Blog..luahan hati alam maya

Ruangan IKON Berita harian 19/10/05
Blog..luahan hati alam maya
Oleh Diyanah Anuar

BERJUTA-JUTA pengguna Internet di Malaysia, tapi ramai yang masih tidak tahu apa yang dinamakan blog. Tidak mengapa, memang sukar untuk meneroka dan mengambil tahu semua hal dalam ‘dunia tanpa sempadan’ yang maha luas ini. Blog bukan fenomena baru di alam siber. Setiap hari ada saja laman blog baru yang dibangunkan. Laman blog sudah menjadi sama popular dengan e-mel dan laman sembang virtual. Penulisan kreatif kini sudah popular di dunia digital! Blog, atau sebelum ini lebih dikenali sebagai weblog adalah sejenis jurnal elektronik yang mengandungi teks dan grafik berserta dengan bahan yang dipetik dari laman web lain yang berkaitan dengan isu yang dipaparkan.

Terdapat juga komen daripada pelawat blog serta capaian (link) ke laman yang turut membincangkan isu yang sama. Penampilan laman blog terletak pada kreativiti pemilik blog itu sendiri. Ada yang lebih gemar memaparkan page yang ringkas di mana fokus ditumpukan kepada artikel saja. Ada pula yang gemar menyelitkan paparan imej, audio dan video supaya blog mereka lebih menarik. Kadangkala, pemilik blog atau blogger turut berkongsi pelbagai fail audio dan video yang menarik seperti lagu atau video muzik yang boleh dimuat turun oleh pengunjung. Sesiapa saja boleh menulis blog; siapa saja, walau apapun pangkat atau latar belakang mereka, boleh membangunkan laman blog sendiri jika mereka mahu. Asalkan saja mereka tahu apa yang ingin diblogkan dan memahami aplikasi Internet.

Blogger juga bebas memilih apa saja isu, daripada pergolakan politik dunia sehinggalah kepada konflik dalam episod telenovela popular untuk dijadikan subjek dalam artikel mereka. Kebiasaannya, isu yang sering dibangkitkan blogger adalah komen atau kritikan sosial mengenai hal yang berlaku di sekeliling mereka, yang ada kalanya memberi kesan kepada diri sendiri atau orang yang berkaitan dengan mereka.

Secara tidak langsung, blog dijadikan ‘suara’ untuk meluahkan perasaan tidak puas hati, rungutan atau teguran kepada sesuatu pihak yang kemudiannya menjadi medan diskusi antara blogger dengan pengunjung yang turut meninggalkan komen mengenai subjek yang dipaparkan. Namun, dunia blog bukanlah hanya dipenuhi dengan rungutan dan komen negatif semata-mata, ia turut dijadikan medium untuk menyampaikan idea dan pendapat, berkongsi hobi, bertukar-tukar cerita dan pengalaman dan bermacam-macam lagi.

Subjek yang diperbincangkan juga berbeza-beza. Ada yang lebih tertumpu kepada soal filem dan hiburan, ada yang lebih kepada keagamaan, ada yang lebih suka bercerita mengenai apa yang dilaluinya sehari-hari dan ada pula yang menggunakan blog sebagai medan untuk mengeratkan hubungan bersama teman lama.

Hasil carian di enjin pencari mengenai laman blog yang dibangunkan rakyat Malaysia, menunjukkan kebanyakan blogger terdiri daripada lingkungan umur belasan tahun sehingga awal 30-an. Rata-rata adalah pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dan tak kurang juga yang berkerjaya profesional serta terbabit dengan dunia politik.

Merujuk kepada MalaysiaTopBlogs, laman blog yang menduduki tempat pertama, senarai blog yang paling banyak menerima hit (kunjungan) adalah blog mengenai automotif dan teknologi. Selebihnya adalah blog yang memaparkan topik mengenai Akademi Fantasia (AF), jurnal harian, pendapat peribadi berkaitan isu semasa dan panduan bagi mereka yang ingin membina kekayaan.

Tidak dinafikan, ramai yang meluangkan masa yang banyak untuk melayari pelbagai blog di Internet, terutamanya remaja. Seperti tidak lengkap jika menggunakan Internet tanpa singgah dan membaca artikel yang ada di blog. Bila isu yang dipaparkan menarik untuk diperdebatkan, semakin keraplah laman blog ini akan dikunjungi untuk melihat komen terkini daripada pengunjung lain. Lama-kelamaan, wujud satu interaksi antara blogger dengan pengunjung laman blog mereka.

Topik yang diperbincangkan mungkin akan dipersetujui atau dibangkang mereka yang membacanya. Bagaimana blogger berhadapan dengannya, terserah kepada kebijaksanaan mereka. Namun, sejauh manapun kebebasan dunia maya, setiap penggunanya perlulah bertanggungjawab dan mengikut etika kesusilaan. Isu yang diperbincangkan di blog seharusnya tidak melampaui batas atau menyentuh sensitiviti perkauman, kepercayaan atau perkara yang boleh mengundang pertelingkahan.

Bukankah lebih elok jika blog digunakan untuk berkongsi maklumat berguna serta sebagai medium untuk mewujudkan persefahaman antara satu sama lain. Tidak salah untuk menyuarakan pendapat, tapi biarlah kena dengan caranya. Setiap sesuatu patut dinilai secara lebih rasional.

Matlamat dasar kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia dan keperluan mewujudkan satu piawaian perilaku yang dipersetujui terhadap mereka yang terbabit dalam industri ini adalah untuk:

a) Menggalakkan pewujudan masyarakat madani yang di dalamnya perkhidmatan berdasarkan maklumat akan menyediakan asas bagi peningkatan yang berterusan kepada kualiti kerja dan hidup
b) Mengawal selia bagi faedah jangka panjang pengguna akhir
c) Menggalakkan tahap keyakinan pengguna yang tinggi dalam penyampaian perkhidmatan
d) Mencambah dan memupuk sumber maklumat dan perlambangan budaya tempatan yang membantu mengetengahkan identiti kebangsaan dan kepelbagaian sejagat
e) Menjadikan Malaysia sebagai pusat dan tumpuan utama dunia bagi perkhidmatan komunikasi dan perkhidmatan maklumat serta kandungan multimedia. Dengan ini, adalah perlu untuk menjauhi daripada kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau mengganggu mana-mana orang.

Sepatutnya tidak ada bahan atau komen yang bersifat lucah, sumbang dan juga bahan atau komen yang bersifat perbezaan antara kaum, keturunan etnik, warna kulit, agama, umur, jantina, status perkahwinan atau kecacatan mental atau fizikal. Bahasa kesat atau rujukan yang kasar juga tidak patut digunakan. Semua ini tertera dalam Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia yang dikeluarkan oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia, yakni satu forum di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Perlu diingatkan bahawa akta dan undang-undang yang merangkumi kegiatan offline juga merangkumi kegiatan online. Blog adalah satu cawangan Internet yang banyak potensinya. Guru boleh menggalakkan pelajar menggunakan blog untuk menggalakkan kemahiran menulis dan berfikir. Memandangkan blog adalah sumber terbuka di Internet dengan potensi pembaca yang begitu luas, blog juga boleh digunakan untuk memperbaiki dan meningkatkan mutu pembelajaran menerusi cross referencing atau keupayaan merujuk kepada sumber tertentu untuk memantapkan lagi bahan penulisan. Adelina Iskandar Ketua Jabatan Komunikasi Korporat,Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (MCMC)

Antara jenis Blog :

Peribadi
Kebiasaannya blogger menjadikan blog mereka seperti diari online atau jurnal harian. Ia tidak begitu sukar untuk dibangunkan kerana kebiasaannya hos blog itu sudah menyediakan format serta panduan yang mudah diikuti. Antara yang sering dijadikan bahan kandungan blog seperti ini adalah hobi, pengalaman, luahan perasaan, pandangan mengenai sesuatu isu, rungutan, idea, puisi dan lirik lagu. Apa yang ditulis mereka dapat dibaca oleh sesiapa saja yang melawat laman blog mereka dan selalunya pelawat ini akan memberi komen, berkongsi pendapat atau pengalaman mengenai isu yang sama.

Sastera
Membincangkan hal berkaitan dengan dunia sastera dan selalunya dikunjungi peminat sastera. Turut memaparkan sekitar aktiviti seni yang berlangsung di sana-sini, ulasan mengenai karya sastera dan perkongsian pendapat mengenai isu sastera.

Kembara
Blog begini digunakan mereka yang sering mengembara ke pelbagai lokasi tempatan dan luar negara untuk bercerita mengenai keistimewaan tempat yang dikunjungi, disertai gambar yang menarik. Kadangkala mereka turut berkongsi panduan seperti bagaimana hendak ke sana, tempat penginapan dan pusat beli-belah yang menarik di setiap tempat yang dilawati. Berita akhbar Memaparkan isu menarik yang dipetik daripada laporan akhbar, yang kemudiannya diperdebatkan melalui komen yang dikirimkan pelawat.

Politik
Ada blog yang digunakan untuk berkempen oleh sesetengah pengikut parti politik. Namun, ada juga yang tidak bertanggungjawab dengan menyalahgunakan laman ini untuk menulis kritikan yang tidak berasas serta menyebarkan fitnah dan hasutan.

Pendidikan
Blog begini dijadikan forum antara tenaga pengajar dan pelajar untuk berdiskusi mengenai topik yang sudah diajar di dalam kelas. Ia memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya dengan lebih lanjut mengenai tugasan yang diterima ataupun berbincang dengan pelajar lain bagaimana hendak menyiapkan tugasan itu.

Perniagaan dan Kewangan
Terdapat juga individu yang menggunakan blog sebagai medium untuk mempromosikan perniagaan mereka serta untuk mendapatkan feedback daripada pelanggan mengenai perkhidmatan yang disediakan. Ada juga yang memberi khidmat nasihat berkaitan kewangan.

Motivasi
Ia sebagai satu alternatif kepada khidmat kaunseling yang ditawarkan di sesetengah pusat kaunseling. Sesetengah blogger yang menulisnya kadangkala bukanlah seorang pakar motivasi, tetapi cuba membantu orang lain berpandukan buku pakar motivasi serta penilaian rasional mereka sendiri.

Fotografi
Blog begini mempunyai pengikutnya yang tersendiri. Blogger biasanya mempamerkan koleksi foto menarik yang diambil mereka sendiri ataupun dari laman web yang lain. Pelawat laman blog pula akan memberi komen mengenai foto yang dipamerkan atau mungkin berkongsi teknik fotografi yang diketahui.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: