Pengurusan masa cekap – Bina masa depan umat cemerlang

Pengurusan masa cekap – Bina masa depan umat cemerlang
02 Ogos 2005 Ruangan Bicara Agama Utusan Malaysia

Oleh ZAMRI MOHAMAD

Pernah kita terfikir sejenak, apakah satu-satunya unsur yang tidak pernah jauh dari diri dan kealpaan kita tentang kewujudannya, membawa kerugian yang sangat besar.

Itulah yang dinamakan masa. Hakikat masa dalam kehidupan amat mempengaruhi corak hidup sesiapa sahaja, yang sedar akan memperoleh keuntungan manakala yang leka akan terjerumus dalam keadaan yang serba sempit.

Itulah masa, ia mengikat keadaan hari ini dengan kejadian lampau dan masa hadapan. Ia adalah nikmat dan kepentingannya sangat ditekankan sehingga disebutkan dalam al-Quran dan Sunah (Abdul Fatah A.G, Nilai Waktu Dalam Kehidupan).

Kehidupan para ulama telah membuktikan betapa pengurusan masa yang cekap membawa kepada gaya hidup yang seimbang dan nilai sumbangan yang besar kepada generasi-generasi terkemudian.

Dalam pergaulan dengan ahli sufi, Imam Syafie memperoleh pesanan yang berharga mengenainya, masa laksana sebilah pedang, apabila seseorang tidak menggunakannya dengan baik, maka ia akan memotongnya.

Dengan erti kata lain, perjalanan masa yang tidak terancang secara strategik tidak dapat mengubah sesuatu yang sepatutnya berlaku pada awalnya.

Pengurusan masa adalah salah satu ciri dalam pengurusan membangunkan nilai manusia. Dari konsep negara, masa adalah titik penentu kepada kesejahteraan rakyat dalam apa segi, dan perlu dirancang penggunaannya. Konsep organisasi turut memberi penekanan yang sama berkenaan keadaan ini.

Konsep kerja dan masa adalah satu perkara besar yang diperingatkan oleh Umar Abdul Aziz dalam kata-katanya, Sesungguhnya siang dan malam turut membantu manusia bekerja, maka bekerjalah pada kedua-dua waktunya.

Menjadi satu bahaya yang amat besar apabila perencanaan masa tidak berlandaskan pengurusan akal yang sempurna, kesan ini membawa kepada peranan nafsu yang bertindak menjadikan masa sebagai medium keseronokan melampau dan tempoh lengah yang melemahkan kualiti manusia.

Masa sebagai lambang kenikmatan dan kerugian digambarkan jelas dalam surah Al Isra’ ayat 12 bermaksud: Dan Kami jadikan malam dan siang itu dua tanda (yang membuktikan kekuasaan kami), maka Kami hapuskan tanda malam itu (sehingga menjadi gelap-gelita), dan Kami jadikan tanda siang itu terang-benderang supaya kamu mudah mencari rezeki dari limpah kurnia Tuhan kamu dan supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan hitungan hisab (bulan dan hari) dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu (yang kamu perlukan untuk dunia dan agama kamu), Kami telah menerangkannya satu persatu (dalam al-Quran) dengan sejelas-jelasnya.

Masa dan umur adalah dua perkara yang berjalan seiring. Mungkin kita pernah mendengar kata-kata orang tua, adakalanya mereka mengharapkan peluang untuk memperoleh waktu muda mereka.

Jika kata-kata itu dianggap nasihat, generasi muda perlu mengambilnya sebagai peringatan. Lupanya manusia terhadap kurangnya umur kerana masa yang dianggap masih panjang telah diperingatkan oleh Rasulullah sabdanya: Dua nikmat yang banyak dilalaikan orang ialah kesihatan dan kesempatan. (Riwayat Bukhari)

Sesalan terhadap masa yang berlalu sering berlaku dalam masyarakat yang tidak merancang dengan sempurna. Terbukti dengan perkataan seperti, “kalau”, “bagusnya” “jika” atau seumpamanya menggambarkan rasa kesal terhadap nikmat masa yang sudah jauh meninggalkan manusia.

Hassan al Basri mengingatkan melalui pesanannya tentang kekesalan manusia dalam pengurusan masa, Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu sebahagian daripada hari, apabila hari berlalu, maka berlalulah sebahagian hidupmu.

Apa yang perlu kita fahami mengenai masa sangat penting untuk memahami warna kehidupan seterusnya. Cerah dan ceria sebagaimana cerahnya mentari dan indahnya warna pelangi, atau gelap dan suram umpama awan mendung di langit.

Satu perkara yang perlu kita sedar, pengurusan masa individu bukan sahaja memberi kesan kepada diri tetapi lingkungan sekeliling turut menerima tempiasnya.

Peranan yang sangat besar dalam mengurus masa ia membantu membentuk sejarah yang dihayati untuk jangka masa yang sangat lama. Tanyakan pada diri, pernahkah kita mengingati sebarang sejarah yang berlaku, kelahiran dan kewafatan Rasulullah, kemerdekaan negara dari penjajah, kejatuhan ekonomi negara. Bukankah ia melibatkan masa?

Setiap angka yang terpamer pada tarikhnya memberi impak yang besar baik dari sudut pemikiran, tindakan dan motivasi diri. Apabila wafatnya Rasulullah, dalam diselubungi kesedihan, tetapi pada masa yang sama ia turut menaikkan semangat umat Islam pada waktu itu untuk membawa Islam lebih jauh ke seluruh pelosok dunia.

Pada umur baginda 63 tahun, kita melihat sirahnya selama 23 tahun usaha dan strategi dakwahnya, dan pada tarikh pemergiannya 12 Rabiulawal, ia adalah titik tolak kesinambungan usaha dakwah pada semua. Lihatlah pada skop yang lebih kecil, apakah tarikh perkahwinan anda, tarikh pertama kali anda bekerja dan tempoh masanya memberi kesan kepada diri, atau sesuatu yang yang perlu dilakukan tapi masih belum dilakukan lagi?

Umat Islam perlu membina legasi atau sesuatu yang perlu diwarisi oleh umat akan datang. Di negara Barat, kita pernah mendengar nama-nama seperti Napoleon Hill dan Dale Carnigie yang digambarkan bukan sahaja sebagai tokoh perniagaan tetapi penulisan mereka memberi kesan kepada pembangunan Malaysia banyak diaplikasi di seluruh dunia melalui cetakan pelbagai bahasa mencapai tahap jutaan naskhah meskipun mereka sudah tiada.

Sebelum kelahiran mereka, ulama-ulama silam telah mengambil inisiatif yang sama dan betapa perlunya kita menghidupkan legasi Islam melalui perencanaan masa yang betul dan bermatlamat untuk mengulang kembali kegemilangan ini.

Imam Ibnu Jarir al-Thabari pernah ditanya tentang matlamatnya, beliau mensasarkan untuk menulis sejarah dari zaman nabi Adam sehinggalah waktu kini (pada waktu itu) sejumlah 30,000 halaman.

Usahanya menjadikan matlamat dan pengurusan masa yang cekap membuahkan hasil malah melebihi sasarannya. Karangannya mencapai 358,000 halaman dan jika dikira secara purata, beliau mengambil masa 72 tahun sejak umur 14 tahun dengan menulis sebanyak 14 helai sehari.

Pada masa yang sama beliau membahagikan masa kepada tiga, waktu untuk diri, agama dan masyarakat sesuai dengan peranannya sebagai ahli tafsir, sejarah , hadis dan imam mujtahid.

Mampukah kita bertindak dengan corak yang sama? Setiap perkara ada unsur-unsur yang bersifat kompleks untuk diselesaikan, ada ketikanya masa yang tidak diurus secara bijaksana menjadikan perkara mudah menjadi rumit.

Dalam kehidupan seorang pelajar, setiap nota yang tidak diulangkaji dan disusun secara sistematik akan menjadi timbunan yang membebankan pemikiran dan emosi jika ditelaah pada saat-saat akhir. Inilah yang disebut dalam syair Tajudin dalam Baghiyatul Wuah, karya Imam Suyuti halaman enam,

“Hari ini terdapat sedikit ilmu, dan hari esok begitu juga. Apabila yang sedikit itu dikumpulkan, seseorang akan menemui dan mendapat sebuah hikmah. Sebagaimana banjir yang timbul kerana titis-titis hujan yang terkumpul.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: