Catatan hari ini bukanlah mahu bercerita tentang M…

Catatan hari ini bukanlah mahu bercerita tentang Mawi, kisahnya sudah cukup terpampang di media hampir setiap hari. Tetapi catatan hari ini adalah satu salinan semula kisah perjuangan dan kesabaran seorang wanita di ceruk Felda dalam mengayakan hidupnya dengan nilai kemanusiaan dalam berhadapan dengan kesusahan.
Utusan Malaysia 27 Ogos 2005
Cerita sedih peminat Mawi

“Dah lama saya cari Kak Tim untuk kongsi cerita Misteri Mawi yang Kak Tim tulis dalam ruangan ini dua minggu lalu.”Begitu bicara seorang wanita pada Kak Tim melalui satu panggilan telefon beberapa hari lalu.
“Membaca tulisan Kak Tim itu, saya dapat rasakan, Kak Tim mungkin tidak dapat merasakan penderitaan hati seorang anak peneroka Felda seperti Mawi. Sebab itu, Kak Tim menganggapnya sebagai satu misteri bila melihat air mata mawi bertakung di saat Kak Tim tanyakan kisah keluarganya.
“Kak Tim, saya juga anak peneroka seperti Mawi. Kalau Felda Mawi di Kulai, Felda saya di Kahang Barat, Kluang, Johor. Felda Mawi lebih jauh pendalaman berbanding Felda saya. Tentu saja penderitaanya lebih parah daripada penderitaan yang pernah saya tanggung.
“Felda di tempat Mawi, sama dengan tempat saya… peneroka sawit yang tidak memberikan pendapatan lumayan.
“Memang tiap bulan abah dapat gaji. Tapi selepas ditolak hutang baja, upah potong pelepah, duit tanah, duit hutang kedai belanja barang dapur dan sebagainya, bakinya memang menyedihkan. Pernah abah terima gaji 50 sen selepas ditolak segala hutang piutang itu. Pernah juga terhutang pula lagi dengan Felda.
“Bayangkan bagaimana untuk makan dan minum seterusnya? Pengalaman ke sekolah pakai kasut koyak ni jangan cerita. Sudah lali kami lalui. Minta emak belikan kasut baru. Tapi kata emak, selagi tapak kaki tak luka, pakailah kasut tu.
“Bila tunjukkan pada emak, depan kasut dah ternganga, emak hulurkan tali tangsi suruh jahit koyak tu. Dan kami ke sekolah dengan kasut yang tapaknya sudah koyak dan di depannya berjahit dengan tali tangsi.
“Tiba musim raya. Kata abah, `Mari kita ke bandar beli kasut raya.’ Gembiranya kami adik beradik tak tidur semalaman itu menanti siang. Kami bercerita sepanjang malam warna kasut yang akan kami pilih bila di kedai nanti. Esok pagi-pagi naik motor tiga beradik bersama abah.
“Tahu apa yang kami dapat? Sepasang selipar Jepun tiap seorang. Hanya itulah kemampuan anak Felda untuk bergaya dengan kasut raya.
“Bila Mawi kata nak tolong emak abah yang pernah mengalami musibah dan di pandang rendah… saya menangis. Saya faham benar maksudnya.
“Pernah kami beraya rumah pak cik di Cameron Hinglands. Waktu emak pelawa mereka datang rumah, kata mak cik, dia bukan tak mahu datang rumah kami. Tapi dia takut kereta dia rosak sebab laluan untuk kerumah kami itu teruk dan lecak becak.
“Beberapa hari kami bermalam di rumah itu, setiap kali nak mandi, kami rasa terseksa. Takut kalau keluarga mak cik terpandang tuala kami. Puas bersembunyi, tapi akhirnya pak cik terpandang juga kami bertuala.
“Kata pak cik pada abah, `tuala apa kau bagi budak-budak tu pakai. Dah tipis betul. Tak boleh serap air lagi dah. Rumah ni, kalau tuala macam tu dah kena buat lapik kaki.’
“Kami jadi bahan hinaan. Mereka mencaci tanpa membantu. Sedih Kak Tim!
“Bila saya ke Kuala Lumpur bekerja, kata jiran-jiran, saya jadi perempuan jahat. Gaji pertama, saya beri abah RM200. Abah tanya, `Bolehke aku makan dengan duit ni?’ Kata-kata jiran, rupanya `termakan’ oleh abah.
“Sampai sekarang ini kalau saya tengok kad pengenalan saya, mahu rasanya saya tukar alamat yang tercatit pada kad saya itu.
“Bukan rasa terhina jadi anak Felda. Saya bangga dibesarkan dengan jerih perih seorang peneroka Felda. Tapi saya ingin padam kenangan pahit di Felda, kalaulah ia boleh dipadamkan!
“Kak Tim, sebenarnya ramai anak Felda yang kecundang dari dalam diri kerana mengalami segala pengalaman itu.
“Waktu orang ketawakan Mawi tidak pandai Bahasa Inggeris, air mata saya meleleh. Hinaan itu saya rasa bukan lagi cubit paha kiri, paha kanan terasa. Tapi sebaliknya terkena hati dan jantung saya.
“Mereka tak faham, kami anak-anak Felda memang tidak terdedah dengan Bahasa Inggeris. Memang ada guru Bahasa Inggeris. Tapi caranya mengajar tidak sama dengan cara yang diajar oleh guru anak-anak saya yang kini dibesarkan di Kuala Lumpur.
“Tapi jangan pula ingat semua anak Felda gagal dalam hidup. Ramai yang berjaya. Bersama-sama dengan saya, ada empat lagi rakan saya yang terpilih meneruskan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara. Empat kawan-kawan saya itu melanjutkan pelajaran ke luar negara.”
KAK TIM: Tak sedar, sepanjang mendengar bicara wanita lewat 20an itu, air mata mengalir laju.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: