Karisma kepimpinan – Kualiti istimewa

Karisma kepimpinan – Kualiti istimewa
Oleh ZAMRI MOHAMAD
Utusan Malaysia 5 September 2005

BAGAIMANA memperoleh karisma kepimpinan? Sebagaimana disebutkan oleh Hamka, ia dimaksudkan dalam bahasa Indonesia sebagai cahaya wajah.

Cahaya ini (kuasa karisma) diperoleh daripada dua sumber, iaitu pemberian terus daripada Allah, dan kedua, daripada pergaulan dengan mereka yang mempunyai karisma seumpamanya.

Karisma adalah kualiti istimewa yang wujud khususnya dalam kepimpinan, dan menarik perhatian ramai serta memberi inspirasi dan kecenderungan orang ramai untuk mengikutnya.

Kefahaman terhadap apakah itu karisma, berubah mengikut corak media hari ini. Peranan media telah menukar imej siapakah yang dimaksudkan dengan pemimpin berkarisma dengan meletakan kelompok korporat dalam konteks pemimpin berkarisma moden berbanding maksud yang difahami oleh masyarakat sebelum ini.

Terdapat beberapa elemen yang diperlukan dalam mewujudkan kepimpinan berkarisma. Seseorang harus menyedari bahawa dalam diri mereka mempunyai karisma yang tersendiri.

Namun kepimpinan berkarisma dilihat daripada tiga sudut yang berbeza; karakteristik pemimpin, ciri-ciri pengikutnya dan keperluan suasana. Gabungan ketiga-tiga ciri ini mewujudkan perhubungan dan kepimpinan berkarisma secara bersama.

Ahmad Naim Jaafar, penulis buku Siri-siri Karisma dan Pembangunan Diri, menyenaraikan beberapa karakter penting dalam memenuhi kriteria kepimpinan berkarisma.

– Persepsi manusia membentuk karisma anda.

Isu persepsi sangat penting bagi individu yang melangkah ke dunia kepimpinan.

Persepsi individu-individu sekeliling turut mencorakkan kemampuan seseorang untuk berketrampilan sebagai seorang pemimpin yang sedia untuk diikuti dan dihormati.

Kelompok masyarakat sentiasa menjadi hakim terhadap kepimpinan yang ditonjolkan.

Karakter yang seimbang menjadi faktor pencetus pemimpin berkarisma. Dalam kelompok yang dipimpin, ia tidak sekadar diukur dengan nombor tetapi ia lebih dinilai melalui pandangan seseorang terhadapnya.

– Membina keyakinan diri yang tinggi.

Nilai keyakinan diri yang tinggi menjadi faktor nombor satu dalam membentuk kepimpinan berkarisma.

Sikap percaya kepada diri, tidak mudah jatuh dengan desakan dan kritikan menjadi teras kekuatan pemimpin. Dengan erti kata lain, tidak ada sesiapa yang dapat merendahkan diri seseorang melainkan diri individu tersebut membenarkannya.

– Percaya terhadap idea dan pelaksanaannya.

Kepercayaan sepenuhnya terhadap idea juga menggambarkan siapakah yang dimaksudkan sebagai pemimpin berkarisma. Pemimpin sebegini tidak cenderung menyentuh dan membawa sesuatu yang bersifat teknikal tetapi lebih kepada membina idea-idea umum yang akan dibina bersama kumpulan yang mahir untuk merealisasikannya. Dalam membina idea, pemimpin berkarisma akan membawa kumpulannya dalam mencapai matlamat bersama.

Sejumlah kutipan bukanlah fokus untuk membantu mereka yang memerlukan sebagai teras untuk menggerakkan persatuan, tetapi pemimpin akan membina fokus yang lebih besar dengan meletakkan perjuangan untuk membela nasib mereka yang malang menjadi pencetus kepada bergeraknya persatuan tersebut.

Idea dan fokus umum pemimpin akan seterusnya bertukar kepada tindakan-tindakan pelbagai bagi mencapai sasaran tersebut.

– Tenaga dan semangat yang berterusan.

Pemimpin berkarisma juga memiliki tenaga dan semangat yang tinggi.

Tenaga bukanlah sekadar tenaga fizikal pemimpin semata-mata, tetapi tenaga yang membakar semangatnya untuk terus bertindak dan memimpin serta melontarkan tenaga tersebut dengan semangat kasih sayang terhadap mereka yang dipimpinnya.

– Kemampuan menterjemah idea dan berkomunikasi.

Pada masa yang sama, kemampuan melontarkan keinginan dan kehendak terhadap mereka yang dipimpin, harus menjadi karakter seorang pemimpin berkarisma. Kegagalan dalam melontarkan secara jelas dengan kegagalan menyampaikan melalui komunikasi yang berkesan, menjadi penghalang kepada kerjasama antara pemimpin dan pengikut.

Akibatnya idea-idea yang bermanfaat dalam skala yang lebih luas tidak dapat dimanfaatkan dan diterjemah dalam tindakan susulan.

– Sentiasa membina imej secara aktif.

Pemimpin berkarisma haruslah membina imej secara aktif. Pemimpin bukan sahaja harus melihat dirinya dalam tetingkapnya sendiri, tetapi pada masa yang sama harus meletakan diri dalam tetingkap orang lain.

Pembinaan imej sendiri secara aktif dan langsung memperbaiki kekurangan lahiriah dan batiniah yang pada masa sama memperkemaskan keterampilan pemimpin.

– Bijak membaca perubahan sekeliling.

Kemampuan membaca perubahan sekeliling merupakan keperluan utama untuk pemimpin berkarisma.

Tanpa kepekaan membaca perubahan dan bersedia serta bertindak balas sesuai dengan perubahan tersebut, akan berlaku penolakan antara satu sama lain antara idea pemimpin dan perubahan.

– Mampu memotivasi orang bawahannya.

Dalam memotivasikan orang bawahan, pemimpian berkarisma harus tahu bagaimana mengetengahkan visinya dalam cara yang jelas dan mudah difahami.

Dengan kayu ukur dan matlamat yang jelas, menjangkakan yang terbaik, memberi perhatian kepada orang bawahan, memberi ganjaran yang sewajarnya, kemampuan menyampaikan mesej melalui cerita yang berkesan, meraikan kejayaan bersama dan menjadi model ikutan orang bawahannya.

Kesemua ini akan memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak dan dalam membentuk kepimpinan Muslim berkarisma yang cemerlang melalui acuan ini, ia memberi keuntungan dan ganjaran bersama kepada ummah untuk menikmati bersama.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: