Ratu Latah guna hadiah RM50,000 bina rumah musnah akibat tsunami

Petikan Berita Harian ruangan CITRA 19 September 2005
Ratu Latah guna hadiah RM50,000 bina rumah musnah akibat tsunami
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

TEKA teki siapa berjaya menggondol wang tunai RM50,000 Pertandingan Jom Masak Bersama Seri Murni terjawab Ahad lalu apabila Ratu Latah diumumkan sebagai juara mengalahkan tiga peserta lain pada pertandingan akhir, berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam Ahad lalu.

Pada pertandingan itu Ratu Latah atau nama sebenarnya Zainab Wan Chik menunjukkan kehandalan memasak kari ketam resepi turun temurun keluarganya. Walaupun cara memasaknya tampak mudah dan tidak sesukar persembahan peserta lain, nyata ia bukanlah faktor utama terpilih sebagai juara.

“Saya sungguh bersyukur atas kemenangan ini dan langsung tidak terfikir akan muncul juara. Sebagai mangsa Tsunami yang tinggal ‘sehelai sepinggang’ saya fikir inilah rahmatnya dan saya akan gunakan wang ini untuk membeli kelengkapan rumah yang ranap disebabkan bencana itu,” katanya sebak sejurus selepas diumumkan sebagai juara. Hadiah disampaikan Pengarah Operasi TV3, Anthony Firdauz Bujang.

Menyingkap mengenai rahsia masakannya itu, Zainab berkata, masakan berkenaan adalah kari biasa yang dimakan bersama keluarga dan tiada rahsianya malah ia terhasil secara spontan apatah lagi tabiat latahnya itu menyebabkan beliau selalunya terlupa mengenai ramuan.

“Saya tidak ada persediaan malah tidak ikut resepi kerana melatah. Apa yang terlahir dari masakan ini, itulah yang terlintas di fikiran. Tiada ramuan khusus dan menyifatkan ini sebagai rezeki dari Allah,” katanya yang mengikuti uji bakat di Pulau Pinang.

Kejuaraannya itu meletakkan Hasilah Omar atau Awek Senyum dan Mohd Faizal Mehat atau Abang Gelek pada tempat kedua dan ketiga, yang mana masing-masing membawa pulang wang tunai RM5,000 dan RM2,000.

Juri pertandingan yang juga bertindak sebagai Ketua Juri berkenaan ialah Chef Sabri dari Royal Aldephi, Seremban; penulis buku masakan, Zaidah Mohd Noor dan Chef Azharuddin dari Hotel Grand BlueWave Shah Alam.

Sementara itu Awek Senyum yang tidak menyangka akan muncul antara tiga terbaik akan memanfaatkan wang berkenaan sebagai modal untuk membuka restoran. Jelasnya walaupun jumlah berkenaan tidak mencukupi tetapi percaya andai disertai usaha dan tekad, wang kecil itu mampu di lipat gandakan pada masa akan datang.

Bagi Abang Gelek, walaupun sebelum ini beliau selalu diwar-warkan sebagai juara, langsung tidak berkecil hati tidak muncul sebagai juara sebaliknya menyifatkan ‘tiada rezeki’ walaupun cukup bersedia menghadapi pertandingan akhir itu.

Beliau sebaliknya akan meneruskan minatnya menyertai pertandingan memasak untuk mengasah bakatnya walaupun sudah bergelar chef di salah sebuah hotel di Kedah dan mengendalikan kelas memasak.

Mengulas mengenai peserta pertandingan, Chef Sabri berkata, kebanyakan peserta masih gementar serta gugup berhadapan penonton selain persembahan makanan yang kurang memberangsangkan.

Jelasnya memasak ketam kurang sesuai dilakukan menggoreng kerana ia mengambil masa yang agak lama membuatkan sajian dihidangkan mentah selain perhiasan yang tidak sesuai dengan lauk utama.

“Ratu Latah membuat persembahan yang baik apabila memasak ketam secara merebus yang mana mengambil masa yang singkat untuk masak berbanding menggoreng, selain perhiasan yang seimbang dari pelbagai segi.

“Andai Jom Masak Bersama Seri Murni diadakan tahun depan, saya menasihati peserta supaya kerap berlatih depan cermin agar lebih yakin berhadapan penonton selain cuba menghasilkan hidangan baru atau pelbagai, sebagai contoh gandingan tempatan dan antarabangsa.

“Secara keseluruhan peserta tahun ini menunjukkan peningkatan dan potensi yang baik sehingga menjadikan rancangan ini sebagai salah satu pilihan penonton di TV3,” katanya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: