Lima asas gubal dasar wujudkan dunia aman

Himpunan laporan Forum Perdana Kemanan Sejagat
Laporan Berita Harian 15, 16 dan 17 Disember 2005

Lima asas gubal dasar wujudkan dunia aman
Oleh Veena Rusli, Ridzuan Yop, Wan Hazmir Bakar, Magendran Rajagopal dan Wan Faizal Ismayatim

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan supaya satu anjakan paradigma dibuat terhadap pemikiran diri dan penggubalan dasar keselamatan negara serta kedaulatan bangsa sebagai usaha mewujudkan keamanan dan keselamatan dunia.

Perdana Menteri berkata, anjakan itu membabitkan lima asas utama yang perlu disepakati semua pihak bagi mencapai keamanan berkekalan.

“Pertama, aturan keselamatan perlu berasaskan kepada aturan moral dan setiap undang-undang semestinya melindungi lelaki, wanita dan kanak-kanak tanpa terbatas kepada bangsa, agama dan darjat,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Forum Perdana Keamanan Sejagat, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi forum itu dan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe.

Dalam ucapannya bertajuk ‘Islam dan Keamanan’, Abdullah berkata, setiap negara sama ada kecil atau besar, lemah atau kuat berhak mendapat mendapat keselamatan serta hak bersuara berkaitan keselamatan sejagat.

Beliau berkata, keamanan berkekalan yang menjadi asas kedua bermakna hak mutlak bagi memastikan keselamatan yang mapan kepada setiap orang untuk mendapat kebebasan asas bagi memenuhi aspirasi mereka.

Perdana Menteri berkata, asas ketiga ialah anjakan daripada kepentingan nasional yang sempit kepada kepentingan sejagat yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, asas keempat ialah perubahan daripada menggunakan pendekatan konflik kepada pendekatan kerjasama dalam menyelesaikan pelbagai masalah bagi membentuk dunia yang aman dan sejahtera.

“Asas kelima, saya percaya kepada perlunya perubahan daripada ketaksuban keselamatan ketenteraan kepada keselamatan menyeluruh membabitkan kesejahteraan individu, masyarakat dan negara,” katanya.

Abdullah turut menegaskan agenda memerangi keganasan memerlukan usaha antarabangsa, terutama di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, memerangi keganasan memerlukan pendekatan bersama dan keikhlasan untuk menanganinya terutama dengan mengenal pasti punca kepada berlakunya keadaan itu.

“Malaysia sendiri pernah berdepan dengan anasir subversif yang menggunakan pendekatan keganasan untuk menakutkan rakyat dan menggulingkan kerajaan dan kami mengambil masa 20 tahun untuk menumpaskan pengganas dan memaksa mereka menyerah…. mujurlah kami menang.

“Pengajaran daripada pengalaman Malaysia itu ialah kami bukan saja menang menerusi tindakan ketenteraan tetapi turut menguasai perang saraf,” katanya.

Keadaan itu, jelas Abdullah mendorong Malaysia dalam meminta semua pihak mengenal pasti punca sebenar yang mencetuskan keganasan.

Abdullah juga menghuraikan konsep Islam Hadhari yang diyakini beliau dapat membantu menyelesaikan permasalahan di negara Islam, termasuk pembabitan segelintir orang Islam dalam keganasan.

Namun, katanya, usaha di pihak umat Islam saja tidak akan menghasilkan kejayaan mutlak bagi mencapai keamanan.

“Prasangka terhadap Islam perlu dihapuskan pada masa sama. Masyarakat antarabangsa perlu mengambil pendirian bagi menghentikan tindak tanduk yang menyumbang kepada ketidakadilan, penindasan atau kekerasan terhadap negara dan umat Islam,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: