Catatan Kem Kepimpinan Mahallah Ali [09]

Satu pengalaman yang menarik bersama-sama rakan-rakan dalam kepimpinan kolej Ali B Abi Talib. Kami baru sahaja kenal-mengenali satu sama lain, atas keperluan tersebut kami dipertemukan dalam beberapa program yang diaturkan oleh pihak kolej di kem Agropark, Bentong, Pahang.

Keistimewaan program ini ialah nilai-nilai kekeluargaan yang cuba diterapkan dalam kepimpinan baru ini. Menguruskan perjalanan dan kehidupan para pelajar yang mendiami kolej ini bukanlah sesuatu yang mudah jika ia dikendalikan bersendirian. Melalui kem dua hari ini, hubungan yang baik antara kepimpinan dan pentadbiran adalah perkara yang terbaik perlu dicapai untuk kejasama akan datang.

Syukur kepada Allah, melalui projek bagi pertandingan Mengibarkan Jalur Gemilang yang merupakan pertandingan peringkat universiti, hubungan tersebut telah bermula. Kem ini boleh disifatkan sebagai mengukuhkan lagi apa yang sedia ada. Kami bertolak seawal jam 9.00 pagi dengan bersarapan sebungkus roti dan air kotak. Bahagian pengangkutan universiti menyewakan kami sebuah bas sekolah untuk ke destinasi. Kebiasaannya perkara ini berlaku apabila ada program-program lain yang memerlukan pihak universiti menyediakan bas kampus. Pemandunya seorang berbangsa India ditemani oleh isterinya.

Perjalanan mengambil masa lebih satu jam, melalui lebuh raya dan kampung-kampung di sekitar Bentong. Sampai sahaja di pekan, kelihatan staf-staf Bank Negara berbaju biru dan bertopi sedang berlegar-legar di sekitar dengan berjalan kaki dan berkenderaan dalam acara mencari harta karun.

Kami keletihan. Kebanyakannya hanya menghabiskan masa dengan melelapkan mata. Aku memerhatikan pemandu bas dan isterinya yang galak bercerita dalam bahasa ibunda. Ada waktunya, mereka ketawa. Ia mengingatkan aku kepada pasangan suami isteri dari Kelantan yang memunggah perabot di rumah abang dua tahun lalu ketika beliau berpindah rumah. Pasangan Melayu ini tidak sedikit pun merungut mengalihkan perabot seperti almari dan katil dari tingkat empat ke bawah. Sama seperti pemandu bas dan isterinya, mereka sempat bergurau sambil membawa barang ke bawah.

Sehari sebelum itu, tuan Che Rus, saudara Naim dan saudara Nizam telah tiba lebih awal sebelum kami untuk meninjuau-ninjau tempat. Kem dua hari ini kebanyakannya diuruskan oleh saudara Nizam sendiri, katanya kebiasaannya ia dijalankan oleh jawatankuasa terdahulu, tetapi berikutan masing-masing ada hal yang perlu diselesaikan maka beliau sendiri perlu melakukannya sendiri.

Dalam ucapan pembukaan progam dua hari MALIC, pengetua ustaz Fauzi Muda menekankan betapa pentingnya kedua-dua pihak baik pihak pentadbiran dan wakil pelajar utuk saling memahami daya upaya dan kemampuan masing-masing serta skop yang boleh dijangkau.
Selain itu perkara yang menarik perhatianku ialah penekanannya terhadap konsep kepimpinan dalam kontek wakil pelajar kolej, kata beliau “Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang ada kekurangan dan belajar dari kekurangan.” Bagi aku ini adalah ubat untuk kesombongan jiwa dek kerana keangkuhan bersandarkan jawatan yang sering membunuh nilai motivasi yang positif. Kepimpinan kerana Tuhan akan bergerak dari kelompok mengarah ke kelompok perkongsian.

Slot yang menarik disusun sepanjang hari pertama di sini. Kebetulan apabila kami tiba di kem, staf-staf UIAM dari pelbagai jabatan datang untuk menghadiri khemah ibadah sejak hari Khamis. Kami bermula dengan sesi perkenalan atau ‘ice brekaing’ kami dibahagikan mengikut kumpulan yang berkongsi bulan kelahiran yang sama. Dalam masa sepuluh minit kami diminta menceritakan apa yang dicerita oleh rakan.

Kemudian kami melakukan aktiviti gunung dan ombak. Melucukan tetapi ia memberi satu tujahan kepada akal untuk bersikap kreatif. Bayangkan dua kumpulan seramai sepuluh orang berdiri di atas sebuah karpet pengesat kaki kecil dan diminta bergerak ke arah ‘gunung’ iaitu tiga kumpulan seramai lima belas orang yang berdiri di atas kanvas kuning kecil sehinggakan kami sepakat untuk mengorbankan beberapa ahli kumpulan melibatkan aku, Che Rus dan pengetua sendiri.

Petangnya, kami menjalani sesi berhadapan dengan fobia air. Aku tidak begitu takutkan air, tetapi apa yang aku bimbangkan ialah keadaan dalam air. Berapa dalamnya menjadi keutamaanku. Tetapi pelatih kami, saudara Azli bekas tentera yang gemar menceritakan pengalaman ketenteraannya banyak memainkan peranan untuk menggerakan kami. Lumba rakit, melintasi jambatan tali Vietnam dan berenang adalah adalah aktiviti yang dijalankan. Aku meninggalakan sesuatu sebagai kenangan untuk program itu, rakit yang patah selepas melanggar bukit kecil yang dipanggil pulau.

Malamnya, progam mengasah kepimpinan diteruskan dengan program tazkirah. Setiap daripada kami diminta menyampaikan satu tajuk sebelum Isyak dan disambung selepas solat Subuh. Barbeque pada malam itu sesuatu yang menggamatkan suasana. Masing-masing hendak mencuba membakar ayam dan daging. Acara yang dinanti-nantikan, malam persembahan kreatif. Setiap kumpulan mempersembahkan sesuatu yang menarik untuk memenangi pertandingan tersebut. Kebanyakkannya mempersembahkan drama pendek berbentuk humor dan nyanyian selepas mempersembahkan logo masing-masing. Hanya ketika inilah anda dapat melihat bakat ‘pengetua’

Hari kedua, merupakan hari menjelajah hutan. 400 meter dari aras laut, dengan kecondongan 50 darjah benar-benar mengambil stamina aku, kecondongan itu membuatkan keadaan lebih sukar untuk mendaki. Kali terakhir aku menyertai jelajah hutan seperti ini ialah lima tahun lalu ketika di sekolah. Kami diperkenalkan dengan pokok Tongkat Ali yang tumbuh satu sentimeter setahun, ada yang tinggi tidak sampai lutut dan ada pula yang sudah beratus tahun.

Kata saudara Azli, akar Tongkat Ali sama panjang dengan batangnya di luar dan tidak digalakan untuk wanita mengandung meminumnya kelak kebimbangan keguguran. Petua mencabutnya ialah dengan selawat, membaca Bismilah dan meminta ‘izin’ jika tiga kali percubaan mencabutnya gagal, maka ia tidak boleh dicabut lagi. Bak kata saudara Azli, “Tinggalkanlah, bukan rezeki…” Kacip Fatimah pula renek sahaja dan kecil.

Dalam perjalanan ke puncak kami sempat melihat empangan lama yang dibina oleh tentera Jepun ketika waktu penjajahannya. Malah disebutkan pula, bangunan tempat kami diami adalah kawasa memancung kepala tawanan. Syukurlah bukan semalam kami mendengar maklumat ini, jika tidak otak akan bermain dengan imaginasi lebih-lebih lagi kawasan mandi adalah tempat yang terbuka.

Aku melepaskan geram untuk mandi di tasik kali kedua selama sejam dengan kumpulan kedua yang baru tiba malam semalam. Sehinggakan aku di’kejar’ oleh kumpulan ini dan ditenggelamkan untuk beberapa ketika. Saudara Syakir, sahabat sebilik mengalami kecederaan setelah kakinya terpijak buluh dan luka. Rasa bisa memang memeritkan. Setakat itu sahajalah dia bersama kami di tasik

Sesi Hati ke Hati adalah sesi yang penting dalam kem ini. Ketika inilah segala bentuk kritikan, cadangan, rasa tidak puas hati dilontarkan oleh pihak pelajar dan pentadbir serta masing-masing cuba untuk mencari penyelesaiannya. Penutupnya ialah sesi memberi sesuatu yang dimiliki kepada seseorang yang dianggap sahabat. Pengetua memberi kaca matanya kepada seorang pelajar manakala seorang fellow memberi kemenyan untuk pelajar yang diberikan oleh saudara Azli kepadanya ketika di hutan.

Kami pulang dengan kepuasan dan matlamat untuk memperbaiki budaya kepimpinan dan kecemerlangan kami. Setibanya di UIA kami berhadapan dengan krisis air selama tiga hari yang membawa kepada pengumuman cuti oleh pihak universiti.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: