Krisis Air & Label

Krisis air selama tiga hari memberi cuti panjang kepada warga kampus. Bagi para pelajar, cuti inilah sesuatu yang dinanti-nantikan oleh mereka unuk mengulangkaji, menyiapkan tugasan dan pulang ke kampung. Bekalan air dihentikan selepas pencemaran berlaku kesan daripada tumpahan minyak kelapa sawit ke sungai. Proses pembekalan air dihentikan serta merta dan Jabatan Bekalan Air dan pembeka air swasta SYABAS segera menyediakan tong-tong air di setiap kolej dan mengisinya setiap dua jam. “Dalam kekurangan sebegini barulah kita mahu belajar bersyukur…” ingatan guru tilawahku ketika menemuinya pada pagi Isnin, selepas pengumuman cuti diedarkan sekitar kampus. Benar, kita tidak kisah dengan bekalan air yang tidak ditutup dengan membiarkan orang lian yang menutupnya. Apabila bekalan air berkurang, setengah baldi dirasakan cukup banyak.

Pengalaman baru mandi di tepi jalan oleh beberapa pelakar sekitar jam tiga pagi seolah-olah mengimbau suasana kampung apabila kanak-kanak mandi telaga. Meskipun di tepi jalan, kepentingan memelihara aurat masih menjadi keutamaan.
Timbul pula isu baru apabila menerima pesanan ringkas dari pembimbing dunia penulisanku,
“Assalamualaikum, Berita Harian siar gambar pelajar perempuan angkat air nampak perut…”

Terkedu aku membacanya. Benarkah? Setengah hari berlalu, ia menjadi isu yang dibincangkan oleh pelajar-pelajar lain. Sebahagian mengatakan, “Wartawan sewajarnya tidak meletakan gambar tersebut,” sebahagian lagi, “Ada agenda lain mungkin…” dan pelbagai kesimpulan dibuat mereka. Aku masih tidak dapat menangkap maksud mereka kerana tidak berkesempatan melihat dan membacanya sendiri.

Dalam pemikiran, aku cuba mencari-cari sumber air dan sedikit keselesaan. Berita jam satu tengah hari di TV3 menyiarkan rakaman para pelajar berpusu-pusu pulang ke rumah mereka dan ke rumah saudara mara berdekatan dan wawancara dengan beberapa pelajar.

Seorang pelajar perempuan yang ditemui di tempat menunggu bas memberi komennya, “Ramai pelajar yang menyewa kereta dan pergi ke kawasan steysen minyak dan masjid untuk memperolehi bekalan air bersih.”

Aku dan rakan-rakan lain bercadang melakukan aktiviti bersama keluar ke Ulu Yam di kawasan P3 untuk mandi-manda. Airnya jernih, tempatnya agak ke dalam dan terpaksa melalui kawasan pokok tumbang untuk tiba ke sana. Tanpa kami sedari seekor dua pacat hinggap di pangkal kaki.

Mandi-manda satu perkara, tetapi perkara yang paling menarik ialah aktiviti ini sebenarnya membuka peluang untuk kami saling merapatkan hubungan lebih-lebih lagi sebagai rakan sebilik. Kebiasaannya, masing-masing sibuk dengan tugasan dan siri diskusi pada waktu malam di studio dan tempat lain.

Esoknya hari kuliah seperti biasa, isu di akhbar masih belum reda sehingga membangkitkan kekesalan seorang pensyarah. Lebih kesal lagi ialah sikap pelajar-pelajar yang melihat kampus sebagai penyekat kebebasan mereka. Masuk ke institusi ini kerana ia merupakan pilihan terakhir dan pilihan keluarga.

Apabila di luar cuba merendah-rendahkan kedudukan institusi dengan penampilan dan kata-kata yang kurang manis dan bertentangan dengan kehendak mulia universiti. Perkara yang menghairankan pensyarahku apabila pelajar-pelajar dalam kelompok ini tidak segan mengaku sebagai pelajar insitusi ini apabila tidak segan silu mencatatkannya dalam ‘resume’ mereka ketika memohon pekerjaan. Mengapa jadi begitu?

Petikan Berita Harian
Tarikh Isnin 12 September 2005

Krisis air: UIAM cuti dua hari
Oleh Sharifah Salwa Syed Akil dan Zuraidah Mohamed

GOMBAK: Lebih 16,000 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), termasuk 2,500 pelajar antarabangsa diberi cuti kecemasan selama dua hari berikutan gangguan bekalan air di kawasan Gombak sejak Jumaat lalu.

Cuti dua peringkat bermula semalam hingga hari ini untuk kakitangan, manakala sehingga esok bagi pelajar. Semua kuliah serta aktiviti disambung semula seperti biasa pada Khamis ini.

UIAM adalah antara 13 kampung sekitar Gombak yang mengalami masalah air berikutan tumpahan minyak di muka sauk loji Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) selepas sebuah trailer terbalik di Kilometer 25, Lebuh Raya Karak pada Jumaat lalu.

Pembatalan kelas dan operasi universiti terpaksa dilakukan kerana selain membabitkan keperluan air bersih untuk warga UIAM, krisis itu menjejaskan bekalan air untuk sistem penghawa dingin dan sistem pencegahan kebakaran di seluruh universiti.

Pengarah Pejabat Perhubungan Awam UIAM, Shamsul Azhar Mohd Yusof, berkata penutupan universiti akan membolehkan pelajar meninggalkan asrama untuk pulang ke kampung atau berkunjung ke rumah saudara mara berdekatan sementara menunggu krisis selesai.

“Kita berharap masalah ini dapat diatasi segera, sekurang-kurangnya apabila universiti kembali dibuka Khamis ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Tinjauan di kampus UIAM mendapati Syabas menyediakan 15 lori tangki untuk membekalkan air bersih bagi diagihkan kepada pelajar.

Sejak awal pagi, sebahagian besar pelajar sudah menunggu lori tangki kerana kebanyakan mereka kehabisan bekalan sejak malam semalam.

Pelajar jurusan psikologi, Nor Syafazlin Aida Bidris, 22, berkata, dia menunggu lori air sejak jam 12 tengah malam kelmarin kerana air yang disimpan habis digunakan untuk mandi dan keperluan lain.

“Mereka hantar air waktu Maghrib semalam dan saya menjangka penghantaran berterusan hingga ke tengah malam tetapi lori hanya datang kembali tengah hari tadi (semalam).

“Kudrat orang perempuan bukanlah kuat sangat. Saya hanya mampu angkut sebaldi saja. Itupun sudah termengah-mengah kerana terpaksa mengangkatnya hingga ke tingkat tiga,” katanya.

Pelajar jurusan Sains Sosial, Munisa Harun, 22, berkata pengumuman UIAM yang hanya dibuat hari ini (semalam) menyebabkan dia tidak berpeluang pulang ke kampung.

“Penat hanya tuhan yang tahu, tapi nak buat macam mana. Kalau tidak angkut, kami tidak boleh mandi atau mengambil air sembahyang. Kini kebanyakan kami terpaksa beli air mineral untuk minum dan kegunaan lain,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata selain pusat operasi 24 jam, pasukan bergerak diwujudkan bagi memantau kawasan terjejas serta menyalurkan maklumat terus kepada pejabat operasi dan menyediakan sembilan lori tangki. Pengguna juga diminta menghubungi Syabas untuk aduan dan pertanyaan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: