Pengaruh besar wanita Hispanic Islam di AS

Pengaruh besar wanita Hispanic Islam di AS
Petikan Berita Harian Jumaat 7 OKtober 2005

KETAKUTAN dan kebimbangan terhadap ancaman militan Islam selepas tragedi 11 September 2001, mendorongnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Islam melalui internet, malah dari situlah Melissa Matos, 22, mula mendekati agama suci itu.

Pelajar Sains Politik di Universiti Florida yang berasal dari Republik Dominican itu apabila ditanya kenapa beliau memeluk Islam, memberi jawapan yang panjang lebar mengenai sejarah Islam – dari zaman Nabi Muhammad SAW hingga sekarang.

Melissa yang datang daripada keluarga yang taat dengan fahaman Seventh-day Adventists di Republik Dominican, kini memadai tudung, solat lima waktu setiap hari dan mula belajar berpuasa.

“Kadangkala ia memberikan sedikit kesukaran,” kata yang memeluk Islam April lalu dan masih tinggal bersama ibu bapanya di Miramar.

“Saya rasa terasing daripada keluarga dan kawan lama, tetapi Islam sangat indah. Dengan kedatangan Ramadan, saya melakukannya sendiri, antara saya dan Tuhan,” katanya.

Melissa merancang untuk mengadakan siri syarahan mengenai sejarah Islam yang diketahuinya di universiti tempat beliau belajar, termasuk dua syarahan dalam bahasa Sepanyol.

Walaupun wanita Hispanic mewakili jumlah yang kecil di kalangan enam juta penduduk Islam di Amerika Syarikat, mereka agak berpengaruh kerana terbabit mengajar dalam kelas bahasa Arab-Sepanyol, menggerakkan persatuan dan mengedarkan terjemahan al-Quran dalam bahasa Sepanyol.

Mereka juga terbabit menubuhkan Piedad, rangkaian komuniti Sepanyol yang berminat mempelajari mengenai Islam. Kumpulan lain seperti Pertubuhan Dakwah Amerika Latin, yang ditubuhkan pada 1997, turut mempromosi peninggalan sejarah Islam di Sepanyol dan Amerika Latin.

“Ia adalah pergerakan yang semakin berkembang khususnya di kawasan bandar,” kata profesor dalam bidang agama di Universiti Florida, Manuel Vasquez,

Jurucakap Persatuan Islam Amerika Utara (Isna) berkata, ada kira-kira 40,000 masyarakat Hispanic Muslim di Amerika Syarikat dengan jumlah terbesar menetap di New York, Texas, Los Angeles, Chicago dan Miami.

Jameela Ali, 26, memeluk Islam tujuh tahun lalu selepas bermimpi menunaikan solat di sebuah masjid yang dipenuhi dengan sinaran lampu. Ibunya, yang berasal dari Peru dan dua adiknya juga memeluk Islam beberapa tahun kemudian.

“Anda akan berasa lebih dekat dengan Allah SWT selepas meninggalkan cara hidup lama iaitu berkunjung ke kelab malam, minum arak, merokok dan berpakaian tidak sopan,” kata Jameela yang tinggal di Pembroke Pines dan mengajar dua rakannya membaca dan menulis Arab.

Pengarah Isna di Miami, Sofian Abdelaziz, berkata kumpulannya kerap menerima permohonan untuk mendapatkan al-Quran terjemahan bahasa Sepanyol dan sejak beberapa tahun lalu, mereka sudah memberi lebih 5,000 al-Quran itu ke masjid dan penjara di Selatan Florida.

“Kami berasa amat gembira dapat berjumpa dengan orang Latin beragama Islam kerana dapat mengetahui latar belakang mereka,” kata Fatima Narvaez, 30, yang memeluk Islam pada 2002 dan sekarang sedang mempelajari bahasa Arab dengan dua lagi wanita Hispanic setiap hujung minggu.

Sementara itu, ibu bapa Melissa ketika ditanya mengenai tindakan anak mereka memeluk Islam berkata:

“Tidak mudah untuk Melissa meyakinkan ahli keluarga supaya memeluk Islam. Kami berpegang kuat kepada agama dan kepercayaan masing-masing,” kata ibu bapanya yang berpegang kuat kepada fahaman Seventh-day Adventists.

Roraima Aisha Kanar, 52, yang dibesarkan sebagai penganut Katholik oleh ibu bapanya dan meninggalkan mereka untuk menetap di Miami pada 1959 berkata, beliau tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai Islam sebelum memeluk Islam ketika usianya mencecah 22 tahun.

“Malah, ibu bapa saya yang kuat berpegang kepada fahaman Katolik juga tidak mahu cucunya dibesarkan sebagai orang Islam. Amat sukar apabila mengetahui ibu saya tidak menghormati agama saya,” katanya yang bersama suaminya membesarkan tiga anak sebagai seorang Muslim.

Fatima pula tidak menghadapi masalah kerana beliau mendapat sokongan daripada keluarganya apabila memeluk Islam. Bagaimanapun, beliau yang tinggal bersama datuknya tetap bimbang keluarganya tidak dapat memahami agama yang dianutinya.

“Sebagai contoh, bagi masyarakat Puerto Rico mereka menganggap babi adalah segala-galanya, tetapi bagi umat Islam pula, mereka dilarang memakan babi. Isu makanan halal ini mungkin menimbulkan masalah kepada saya.

“Mujurlah setakat ini mereka memahami kedudukan saya dan menyediakan masakan halal khusus untuk saya,” katanya.

Beliau berkata, Islam adalah cara hidup, tetapi tidak bermakna beliau perlu bertukar hanya mendengar muzik Arab semata-mata, sebaliknya warisan yang ada perlu dikekalkan. – The Miami Herald

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: