Apabila dipinjam dihilangkannya. Pecinta buku?

Dunia buku pilihan A Samad Said
Ahad 31 Julai 2005

Sejak usia 13 tahun.

PADA 1948, apabila saya mula bersekolah Inggeris ketika berusia 13 tahun, saya sudah mulai membeli buku. Minat ini bercambah sejak dulu… untuk membaca dan mempunyai buku sendiri yang mana saya akan bersusah payah untuk beli.

Sejak tahun 50-an lagi bahan bacaan saya menjurus kepada unsur-unsur penting, ertinya penulis-penulis penting. Pada tahun 50-an juga wujud kumpulan seperti di England yang menggelarkan diri mereka sebagai The Angry Young Man, begitu juga kumpulan seumpamanya di Amerika juga kumpulan Existentialism di Eropah.
Semua hasil cipta mereka saya kagumi dan saya baca. Lepas itu bacaan saya berkembang kepada kesusasteraan Jepun, Afrika, Amerika Latin, Eropah dan juga bermulanya kecenderungan terhadap kesusasteraan Indonesia. Apa yang dapat disimpulkan, pembacaan saya adalah kesusasteraan dunia, dari awal 50-an hingga sekarang.
Selain itu buku karangan pemenang Hadiah Nobel, buku yang memenangi Booker Prize juga Pulitzer Prize, rata-ratanya saya ada. Ada satu wilayah lain yang saya baca iaitu wilayah agama. Memang saya dalami sejak akhir 50-an yang mana kebanyakannya pada masa itu adalah buku-buku dari Indonesia. Ia berkembang sehingga sekarang yang meliputi buku-buku agama dari Eropah, Amerika dan apa saja mengenai agama saya beli untuk menelaah. Ketika saya menulis Al-Amin (karya puisi mengenai Rasulullah) memang saya manfaatkan buku-buku itu semua, di samping ketakutan saya kalau-kalau tersilap fakta, jadi saya kaji semua itu. Itulah himpunan yang ada sekarang.
Ini bermakna, buku yang saya ada sekarang adalah himpunan selama setengah abad. Jenisnya pelbagai – novel, drama, cerpen, puisi, esei, juga bahan yang di luar kesusasteraan, tentang geografi, sejarah, autobiografi orang terkenal, juga astronomi yang mana saya sangat berminat untuk mengetahuinya serta buku agama.
Rundingan yang saya sedang adakan adalah untuk menempatkan buku-buku itu di tempat yang munasabah. Buku yang akan diletakkan itu ialah semua buku kecuali buku agama yang mana saya hendak ia berada dengan saya sehingga akhir hayat saya. Jika saya tidak ada lagi mungkin anak saya yang akan menentukannya.
Buku-buku yang ada itu, ia secara bertingkat dan berkembang, menceritakan bagaimana pertumbuhan saya sebagai seorang seniman… buku-buku yang mempengaruhi saya. Jadi, kalau himpunan itu didapatkan dan dibaca, seseorang itu boleh mengesan bagaimana saya berkembang. Itu yang penting… khazanah itu.
Di samping itu, mungkin tidak ada penulis lain yang sempat menghimpunkan buku yang menceritakan pertumbuhannya sebagai seorang seniman.
Pusat dokumentasi
Memang dulu (ada cadangan untuk mewujudkan seperti muzium sendiri), tetapi saya fikir, kalau saya mahu mengadakan pusat sendiri, seperti di Indonesia yang dibuat oleh HB Jassin iaitu Pusat Dokumentasi HB Jassin, jika diikutkan, sekarang ini saya sudah boleh mengadakannya.
Ini kerana, saya fikir saya mempunyai himpunan yang cukup. Tetapi masalahnya, benda itu harus berjaga, tetapi siapa yang hendak jaga? Saya tidak mampu untuk menjaga, keluarga saya juga tidak akan mampu untuk menjaga, jadi kita memerlukan tempat yang kedudukannya juga mudah untuk dihubungi. Jadi saya fikir ia elok menjadi satu khazanah yang lebih terbuka dan tak perlulah dinamakan sebagai Pusat Dokumentasi Samad Said, atau apa ke.
Saya fikir, yang penting adalah himpunan itu, sama ada dirasakan penting atau tidak ia diletakkan di tempat yang munasabah. Akhirnya jika tidak… saya beri kepada mereka yang memahami.
Saya sempat pergi ke Perancis di mana mereka mengadakan pusat dokumentasi seni seperti untuk Albert Camus juga beberapa penulis lain. Juga di Leiden (Belanda), (pusat seumpamanya) yang mana buku dibungkus dengan aluminium foil dan bila ada orang hendak melihatnya ada orang yang akan membukakannya. Sehingga ke tahap itu mereka menjaganya.
Saya ada dua sebenarnya. Satu ialah buku-buku yang saya beli dan satu lagi, manuskrip asli saya sendiri. Katakan bila saya menulis Hujan Pagi, ada manuskrip asal berupa catatan… bagaimana ia berkembang. Begitu juga karya puisi, dari mula ia dicatatkan, khayalan-khayalan, sehingga ia berkembang dan menjadi. Ia satu bahagian yang lain dan buat sementara ini saya belum merundingkannya. Apa yang saya rundingkan sekarang ini adalah buku-buku yang saya beli dan bukannya proses penciptaan saya.
Apa yang saya mahukan ialah bukan sekadar buku itu dijaga, tetapi ditempatkan di tempat yang ada makna, ada manfaatnya. Kalau sekadar menjaga, saya sebenarnya boleh menjaga walaupun penjagaannya agak huru hara – ada yang koyak dan macam-macam lagi. Tetapi kalau di perpustakaan ia akan dibetulkan, dijilid. Itu yang saya mahu, apa lagi negara sedang berkembang dan di negara mana pun khazanah seni dipelihara. Buat apa ada buku tetapi ditempatkan di dalam tong saja, tetapi ia mestilah dapat berinteraksi dan ini tidak dapat saya lakukan sendiri.
Saya tidak ingat banyak mana buku yang saya ada, tetapi rak buku saya, setiap tingkat ada dua lapisan buku. Ada sebahagian rak itu yang tingginya dari lantai ke siling. Buku yang saya miliki saya kumpulkan mengikut era seperti 50-an, 60-an, 70-an, 80-an. Di setiap era, buku yang berpengaruh saya beli dan bukan setakat sastera dewasa, buku sastera kanak-kanak juga saya beli.
Berkenaan buku yang saya beli sejak tahun 1948, pada waktu itu saya di Singapura dan kemudian saya berpindah randah. Saya tidak berani untuk mengatakan buku-buku berkenaan masih ada lagi atau tidak. Tetapi buku tahun 50-an masih ada. Sekarang ini buku berkenaan disimpan di tiga rumah.
Buku kegilaan saya
SAYA adalah orang yang beberapa kali berazam untuk mengawal diri daripada membeli buku, tetapi beberapa kali azam itu pecah. Saya tidak berdaya menahannya. Katakan jika saya nampak buku berharga RM300 atau RM400, juga RM500, kalau saya suka, saya beli.
Sebab buku sebegitu mempunyai makna dan isi yang kuat. Saya tidak hitung harganya, tetapi nilai buku itu dan sukarnya untuk mendapatkannya. Ini kerana, buku sebegitu biasanya dicetak dalam edisi terhad.
Buku adalah kegilaan saya. Setiap kali ke luar negara, selepas mendaftar di hotel saya akan bertanya, “di mana kedai buku?” Kalau sudah kenal satu-satu kedai buku saya akan mendatanginya berulang-ulang, melihat mana yang perlu dibeli pada waktu itu, kalau yang boleh ditangguh saya biarkan dulu dan akan beli sebelum bertolak pulang.
Banyak juga buku saya yang dipinjam khususnya oleh anak-anak yang membuat kajian untuk ijazah sarjana mereka juga ada yang di peringkat doktor falsafah. Ada yang meminjam dan saya lupa, mereka tidak pulangkan. Keadaan ini bermula sejak tahun 1954, banyak buku saya yang begitu. Ada teman yang mengambil 20 buku untuk kajiannya, semuanya tidak dipulangkan dan buku-buku itu amat mahal. Namun sejak akhir-akhir ini saya tidak lagi meminjamkan buku kecuali kepada orang yang saya kenali dan meminjam dengan cara, habis sebuah buku, pulangkan kemudian baru saya beri yang lain.
Semua buku yang saya miliki saya sayang, khususnya buku-buku agama – buku mengenai Jalaluddin al-Rumi, Ibn Arabi, juga buku mengenai surah al-Baqarah, dari sumber mana pun, saya akan membacanya. Saya juga adalah pengumpul buku-buku mengenai ‘watak yang dibunuh’ yang banyak (dijual) seperti bila Perhimpunan Agung Umno.
Saya beli untuk disimpan dan untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku dalam dunia politik, juga kehidupan seorang ahli politik. Saya tidak memandang kepada kecondongan pandangan penulis itu, tetapi menyaring faktanya, betul atau tidak, itu yang menarik… dunia yang saya tidak tahu.
Misalnya, ada buku berkenaan menteri yang ada banyak tanah, saham dan saya ingin tahu bagaimana ia bermula, siapa di belakangnya, kenapa tidak diambil tindakan. Ini juga yang saya lakukan untuk mendalami dunia kewartawanan yang saya tulis dalam Hujan Pagi dan apa yang saya tulis dalam novel itu masih berlaku.
Lokek beli bacaan
Penciptaan sesebuah karya selalunya berpusat dari situasi politik sesebuah negara. Misalnya, jika kita ambil hasil kesusasteraan Russia, yang menjadi dasarnya adalah revolusi, negara itu bergolak dan ia meruntun hati nurani seniman. Jadi seniman bukan setakat menangkap
gambaran tetapi juga memberikan fikirannya.
Itu juga yang berlaku kepada The Angry Young Man pada tahun 50-an di mana John Wayne, Colin Wilson dan beberapa penulis dalam angkatannya menyatakan kemarahan mereka melalui kesusasteraan apabila kerajaan British mulai roboh. Begitu juga dengan aliran sama di Amerika yang mana penulis-penulis mengidamkan dunia yang lebih damai seperti Norman Mailer dalam The Naked and the Dead, adalah rakaman dominasi Amerika dalam perang di Asia.
Begitu juga dengan Robert Lowell yang terbabit dalam satu gerakan, yang turut ditulis oleh Mailer dalam The Armies of the Night, yang merakamkan satu gerakan menentang perang di Amerika. Kalau di Indonesia, ia seperti Pramoedya Ananta Toer, di Filipina, Jose Rizal di negara Arab ada Naquib Mahfouz. Ia berkembang.
Jika kita lihat, penulis lahir disebabkan iklim buminya, selalunya kerana ketidak senangan, gelora bangsa itu sendiri. Jika kita membaca kesusasteraan. Kebanyakan hasil sastera ini saya dapat di luar negara yang mana setiap kali ke luar negara saya mengambil peluang mengunjungi kedai buku.
Kalau saya hendak buku yang saya sudah baca ulasannya, kalau tidak ada di kedai buku saya akan ke Kinokuniya dan membuat pesanan. Jadi tidak bermasalah.
Di negara ini memang senang mendapat bahan bacaan. Bagaimanapun, walaupun bahan bacaan itu ada, tetapi ia belum tentu sampai kepada watak-watak tertentu. Ini kerana, ramai yang suka buku dan baca buku, tetapi lokek beli buku.
Jika ini keadaannya, sama ada anda pergi ke kedai buku dan duduk di sana dan habiskan membaca buku itu di sana, kerana mahalnya, atau pergi ke perpustakaan. Tetapi biasanya di perpustakaan buku baru lambat sampai, jadi anda akan sentiasa terkebelakang lima tahun.
Jika kita beli, dalam detak dan detik yang sama, kita membaca buku berkenaan dengan orang lain di negara lain. Macam sekarang orang membaca, The World is Flat (A Brief History of the Twenty First Century) oleh Thomas L Friedman).
Di Itali, di Jepun dan di mana-mana, orang membaca buku ini dan kebetulan Tun Dr Mahathir Mohamad juga membacanya.

2 Komen »

  1. ilham said

    kesempatan meraih penghasilan dengan meringkas buku
    baca info lanjut di:
    http://meringkasbuku.cjb.net atau
    http://www.geocities.com/miliskoe2006
    dapatkan juga EBOOK GRATIS davinci code berbahasa indonesia

  2. Diana said

    Halo…salam kenal dari kami tim serbabuku.com, download site kami di
    http://www.serbabuku.com atau http://www.koleksibuku.com
    Terimakasih.

RSS feed for comments on this post · TrackBack URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: