Sebalik tembok dan warna

Kenapa banyak sangat gambar dalam blog ini? Ada yang bertanya soalan sedemikian kepadaku ketika melayari laman blog ini. Aku tersenyum dan sudah menjangka soalan ini pasti akan diajukan kepadaku. Seawalnya aku harus ucapkan terima kasih kepada pembaca-pembacaku yang selama ini aku anggap sebagai guru kehidupan.
Bercerita tentang gambar-gambar, sudah lama aku melibatkan diri dalan dunia ‘warna atas kertas’ ini. Aku tidak nafikan ayahku, Mohamad Haji Omar adalah pengaruh paling besar dalam hidupku untuk menjadikan ia sebagai tabiat apabila aku berada di luar. Kini, kita mempunyai kamera digital, lebih mudah untuk mengambil dan menyimpannya. Insya Allah, cukup masa akan aku cetaknya dan kumpulkan dalam album. Masih banyak gambar-gambar yang masih belum ke susun dengan elok di kampung, kesemuanya masih berada dalam kotak kasut yang aku khususkan untuk itu.
Bapaku seorang yang tegas dan kurang berbicara dengan anak-anak. Kami sedikit gerun dengannya apabila bercadang untuk meminta sesuatu apatah lagi untuk bersembang. Tetapi banyak perkara baik yang kami adik beradik pelajari dari beliau dalam kesenyapannya. Meskipun ayah tidak begitu bertanyakan soal anak-anaknya, tetapi beliau mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengajar.
Dalam kes aku. Kebiasaannya ayah akan memeriksa bilikku setiap kali aku pergi ke sekolah. Aku tidak mengetahuinya sehinggalah ibu memberitahuku. Ayah tidak akan menyelongkar barangt-barang. Cukuplah dengan membuka dan membelek-belek album yang aku susun di atas meja. Ayah melihat kehidupanku melalui gambar-gambar itu.
Pernah satu ketika ayah menegurku di meja makan agar tidak mudah cuba-cuba naik kenderaan orang lain lebih-lebih lagi motorsikal kuasa tinggi yang diletakan di kwasan awam, takut-takut dituduh cuba mencuri. Aku tidak pasti kenapa ayah menasihati demikian, tetapi aku mula memahaminya apabila melihat gambar dalam salah sebuah albumku yang aku sendiri terlupa mengenainya.
Ayah mempunyai koleksi gambarnya tersendiri. Rombongan haji Malaysia dengan kapal, kemerdekaan 1957, negeri-negeri sebelum merdeka dan penglibatannya dalam sekolah serta pelbagai gambar hitam putihy. Salah satu gambarnya yang aku hilangkan ialah gambar allahyarham P.Ramlee dengan tandatangan di bawahnya. Kata ibu, ayah pernah menguruskan pemeriksaan darah P. Ramlee di hospital ketika di Kuala Lumpur. Gambar-gambar tersebut masih denganku. Sengaja aku sorokannya kerana tangan-tangan gatal saudara mara yang suka mengambil dan membawa pulang tanpa memberitahu. Tidak pula dimintanya ketika hayat ayahku ada.
Aku teringat lagi, ketika itu aku masih dalam tingkatan satu. Beberapa bulan sebelum itu, ayah pernah berpesan agar tidak mengikut orang luar apabila diajak menumpang kenderaan. Bagi kita itu satu nasihat biasa dari ayah kepada anaknya. Tetapi yang membezakannya ialah ayah akan meng’uji’ anak-anaknya. Ia berlaku kepadaku.
Ketika itu aku belajar Al Quran dari seorang ustazah di rumah pangsa berhampiran Hospital Besar Kuala Lumpur (kini telah roboh dan digantikan dengan kediaman kakitangan hospital). Setiap hari aku berjalan kaki dari rumah di Titiwangsa seawal jam 8.00 pagi dan pulang sekitar jam 10.00 pagi. Kebiasaannya aku akan menunggu adik yang belajar di tadika Kemas yang tidak jauh dari rumah ustazah sehinggalah ayah datang mengambil kami. Tadika itu juga adalah tadika tempat aku bermain dan belajar abjad tujuh tahun lalu.
Hari itu sedikit berbeza. Ayah tidak kunjung tiba sedangkan jam sudah melewati setengah jam lamanya. Kami sedikit bimbang. “Kenapalah ayah tidak tiba lagi…” keluh hati kecil kami adik beradik.
“Adik, tunggu ayahkah?” seorang lelaki menyoalku dari dalam kenderaannya sedang kami sedang mengelamun panjang di pagar. Kami mengangguk.
Pakaiannya kemas dan kelihatan mesra. Kereta putihnya kelihatan mewah dari sudut pandangan mata kami. Kami masih tertanya-tanya siapakah lelaki ini.
“Ayah tidak dapat hadir. Ada mesyuarat. Dia minta pakcik ambil dan hantarkan adik,” katanya hendak meyakinkan.
Kami hanya menolak. Berkali-kali beliau cuba meyakinkan kami lagi. Aku dalam dilema, perlukan aku bersetuju dengan ajakannya, tambahan lagi adik bukan sihat sangat, penyakit jantung berlubangnya tidak memungkinkannya berjalan jauh ke rumah.
“Tidak apalah kami balik jalan kaki…” kataku sebagai keputusan terakhir. Aku memimpin tangan adikku dan berjalan pulang melalui jalan kecil di atas bukit bersebelahan tadika. Pakcik itu tidak pula mengekori kami.
Sepanjang perjalanan aku memastikan kami berhenti di anak tangga jejambat atau di tepi jalan setiap 10 minit, untuk adikku berehat sedikit, agar dia sedikit bertenaga untuk berjalan pulang. Bukan apa, aku bimbang kalau-kalau dia terlalu penat meskipun dia sering menunjukan keaktifan dan sikap ligatnya di rumah, lebih-lebih lagi apabila melawan kata-kataku (aku suka memprovokasinya).
Sampai di rumah aku menceritakan segala-galanya kepada ibu.
“Entah-entah ayah hendak menguji kamu,” kata ibu yang sedang menggoreng ikan.
“Eh, uji?” hairan dengan kata-kata ibu.
“Dahulu, abang engkau begitu juga. Pernah abang Long perasan ayah di sebalik bangunan apabila dia bawa balik abang Ngah. Sengaja diperhatinya dari jauh, nak tengok sama ada abang Long betul-betul dengar nasihat atau tidak…”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: