dilaporkan mengenai helah pasangan laman sembang itu ialah kejadian rogol, cabul dan lari daripada rumah.

Pelbagai cara boleh dilakukan teman laman sembang itu, antaranya ialah dengan melakukan tipu helah, kata-kata manis dan yang paling membimbangkan ialah memasukkan sesuatu di dalam minuman untuk mengkhayalkan mangsa pada pertemuan pertama.

Kebanjiran pelbagai jenama bahan terlarang yang menyebabkan khayal dan berahi bebas memburukkan keadaan. Ditambah pula, ia dijual pada harga murah di pasaran gelap dan tidak mustahil remaja mudah diperdayakan dengan cara sedemikian.

Di mana mangsa jenayah siber boleh mendapatkan bantuan? Mangsa boleh mendapatkan perlindungan di Rumah Nur yang ditubuhkan di setiap negeri, kata Kamal, selain membuat aduan menerusi talian Rakan Cops 03-2115 9999 atau sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip Polis KL dan hantar ke 32728. Biro Aduan Awam MCA juga tidak terkecuali menerima aduan membabitkan penipuan cinta siber.

Laman sembang siber menyajikan pelbagai pilihan seperti mencari kenalan, mencari jodoh, urusan perniagaan dan pelbagai lagi medium yang bersifat global.

Namun, Ketua biro berkenaan, Datuk Michael Chong berkata, ramai juga yang terpedaya dengan teman siber sehingga menjadi mangsa tipu daya, rogol dan rompak.

Aduan terbaru yang diterima, katanya, membabitkan mangsa berusia 28 tahun. Mangsa mendakwa tertipu oleh teman siber, seorang doktor, berusia 28 tahun dan…sudah berumahtangga. Masalahnya, `suami orang’ itu tidak mahu `melepaskannya’ selepas menjalin hubungan setahun lamanya dan sentiasa mengganggu.

“Berhati-hatilah apabila mencari kenalan baru,” katanya sambil menasihatkan mangsa melaporkan kepada pihak berkuasa jika berhadapan masalah serius.

Panduan mengatasi ancaman rogol

Undang-undang membenarkan hak mempertahankan diri daripada rogol dengan menggunakan kekerasan ke atas penyerang (perogol) sehingga boleh menyebabkan luka parah atau kematian ke atasnya.

Bertenang dan jangan kelam kabut jika diugut atau diserang.
Tidak melakukan sebarang tindakan terburu-buru.
Jika anda membuat keputusan untuk melawan, pastikan anda benar-benar menguasai keadaan. Anda boleh gunakan kaki atau sebarang benda seperti beg tangan, payung, kunci dan sebagainya untuk melawan.
Camkan muka dan tanda yang ada pada penjenayah, pakaiannya serta nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.
Untuk membantu penyiasatan polis, anda dinasihatkan supaya tidak membasuh badan dan pakaian yang dipakai ketika kejadian, sebelum membuat laporan polis.

FAKTA NOMBOR

60 peratus kes hilang berpunca daripada laman sembang.
85 peratus daripadanya adalah wanita, majoriti berusia antara 15 tahun dan 22 tahun.

INFO
Rumah Nur
Fungsi:
Menerima aduan daripada wanita, termasuk ibu tunggal mengenai pelbagai masalah,selain masalah sosial membabitkan ahli keluarga.
Menyalurkan aduan ke pihak bertanggungjawab seperti Mahkamah Syariah, Biro Bantuan Guaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan badan sukarela.
Memberi khidmat kaunseling
Sebagai tempat untuk pelbagai program wanita dan keluarga
Sebagai pusat maklumat untuk wanita oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga

RUMAH NUR SETIAP NEGERI
Perlis 04-977 8400/ 019-457 2996
Kedah 04-732 2855/ 04-732 2881
Pulau Pinang 04-227 4993
Perak 05-253 1320/ 012-581 9481
Selangor 012-376 0752
Negeri Sembilan 06-763 2859
Melaka 06-281 1703
Johor 07-224 2299
Pahang 09-568 1950
Terengganu 09-620 3341
Kelantan 09-774 1005
Sabah 088-436 493
Sarawak 082-231 869

PERKHIDMATAN PUSAT KHIDMAT SEPADU (OSCC)
Fungsi:
Memberi bantuan segera dan sebagai pusat setempat bagi mengendalikan masalah keganasan. Polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan menemui mangsa untuk memberi bantuan sewajarnya.

Di mana letaknya OSCC?
Di hospital besar setiap negeri di bawah kawalan dan seliaan Jabatan Kecemasan.

OSCC SETIAP NEGERI
Hospital Seremban 06-762 3333
Hospital Kota Bharu 09-748 5533
Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu 088-218 166
Hospital Umum Sarawak 082-276 666
Hospital Labuan 087-423 919
Hospital Kangar 04-976 3333
Hospital Alor Setar 04-730 3333
Hospital Pulau Pinang 04-229 3333
Hospital Kuala Lumpur 03-2692 1044
Hospital Ipoh 05-253 3333
Hospital Tg Ampuan Rahimah Klang 03-337 2333
Hospital Putrajaya 03-8888 0080
Hospital Kuala Terengganu 09-623 3333
Hospital Melaka 06-282 2344
Hospital Tg. Ampuan Afzan Kuantan 09-513 3333
Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru 07-2231 666

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: