Tudung: Graduan UIAM beri penjelasan

Ketua Pengarang dirahmati Allah

Pemakaian tudung konvokesyen tidak bertentangan kod pakaian universiti
Oleh Zamri Mohamad

Secara peribadi penulis melihat kenyataan yang dilontarkan oleh Datuk Dr Shafie Salleh dalam kenyataannya kod pemakaian rasmi graduan ketika majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bertentangan dengan kod pakaian universiti pada masa ini sebagai satu kejutan yang tidak patut timbul dalam media melalui kenyataan beliau.

Memerhati dari beberapa buah akhbar tempatan yang menyentuh isu ini, saya melihat ia seharusnya sudah selesai tetapi ia timbul semula berikutan kepada kenyataan beliau. Datuk Dr Syafie sememangnya menyedari bahawa kewujudan UIAM sendiri lahir bersama dengan identiti yang mempunyai perbezaan besar dengan universiti-universiti lain.

Tidak hairanlah jika majlis konvokesyennya diadakan dengan pendekatan yang penuh hormat dan tradisi sesuai dengan dasar dan falsafah universiti. Perkara ini yang perlu dihayati dan difahami oleh Datuk sebagaimana dirasai oleh lebih 10 000 pelajar tempatan dan antarabangsa di universiti tersebut.

Bagi seorang Muslim pemakaian tudung dalam majlis istiadat konvokesyen bukan sahaja sebahagian dari tuntutan agama, malah pada masa yang sama ia adalah sebahagian daripada protokol rasmi yang melibatkan orang-orang keutamaan dari hierarki tertinggi melibatkan Sultan Pahang, Sultan dan Sultanah Johor serta kerabat, para kenamaan lain, presiden universiti dan rektor sendiri.

Dengan erti kata lain, graduan bukan Islam harus melihat pemakaian tudung dalam istiadat konvokesyen melalui perspektif kedua iaitu ia adalah protokol yang harus dipatuhi.

Graduan bukan Islam seawalnya telah didedahkan dengan sejarah dan penubuhan universiti ini yang berwarna antarabangsa melalui kerjasama negara-negara Islam di bawah OIC dan mereka pada peringkat awal mempunyai pilihan untuk tidak mengikuti pengajian di universiti tersebut setelah diberi pendedahan tersebut.

Maka menjadi sebahagian warga kampus UIAM bermaksud seorang siswa atau siswi menyedari peraturan yang menjadi tanggungjawabnya untuk dipatuhi dari awal sehinggalah dalam majlis istiadat konvokesyennya.

Mengatakan ‘ya’ dalam setiap borang kemasukan yang diisi dengan tandatangannya bermaksud bakal pelajar bersedia untuk patuh dan memahami setiap apa yang dimaklumkan kepadanya.

Mengapa apabila sampai di penghujung baru hendak dikecoh-kecohkan keadaan ini sehingga ia dilihat sebagai paksaan satu pihak ke atas pihak lain. Akibatnya, pertimbangan yang tidak adil menimpa universiti dan melalui pihak Datuk sendiri mengeluarkan kenyataan yang bagi penulis kurang adil sebelum diselidiki.

Isu ini tidak akan timbul seandainya graduan tersebut menyedari perkara ini adalah satu proses yang sudah menjadi tradisi dan diterima lebih 20 tahun dan wajar bagi beliau menerima ia sebagai satu tanggujawab sebagai pelajar untuk mendukung aspirasi universiti sehingga tamat pengajiannya.

Pakai tudung, songkok di UIA bukan semestinya masuk Islam
Forum Utusan 7 November 2005

Saudara Pengarang,KISAH seorang penuntut Cina di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang dikatakan enggan memakai tudung pada upacara penyampaian ijazahnya menunjukkan bahawa walaupun sudah lulus universiti dia masih tidak cerdik dalam soal budaya Malaysia.
Kita harap cauvinis-cauvinis dalam DAP, MCA atau Gerakan tidak akan turut bertindak demikian dalam soal-soal seumpama.
Pakai tudung atau songkok adalah satu protokol yang mula diamalkan di Malaysia sudah sekian lama.
Dan UIA sebagai sebuah universiti juga punyai protokolnya.
Jadi penuntut tersebut perlu insaf bahawa dia amat bernasib baik diterima masuk belajar di UIA. Jadi bak kata pepatah pepatah Inggeris: Kalau berada di Rome buatlah macam orang Rom.
Pakai tudung atau songkok tidak semestinya seseorang itu beragama atau masuk Islam. Untuk masuk Islam banyak lagi syarat lain yang perlu dipenuhi.
Menteri-menteri MCA dan Gerakan atau MIC mestilah menjelaskan bahawa songkok adalah sebahagian daripada pakaian rasmi mereka, umpamanya apabila ke Istana Negara untuk menerima watikah pelantikan.
Penuntut UIA ini juga mungkin tidak tahu ahli-ahli sukan Malaysia juga perlu pakai songkok atau baju kurung pada upacara pembukaan atau penutup Sukan Olimpik dan sebagainya.
Pakai songkok, baju kurung atau tudung seperti yang dikehendaki oleh UIA, hanyalah untuk keperluan keseragaman.
Dia bukan seorang sahaja penuntut bukan Islam di UIA.
Kebetulan pula dua hari sebelum itu TV3 menayangkan filem Hong Kong Young and Dangerous 5 yang bertemakan kumpulan-kumpulan gengster Hong Kong yang datang untuk mengembangkan sayapnya di Malaysia.
Satu daripada wataknya ialah seorang Datuk Malaysia berketurunan Cina yang cuba main kayu tiga dengan geng dari Hong Kong ini.
Di babak akhir, rancangan jahat Datuk ini terbongkar.
Pada satu majlis makan, Datuk ini memakai baju Melayu lengkap dengan songkok dan samping, tetapi kerana rancangan jahatnya dia dibelasah oleh ahli-ahli geng dari Hong Kong walaupun dia menjerit-jerit “Aku ini seorang Datuk tahu.”
Oleh itu, penuntut Cina UIA ini kenalah buka mindanya sedikit. Pakai tudung akan merupakan satu pengalaman manis baginya yang dapat masuk UIA yang sepatutnya hanya menerima penuntut Islam dalam dan luar negara. – BAKI MINUDDIN, Ampang, Selangor.
Usah wajibkan bukan Islam pakai songkok, tudung di UIA
Forum Utusan 10 November 2005

Saudara Pengarang,SAYA merujuk kepada tulisan Baki Minuddin di ruangan Forum, Utusan 8 November 2005 yang bertajuk Pakai tudung, songkok di UIA bukan semestinya masuk Islam.
Saya sebenarnya kurang bersetuju dengan tulisan Baki Minuddin itu.
Sebagai sebuah universiti Islam di sebuah negara Islam contoh seperti Malaysia, saya berpendapat adalah penting bagi UIA untuk menunjukkan tahap toleransi yang tinggi di kalangan warganya yang beragama Islam dengan warganya yang bukan beragama Islam.
Penonjolan imej toleransi ini penting di kala umat Islam seluruh dunia hari ini dipandang serong, khususnya dalam konteks hubungan orang Islam dengan orang bukan Islam.
Orang Islam dikenali sebagai kumpulan yang gemar bermusuhan. Orang Islam bermusuhan dengan orang Amerika, orang Israel, orang India, orang Thailand dan sekarang ini di Paris pula remaja Islam dikatakan menimbulkan rusuhan.
Tidak dapat tidak, UIA sebagai universiti Islam bertaraf antarabangsa yang terletak di negara Islam contoh akan turut menerima kesan buruk hasil pandangan serong masyarakat antarabangsa terhadap orang Islam.
Sebab itulah UIA mesti berusaha menonjolkan imej yang baik sebagai orang Islam yang toleran dan boleh menerima orang daripada agama lain sebagai kawan.
Apa masalahnya jika UIA mewajibkan semua pelajar memakai tudung dan songkok? Memang tidak salah, tetapi adakah tudung dan songkok itu simbol Islam?
Saya percaya, apa yang lebih penting ialah menjadikan budaya ilmu itu sebagai simbol UIA dan simbol Islam berbanding songkok dan tudung.
Lagipun songkok itu budaya orang Melayu. Lelaki Islam dari negara Arab, Amerika, Perancis dan tempat-tempat lain tidak memakai songkok.
Saya berpendapat, adalah lebih baik UIA mewajibkan perkara lain untuk pelajar-pelajarnya selain daripada memakai tudung dan songkok.
Misalnya, semua kursus perlu mewajibkan pelajar-pelajar mereka membaca sekurang-kurangnya sebuah buku sebulan dan menulis ringkasan buku yang mereka baca.
Lebih baik lagi, jadikan komponen bacaan itu sebagai salah satu penyumbang kredit (special credit) dalam pertimbangan memilih penerima anugerah dekan atau anugerah pelajaran diraja.
Dengan cara itu, diharap dapatlah UIA menonjolkan diri sebagai antara universiti terbaik dunia, seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia atau universiti-universiti lain yang terkemuka.
Semasa kita berdebat tentang kejatuhan ranking UM, tiada siapa menyebut langsung tentang UIA.
Tetapi apabila kita menyebut tentang pertandingan debat dan syarahan, UIA memang juara, tetapi itukah yang Islam pentingkan? Cukupkah setakat pandai bercakap sahaja?
Memang bagus jika UIA dapat melahirkan pendebat-pendebat terkemuka dunia, tetapi cukupkah setakat itu? Bagaimana dengan saintis, jurutera, arkitek atau doktor terkemuka dunia? Tidakkah kita mahu melihat orang-orang bijak pandai lahir dari UIA?
UIA perlu menjadi tempat di mana orang Islam menerima orang bukan Islam untuk belajar bersama-sama, hidup bersama-sama dan menjalani kehidupan dalam suasana damai dan harmoni dengan orang bukan Islam.
Jika semua pelajar bukan Islam memakai tudung, mesejnya ialah “semuanya orang Islam, semuanya sekumpulan. Tidak hairanlah mereka berbaik-baik sesama mereka”.
Tetapi jika ada orang Islam yang bertudung dan bukan Islam yang tidak bertudung hidup bersama, barulah jelas kemampuan orang Islam untuk hidup bersama orang bukan Islam.
Secara ringkasnya, saya mencadangkan pelajar bukan Islam di UIA tidak diwajibkan bertudung atau bersongkok, tetapi cukuplah sekadar berpakaian sopan (seluar panjang dan baju lengan panjang).
Budaya ilmu harus dijadikan sebagai sebahagian daripada imej Islam, bukan tudung dan songkok! – EDDIE IMRAN EDDIE ISMAIL, Kelburn, Wellington, New Zealand.
Jangan politikkan pemakaian tudung di UIAM
Lidah Pengarang Berita Harian Selasa 15 November 2005

ORGANISASI wujud atas dasarnya tersendiri yang menjadi panduan bagi menentukan hala tuju, matlamat dan menggerakkan kegiatannya. Sama ada agensi dan jabatan kerajaan, swasta atau institusi pengajian tinggi, semuanya mempunyai dasar dan garis panduan yang perlu dihormati.
Baru-baru ini, kod pakaian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi graduan wanitanya dalam istiadat konvokesyen, termasuk bertudung dengan lilitan logo UIAM ditimbulkan pihak tertentu.
Ia menjadi isu kerana pakaian rasmi itu turut diwajibkan kepada graduan wanita bukan Islam dan ada pula pihak yang mengaitkannya dengan soal agama.
Sememangnya, Islam mewajibkan wanita memakai tudung bagi menutup aurat dan ia tidak sepatutnya dipertikaikan. Dalam isu UIAM, kod pemakaian tudung itu khusus bagi istiadat konvokesyen saja dan tidak salah bagi pelajar bukan Islam menerimanya sebagai satu peraturan pakaian rasmi dalam majlis konvokesyen yang menjadi impian pelajar selepas berhempas pulas belajar, selain dasar itu tidak langsung menjejaskan kefahaman agama pemakainya.
Sekurang-kurangnya, inilah perbezaan yang dialami mereka selepas menjadi graduan sebuah universiti Islam. Malah, ada di antara pusat pengajian tinggi terkemuka di luar negara turut mempunyai pelbagai peraturan sendiri, termasuk kod pakaian ketika konvokesyen dan ia diterima baik oleh graduannya.
Kita percaya apabila UIAM menetapkan kod pakaian berkenaan, ia bertujuan baik sesuai dengan imej institusi berkenaan sebagai universiti Islam. Sehubungan itu, pelajar bukan Islam seharusnya melihat pemakaian tudung itu sebagai satu peraturan yang patut dihormati atau sekurang-kurangnya sebagai budaya pakaian universiti.
Soal hak kebebasan bagi individu tidak timbul kerana pelajar itu sendiri yang memilih untuk memasuki universiti berkenaan dan mereka sepatutnya dapat menerima peraturan yang ditetapkan.
Sebenarnya, isu ini ditimbulkan oleh pembangkang yang sudah kehabisan modal untuk mencari salah kerajaan dan ia bertambah rumit apabila ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut campur tangan apabila mengaitkan isu berkenaan dengan soal agama. Hakikatnya, bertudung bukanlah monopoli wanita Islam, malah dalam institusi gereja, biarawati juga memakai tudung, manakala sebahagian wanita Sikh turut memakai tudung walaupun cara dan bentuknya mungkin berbeza.
Ternyata ada di antara kita sering takut kepada bayang-bayang dan gemar membesarkan perkara kecil.Bagaimanapun, kita menyambut baik jaminan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, kelmarin bahawa graduan bukan Islam UIAM bebas memilih untuk bertudung atau sebaliknya dan kesediaannya untuk berbincang dengan pihak universiti mengenai perkara berkenaan.
Kita percaya isu ini dapat diselesaikan secara musyawarah dan tidak perlu diheboh-hebohkan atau dijadikan isu politik pihak tertentu. Oleh kerana pemakaian tudung itu kini sudah menjadi isu sensitif, seelok-eloknya biarlah kementerian berkenaan menanganinya dengan sepenuh kebijaksanaan selepas mengambil kira pendirian universiti

Tudung: Graduan UIAM beri penjelasan
Utusan Malaysia 11 November 2005

Saudara Pengarang,
SAYA merujuk kepada isu bertudung di kalangan penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang hangat dipolemikkan akhir-akhir ini berikutan seorang graduan bukan Islam dihalang oleh pihak UIAM daripada menghadiri majlis konvokesyen pada Ogos lalu.

Buat pengetahuan semua, saya juga adalah graduan undang-undang UIAM dan kenalan kepada graduan bukan Islam tersebut. Kami hadir pada majlis konvokesyen yang sama maka saya percaya, saya amat layak untuk memberi sedikit pendapat di sini.

Sejak penubuhannya pada 1981, UIAM tidak pernah memaksa atau mewajibkan mana-mana mahasiswa bukan Islam untuk bertudung. Ini terbukti dalam undang-undang kecil bertulis universiti tersebut.

Hingga ke saat ini, tiada satu pun kompaun atau tindakan disiplin diambil terhadap mana-mana pelajar bukan Islam yang tidak bertudung. Anda boleh memeriksa maklumat ini daripada Bahagian Keselamatan UIAM atau Hal Ehwal Pelajar sendiri.

Sebaliknya, UIAM hanya mewajibkan mahasiswa bukan Islam untuk `berpakaian sopan’ sebagai tanda menghormati kesucian Islam yang menjadi tonggak kepada universiti tersebut. Rentetan itu, kesemua pelajar bukan Islam telah mengenakan pakaian sopan seperti berbaju lengan panjang, berskirt labuh dan memakai skarf kecil di atas kepala yang menutup sebahagian kecil rambut mereka.

Ada juga yang bertudung penuh dan ada kalanya, ada yang tidak memakai skarf tersebut semasa program kokurikulum dan tiada pun sebarang tindakan diambil ke atas mereka.

Mereka memakai skarf tersebut semata-mata untuk menghormati rakan dan pensyarah yang lain yang kesemuanya memakai tudung.

Semangat persefahaman dan saling menghormati ini telah tersemat dari satu generasi ke generasi hingga ke saat ini sehinggakan ia telah menjadi satu contoh teladan kepada pelajar bukan Islam yang baru untuk turut memakai skarf atau bertudung.

Sebenarnya, tiada siapa pun yang pernah menyuruh mereka bertudung. Sebaliknya, mereka sendiri yang rasa mereka harus bertudung kerana pelajar senior yang lain pun bertudung. Pernah sekali semasa di bilik kuliah, pensyarah kami bertanya kepada seorang pelajar bukan Islam yang baru, sama ada beliau selesa bertudung dan memberitahunya bahawa beliau boleh tidak bertudung jika tidak selesa. Namun pelajar tersebut hanya tersenyum dan berkata `tidak apa’ dan terus memakai skarf hingga ke tahun akhir pengajiannya.

Sebenarnya apa yang berlaku pada pelajar bukan Islam yang dihalang pada hari konvokesyennya adalah satu isu lain iaitu isu tidak mematuhi kod etika pemakaian konvokesyen. Umum mengetahui, majlis konvokesyen adalah majlis kebesaran sesebuah universiti dan ia melibatkan ramai kenamaan. Pelbagai protokol dan prosedur harus dipatuhi dengan ketat.

Pada majlis konvokesyen UIAM Ogos baru-baru ini, Sultan Pahang, Sultan dan Sultanah Johor serta kerabat dan kenamaan lain turut hadir. Pihak UIAM terpaksa memastikan kesemua graduan mematuhi kod etika pemakaian yang ditetapkan untuk semua graduan Islam dan bukan Islam.

Yang lelaki harus bersongkok dan yang wanita harus bertudung. Ini kerana, pada setiap songkok dan tudung tersebut terdapat jalur logo UIAM yang disulam dengan benang emas, yang menjadi pakaian kebesaran untuk setiap graduan. UIAM tidak menggunakan topi seperti universiti yang lain, kerana mahu membezakan graduannya dengan sulaman benang emas tersebut.

Maka jika seseorang graduan tidak memakai songkok atau tudung khas tersebut, hilanglah seri pakaian kebesaran konvokesyen beliau dan seterusnya mencacatkan pemandangan di atas pentas terutamanya di hadapan kenamaan. Kod etika pemakaian ini telah dinyatakan lebih awal kepada semua graduan dengan begitu lengkap dengan gambar hiasan di dalam buku panduan konvokesyen dan gambar video serta demonstrasi pada hari raptai penuh.

Maka untuk menjaga protokol, pihak UIAM tiada pilihan lain melainkan menahan pelajar tersebut daripada naik ke pentas kenamaan dan menerima ijazahnya dengan pakaian kebesaran konvokesyen yang `tidak lengkap’ iaitu tanpa tudung khas tersebut.

Dalam konteks ini, jelas tiada niat keagamaan untuk memaksa pelajar tersebut bertudung. Sebaliknya UIAMlah yang harus dipersalahkan jika membenarkan pelanggaran kod etika pemakaian tersebut kerana ia jelas melanggar protokol para kerabat kenamaan.

Justeru, saya menggesa semua pihak terutama pihak pembangkang supaya berhenti mempolitikkan isu ini kerana ia berupaya mengundang konflik perkauman yang langsung tiada manfaat untuk kita. Saya juga merayu kepada pelajar tersebut untuk tampil membersihkan nama UIAM daripada semua fitnah liar ini.

Beliau lebih mengetahui sama ada beliau dipaksa bertudung sepanjang tempoh pengajiannya. Kepada semua graduan dan pelajar UIAM bukan Islam yang lain, jawablah soalan ini dengan jujur. Pernahkah anda dipaksa bertudung di UIAM selain pada majlis konvokesyen anda? Tepuk dada, tanyalah selera. – GRADUAN UIAM, Keramat Hujung, Kuala Lumpur.

Jawapan yang mengelirukan dari Datuk Dr Shafie Salleh.

Kod pakaian graduan UIAM kekal
Berita Harian 14 November 2005


Oleh Fazallah Pit
BANTING: Graduan bukan Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bebas memilih untuk bertudung ataupun sebaliknya, ketika menghadiri majlis konvokesyen.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh, mengakui ia bertentangan dengan kod pakaian universiti pada masa ini, kementerian akan berbincang dengan Rektor UIAM mengenai perkara berkenaan.“Kita akan bincang dan hasilkan akan dibentangkan kepada Kabinet pada mesyuarat akan datang,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di Morib di sini, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata demikian sewaktu diminta mengulas isu pemakaian tudung di kalangan graduan dan mahasiswa bukan Islam UIAM, yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.Mengikut kod asal, semua graduan, sama ada beragama Islam atau bukan, diwajibkan memakai pakaian rasmi dalam istiadat konvokesyen termasuk bertudung dengan lilitan logo UIAM.

Dalam perkembangan lain, Dr Shafie berkata, kurikulum Tamadun Islam dan Tamadun Antarabangsa yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan dirombak bagi mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.“Rombakan itu penting bagi meningkatkan pemahaman mengenai hubungan antara etnik dan budaya dalam masyarakat berbilang bangsa,” katanya.

Ikuti diskusi intelektual muslim dan bukan Muslim di http://www.jeffooi.com/archives/2005/11/letas_not_cover.php

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: