Konflik kepimpinan belia

Utusan malaysia
11 november 2005
rencana

Konflik kepimpinan belia
Oleh Zamri Mohamad

SALAH satu cabaran paling utama dalam menjadikan Islam sebagai sistem kehidupan yang cemerlang adalah melalui paparan kehidupan umatnya hari ini.

Kehidupan turut merangkumi satu bentuk kepimpinan dalam mengurus diri baik dari segi pemikiran, emosi dan fizikal melalui sumber dan pendekatan yang betul.

Hari ini, dalam pendekatan global dalam pelbagai rantai hubungan kemanusiaan, kepimpinan golongan belia Islam penting untuk berhadapan dengan konflik yang berlingkar di sekeliling kita.

Konflik difahami sebagai satu keadaan yang tidak harmoni, tidak wujudnya keserasian baik dalam diri mahupun dengan orang lain. Kewujudan konflik berada di mana-mana sahaja, dalam keluarga, masyarakat, malah selalunya melibatkan negara berdasarkan paparan media hari ini.

Tetapi, konflik tidak bermaksud timbulnya sesuatu bersifat buruk, sebaliknya pertembungan antara hak dan batil atau pengendalian sesuatu yang bersifat benar juga boleh membawa kepada keadaan ini.

Jika bercerita tentang kepimpinan belia Islam di Malaysia, umur di antara 30 sehingga 40 tahun, disifatkan umur yang layak diangkat sebagai wakil kumpulan belia.

Kecenderungan pembentukan kepimpinan muda bermula dalam pelbagai peringkat dan situasi. Dari sudut kehidupan universiti, kewujudan pelbagai persatuan dan penubuhan institusi perwakilan pelajar dijadikan landasan pembentukan pemikiran kepimpinan.

Di Malaysia, kewujudan Majlis Belia Malaysia yang melibatkan 39 organisasi kepimpinan belia dan tiga juta keahlian menggambarkan betapa seriusnya pendekatan yang diambil untuk membentuk kepimpinan belia yang berkualiti.

Apa yang menjadi persoalan besar hari ini dalam dunia Islam, berlakunya kekurangan kepimpinan belia Islam hingga menjadi satu bual bicara yang meresahkan semua pihak.

Pelbagai perkara dilihat sebagai punca kewujudan keadaan ini. Ketidakseimbangan program melibatkan remaja dan belia Islam dilihat sebagai salah satu faktor pencetus kepada kebimbangan ini.

Ketidakseimbangan ini dilihat melalui tumpuan kepada program-program lain berbanding kepada program kepimpinan yang digerakkan melalui seminar dan bengkel-bengkel secara kerap.

Penulis dimaklumkan oleh penggerak-penggerak pertubuhan belia khususnya yang diwujudkan demi generasi muda Islam, keadaan ini akan terus berlanjutan, seandainya nilai sensitiviti masih di takuk lama dan ia menyekat penggunaan sumber secara efektif dan efisien.

Pendekatan belia Islam hari ini mempunyai pendekatan yang berbeza kesan pengaruh budaya dan corak kehidupan sesebuah negara.

Di Indonesia, demonstrasi dan bantahan jalanan adalah sesuatu yang sinonim di kalangan mereka dan dilihat seolah-olah satu pendekatan agresif, jauh sekali ia berbeza dengan pendekatan para belia di Malaysia yang disifatkan lebih `lembut’ dan masih menggunakan pendekatan diplomasi, sama ada melalui memorandum atau seumpamanya.

Di Thailand pula, pendekatan-pendekatan sedemikian amat kurang kerana ia tidak dibentuk dengan konsisten.

Melahirkan kepimpinan belia yang berkualiti adalah satu projek jangka panjang tanpa titik noktah. Ia mungkin mengambil masa sekitar 10 hingga 15 tahun untuk melihat hasilnya.

Proses mendokumentasi maklumat, perjalanan sesebuah kepimpinan dan menjadikannya sebagai maklumat bersama dengan pertubuhan-pertubuhan lain adalah antara usaha untuk memastikan kelahiran kepimpinan belia Islam berada pada landasan yang betul dan menepati sasaran.

Budaya menjelajah keluar, turun bersama masyarakat serta merentasi sempadan negara adalah satu aktiviti minda untuk mengembangkan perspektif pemimpin belia Islam sebagai panduan untuk bertindak apabila diberi amanah kelak.

Dari semasa ke semasa, proses perubahan identiti dan imej-imej negatif terhadap kepimpinan belia Islam akan mengambil tempat.

Hubungan kepimpinan belia Islam dan para pengikutnya perlu sentiasa mengingati sejarah. Menurut satu kisah, Ali bin Abi Talib pernah ditanya mengapa para pengikutnya lemah dan tidak seperti para pengikut pada zaman Rasulullah s.a.w.? Maka jawab Ali, “Ini kerana para pengikut pada zaman baginda tidak seperti diri penyoal itu.”

Kemahiran

Dari kisah ini, difahami melalui konteks kepimpinan belia Islam moden, pembentukan akhlak dan peribadi diwarnai nilai didikan Islam perlu dikembangkan bersama dengan kemahiran hubungan kemanusiaan untuk memahami corak pemikiran para pengikutnya.

Bagi pihak yang dipimpin, perlu bersedia mempelajari corak pemikiran dan gerak kerja pemimpinnya.

Kepimpinan belia Islam adalah kepimpinan berasaskan ilmu. Jika bakat kepimpinan (lahir sebagai pemimpin) sahaja dipertaruhkan dalam mengendalikan sebuah gerakan atau pertubuhan tanpa asas ilmu yang berkembang, dibimbangi persaingan yang datang akan menenggelamkan bukan sahaja pemimpinnya, tetapi seluruh gerakannya, ini tentu merugikan umat Islam sendiri.

Pendekatan kepimpinan kreatif adalah satu pendekatan ke arah kepimpinan belia Islam hari ini. Ia menekankan konsep inovasi, iaitu perubahan terhadap sesuatu yang menjadi sumbangan sangat besar. Inovasi terhadap diri penting agar pemimpin belia Islam tidak terlalu rigid sehingga tidak berkembang pendekatannya.

Pendekatan kreatif yang disarankan antaranya seperti melahirkan komitmen peribadi terhadap orang lain, dengan memberi ruang kepada pandangan orang lain, bijak mengukur nilai sumbangan dan menjadikan diri sebagai contoh keterbukaan, imaginatif, dan berjiwa besar untuk agama.

Mencari kemenangan peribadi sehingga menolak semangat ukhuwah dan kerjasama antara ahli membunuh kepercayaan dan perkembangan positif yang diingini. Kesannya, tertolaknya kepimpinan, kegagalan mewujudkan budaya motivasi dan nasihat-menasihati dalam kepimpinan dan kesukaran membuat keputusan.

Semakin keadaan ini berlaku, sebarang kata putus sukar dicapai, matinya kreativiti, berlaku pembaziran sumber, lemah pada perkara asas dan gagal untuk membuat pilihan. Krisis kepimpinan perlu dipantau, pada masa yang sama, konsep kepimpinan Rasullullah berteras konsep al-Amin dan bijaksana membaca keadaan serta sejarah perkembangan sistem khalifah adalah perkara yang perlu dilihat semula sebagai unsur perbandingan.

Penyerahan kepada Allah sebagai sumber segala kekuatan, membuka lorong kepimpinan belia Islam yang berkualiti. Mengurus hati terhadap matlamat ini bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi satu keinginan perlu ada ke arah itu dan kerjasama orang lain dengan peranan tersendiri perlu dihidupkan.

Konsep kepimpinan dalam kehidupan para terdahulu jelas terbentang di dalam al- Quran yang perlu dikaji untuk mencari pemimpin cemerlang melalui acuan Islam.

Penulis meletakkan ini sebagai perkara asas yang acap kali ditinggalkan sehingga konflik yang berlaku di Afghanistan, Palestin, Iraq dan dunia Islam yang lain bertitik tolak daripada keadaan ini, memahami namun gagal menghayatinya.

Pemimpin belia Islam adalah kepala yang mengawal perjalanan seluruh tubuh. Ia bukan datang dari langit, sebaliknya ia dibentuk dengan pembentukan hati dengan iman berserta kefahaman.

Hari ini, krisis kepimpinan melalui satu perjalanan yang aneh, ramai meminta untuk dipimpin, tetapi tidak sanggup berkorban dan tidak ada keyakinan terhadap yang dipinta.

Krisis dan konflik akan terus berlaku, jika dalam jiwa masih wujud konflik. Inilah satu cabaran kepimpinan belia Islam hari ini.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: