Berkampung di Sri Pentas Utama

Lawatan pendidikan ke Seri Pentas menyebabkan aku dan Riduan tidak dapat menghadirkan diri ke ujian pertengahan tahun Sejarah Amerika Syarikat. Semalam kami cuba menemuinya di perpustakaan untuk menangguhkannya pada hari lain. Jika tidak kerana lawatan ini, mungkin kegusaran kami sudah lenyap.
Sri Pentas Utama adalah satu projek lama yang sudah tertangguh sejak dua semester dahulu. Ketika itu aku, Mas Raihanum dan Riduan merupakan pengerak projek ini. Tetapi ada banyak perkara yang melewatkan usaha kami sehinggalah Zaid Adnan dan Ruzila mengambil alih pada semester berikutnya. Kedua-duanya banyak membantu dalam menyempurnakan projek ini. Terima kasih atas susah payah mereka dalam menjayakannya.
Mengapa lawatan ini penting bagi aku selain daripada sebab ia mengambil banyak masaku sebelum ini? Pertama ia pendedahan awal yang sangat penting dalam dunia media, dunia yang bakal aku lalui tidak lama lagi.
Kedua, selepas beberapa siri program berkaitan dengan media melibatkan lawatan ke Utusan Karya, ujibakat DJ Impian dan RTM serta yang terbaru diberi tugas untuk mengendalikan laporan berita bagi siaran Ansar dibawah MITV, aku perlu mendedahkan diri dan mempelajari suasananya seawal mungkin. Ia bukanlah dunia yang mudah dan penuh keseronokan sebagaimana dilihat dari mata kasar. Dunia media adalah dunia berkejar-kejaran dengan masa dan tugasan.
Seawal jam 9 kami bertolak dari UIAM dengan hanya bertemankan seorang pensyarah, Encik Abdul Halim Taib. Kerana beliaulah, banyak lawatan telah kami aturkan dan jayakan sebelum ini. Bagi beliau dunia praktikal melalui lawatan-lawatan sebegini dan menganjurkan forum media sangat penting.
Sedikit benar yang disentuh mengenai teori, tetapi kelasnya dipenuhi dengan kisah-kisah pengalamannya. Aku masih teringat lagi ketika beliau menceritakan pengalaman kewartawanannya mengendalikan berita di Thailand. Beliau dan beberapa rakannya berpeluang melihat bagaimana pesalah dirantai kakinya ketika dibicarakan di kamar mahkamah.
Beliau juga bertanggungjawab membawa dunia BERNAMA dan program-program mereka kepada kami. Antara program terbesar ialah melibatkan program bersama ASEAN pada semester lalu.
Kembali tentang Seri Pentas Utama TV3. Kami tiba setengah jam awal meskipun keadaan lalu lintas agak lambat ketika melalui Damansara Utama. Selepas sepuluh minit menanti di ruang menunggu, kami didatangi oleh kakitangan medianya dari bahagian Perhubungan Awam, saudara Shafique.
“Terima kasih kerana kesudian anda untuk datang dan hendak mengetahui tentang TV3, Terima kasih kerana kesudian anda untuk datang dan hendak mengetahui tentang Seri Pentas, Terima kasih kerana kesudian anda untuk datang dan hendak mengetahui tentang Media Prima…” ucapan terima kasih terus disampaikannya.
Seawalnya beliau menceritakan tentang Media Prima, pemegang saham utama TV3. Dibawah Media Prima terdapat beberapa syarikat media lain pemilikannya meliputi NSTP, TV3, TV8, sebahagian NTV7, TV9 dan Fly.FM yang bakal dilancarkan awal tahun hadapan.
Seri Pentas dibahagikan kepada dua sayap yang memainkan peranan masing-masing. Studio diletakan di aras bawah bangunan. Seawalnya kami dibawa ke studio berita lama yang kini menjadi tempat aduan orang ramai yang hendak dirakamkan, ia berhadapan dengan meja-meja wartawan.
Kemudian kami bergerak ke studia baru mereka yang digunakan kini. Sebarang pengambilan gambar dilarang sama sekali. Keadaan dalamnya sangat sejuk dan gelap apabila tidak digunakan, bertujuan menjaga alat-alatan melibatkan lampu, kamera, skrin agar dalam keadaan yang baik.
Secara fizikalnya, kawasan studio dibahagikan kepada empat sudut berbeza, satu untuk Buletin Utama, dua untuk bahagian sukan, tiga untuk rancangan The Exchange dan satu lagi, dengan berlatar belakang skrin biru untuk rancangan Business News.
Terdapat lebih kurang lima kamera berskrin yang disediakan. Salah satunya masih menyalakan lampu merahnya, menandakan ia masih merakamkan visual. Satu lagi terletak di atas, sebagai ‘master’ yang merakamkan dari atas keadaan pembaca berita sebelum dan selepas membaca berita atau ketika iklan.
Di bahagian bawah meja pembaca berita Buletin Utama, disediakan sebuah komputer dan skrin yang membantu pembaca berita mendapatkan berita terkini ketika berita disampaikan. Ia boleh terus dicetak dari situ atau akan dimasukan sekali dalam paparan skrin teks di kamera. Tahap kelajuan teks di skrin bergantung kepada keselesaan penyampainya.
Apa yang membezakan satu program berita dengan program berita yang lain ialah pencahayaan. Lampu yang berbeza digunakan untuk membezakan program-program tersebut meskipun dalam studio yang sama.
Pembaca berita akan menghadap kamera secara bersilang ketika menyampaikan laporan. Setiap kali berita keudara, studio tersebut adalah kawasan larangan dan dikawal oleh pengawal keselamatan. Meskipun seorang kakitangan TV3 yang dikenali hendak memasuki kawasan tersebut, dia dilarang sama sekali jika tidak berkaitan.
Menjadi seorang penyampai berita TV3, bermula sebagai wartawan (Broadcast Journalist) kemudian bergerak menjadi penyampai siaran luar dan kemudiannya menjadi penyampai berita Berita Terkini, Berita 1.30 dan berakhir di Buletin Utama.
Pada masa yang sama, TV3 mempunyai wartawan bebasnya (freelance), koresponden dan stringger yang dibayar untuk melaporkan. Ia adalah satu perjalanan panjang untuk menjadi selebriti dunia penyampaian. Menjadi penyampai berita harus tahu bagaimana meyakinkan seluruh Malaysia tentang apa yang ingin disampaikannya.
Cukup penting bagi pembaca berita Buletin Utama tiba seawal jam enam bagi wanita dan jam tujuh bagi lelaki untuk disolekan. Pembaca berita tambahan disediakan sebagai langkah berjaga-jaga seandainya pemberita yang sepautnya bertugas tidak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu.
Ada penyampai berita yang bukan berkelulusan bidang kewartawanan dan komunikasi seperti Hasnida Hasim, yang merupakan lulusan bidang sains sukan. Menjadi kakitangan TV3 memerlukan seseorang bersedia bekerja di bawah tekanan dan bersedia melakukan 2-3 kerja serentak. Kebanyakan dilantik secara kontrak.
“Kita bergerak ke studio B sekarang…” jelas Chai Yin, rakan media saudara Syafique yang mengiringi kami.
Di studio B inilah beberapa program dirakamkan dan disiarkan secara langsung setiap hari iaitu Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini dan Nona. Di satu sudut, terdapat satu set yang belum disiapkan sepenuhnya.
“Di sana set Melodi akan disediakan. Kebiasaannya ia akan disiapkan sama ada pada hari Jumaat atau Sabtu,” jelas Chai Yin lagi dengan senarai jadual di tangan kanannya.
Terakhir kami bergerak ke studio C. Studio terakhir ini sedang menjalani rakaman untuk rancangan Scoreboard. Di belakangnya merupakan studio Al Kulliyah. Lawatan kami berakhir di sini, dalam masa sejam kami di dedahkan kepada bagaimana kamera studio beroperasi, rancangan disusun dan pada masa yang sama kami berkesempatan melihat bilik suntingan yang beroperasi mengikut jadual.
Kini kami perlu memfokuskan kepada forum yang dirancang sebagai susulan kepada projek-projek seperti ini. Secara peribadi aku melihat tahun lalu dan tahun ini para pelajar khususnya para pelajar Komunikasi Kewartawanan telah melakukan usaha yang besar dalam membawa universiti ke luar dengan membina hubungan baru. Bermula dengan BERNAMA, bergerak ke Utusan Karya dan RTM kini ia memasuki dunia TV3. Mungkinkah NTV7 dan ASTRO selepas ini? Kesemua ini tidak akan bergerak tanpa pandangan jauh pensyarah seperti Encik Halim Taib yang mempelopori semula idea keluar ke dunia nyata semula.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: