Zaman remaja permulaan baik untuk berkarya

Zaman remaja permulaan baik untuk berkarya
Oleh: DR. SIDEK BABA

AMALAN berkarya adalah suatu kelaziman atau kebiasaan seseorang menghasilkan karya sama ada berbentuk penulisan, lukisan, lirik lagu, ukiran dan lain-lain. Karya yang dihasilkan bermaksud merakamkan sesuatu yang dilihat, didengar dan dialami untuk dihargai sama oleh orang lain. Biasanya orang-orang yang menghasilkan sesuatu karya itu ia memiliki bakat seni yang tersendiri, seorang yang kreatif dan selalu peka terhadap persekitaran. Menerusi genre atau bentuk-bentuk penulisan yang digemari, ia menghasilkan sesuatu untuk menyampaikan mesej sesuatu perkara dan menerusi mesej itu diharapkan orang lain dapat menghargai sesuatu yang hendak disampaikan menerusi karya-karya yang pelbagai.

Tradisi Islam memang mendukung sama amalan berkarya. Amalan berkarya ini menjadi syarat bagi ilmuan terbilang dalam semua bidang. Kekuatan berkarya inilah yang menjadikan tamadun Islam unggul pada masa lalu. Amalan berkarya dari sudut Islam bukan saja memperlihatkan kebesaran Allah tetapi dibaca, dihargai, dinikmati oleh pembaca dan di kalangan seniman terhadap ayat-ayat Allah iaitu kehidupan itu sendiri. Sentuhan karyawan menyebabkan orang hampir dengan Allah kerana karya-karya yang tidak bercanggah dengan tauhid dan syariah sentiasa mengetuk pintu hati insan untuk merasakan kebesaran Allah menerusi limpahan rahmah dan nikmatNya.

Memang zaman remaja adalah permulaan yang baik untuk berkarya. Remaja kena ada tradisi mencatat, merenung, merakamkan dan memberi penghargaan atau apresiasi terhadap sesuatu yang baik, indah dan berseni. Dengan belajar menghasilkan sesuatu yang baik dan kreatif mahupun yang bukan kreatif remaja bukan saja dapat memupuk bakat atau potensi yang ada tetapi pada masa yang sama dapat berkongsi pandangan, pengetahuan dan idea dengan orang lain.

Bagi remaja, amalan berkarya harus dijadikan satu tradisi, kebiasaan dan kelaziman. Ada banyak jenis kegiatan berkarya boleh remaja lakukan. Ia mesti bermula sejak pada awal umur lagi. Remaja kena membiasakan diri dengan melakukan kerja-kerja catatan. Daripada catatan harus dikembangkan lagi supaya bukan saja kita mencatat idea orang tetapi lebih dituntut ialah memikirkan idea sendiri. Di sinilah amalan berkarya itu lahir.

Pertama, remaja kena rajin membaca, bergaul dan berkomunikasi dengan orang atau pihak lain. Menerusi pembacaan, pergaulan dan perhubungan banyak ilham dan isi-isi karya boleh diketengahkan. Para remaja harus memiliki sifat peka, sensitif, keinginan ambil tahu dan perspektif terhadap persekitarannya, analitis terhadap apa yang berlaku dan berjiwa kritis terhadap pandangan dan pendapat. Cara begini membolehkan pemikiran berkembang dan kematangan berfikir berlaku.

Kedua, remaja kena jadi seorang pendengar yang tekun dan pencatat yang baik. Kita sering mendengar orang berceramah tetapi jarang di kalangan remaja mengambil catatan, nota atau isi-isi penting. Selalunya kita hanya mendengar begitu saja. Jadikan amalan bila kita mendengar ceramah, kita bawa nota catatan untuk menulis apa yang diceramahkan.

Mungkin isi-isi atau idea yang dibawa oleh penceramah merupakan sesuatu yang baru. Remaja boleh mengolah dan menulisnya semula dalam bentuk-bentuk yang berlainan supaya apabila disiar atau diterbitkan ia memberi manfaat kepada orang lain. Orang-orang Barat amat gemar membuat catatan, nota atau jurnal tentang sesuatu yang berlaku atau terjadi yang dianggap penting. Tradisi ini amat berguna menjadikan mereka perakam zaman dan peristiwa untuk dianalisis, direnung dan dipelajari oleh generasi mendatang.

Bakat

Ketiga, para remaja yang memiliki bakat sebagai penulis kreatif, pelukis, penggubah mahupun tulisan yang bukan kreatif harus menjadikan berkarya sebagai penyaluran bakatnya. Umat Islam memerlukan karyawan yang bukan saja mempunyai kualiti dalam pengkaryaan tetapi karya-karyanya mendekatkan orang lain kepada Allah.

Karya-karya yang baik dan berkualiti boleh memberikan ilmu, maklumat, pengalaman dan teladan malah ilham kepada remaja menghasilkan karya-karya yang bermutu dan sekali gus dapat menyampaikan risalah tertentu dalam karyanya supaya pembaca dapat menikmati perspektif yang ingin dibawanya.

Alam yang luas ini adalah sumber yang maha kaya bagi membolehkan remaja berfikir, mengolah pemikiran dan menghasilkan karya. Alam ini dengan segala isi, peristiwa dan kejadiannya memberikan iktibar yang banyak. Para remaja yang mempunyai daya kreativiti yang tinggi boleh mengolahnya dalam bahasa dan sastera yang indah, dalam lukisan dan lakaran yang menarik, dalam lirik puisi dan lagu yang memikat dengan maksud bahawa sesuatu yang dihasilkan itu semuanya mempunyai hikmah yang tersendiri di kalangan mereka yang mahu berfikir.

Al-Quran menyebutkan: Bagaimana Allah turunkan hujan di bumi yang pada asalnya mati (kering) kemudian subur menumbuhkan pokok-pokok dan kehidupan untuk menjadi rezeki manusia. (al-Baqarah:164.) Ayat ini sekiranya mampu diungkapkan secara kreatif dan mendalam dalam tulisan deskriptif mampu membina tema-tema cerpen, novel dan drama yang menggambarkan kebesaran Allah. Ia juga berupaya membariskan lirik-lirik yang puitis didendangkan dalam lagu-lagu yang mersik dan mengusik. Dilakarkan ke kanvas-kanvas lukisan dan ukiran yang terkandung simbol-simbol dan tafsiran yang amat bermakna, ia mendekatkan manusia dengan pencipta yang sebenar.

Dipelihara

Al-Quran juga menyebutkan tentang “gunung-ganang itu ibarat pasak-pasak bumi” sebagai kias-fikir yang cukup mendalam dan sifatnya saintifik. Kalimah Allah itu menyebutkan pentingnya bumi ini dipelihara dengan amanah yang tinggi kerana sekiranya hutan-hutan yang hijau, pokok-pokok yang merimbun dirosakkan ia bakal memberikan kesan ekologi yang amat negatif. Kehijauan pokok berkait rapat dengan kepentingan kepentingan oksigen, keseimbangan muka bumi berkait rapat dengan keseimbangan cuaca dan juga sistem saliran. Sekiranya gunung-ganang diruntuhkan, bukit-bukit ditarah rata, pokok-pokok ditebang yang menyebabkan kehijauan pupus ia bakal menyebabkan lapisan ozon menipis dan boleh menyebabkan malapetaka kepada kehidupan.

Para karyawan harus memiliki upaya kreatif yang tinggi, menulis dengan bijaksana dalam pelbagai genre tulisan supaya pembaca dapat disentuh hati dan mindanya, supaya timbul keinsafan tentang kepentingan alam dan bumi ini dipelihara kerana ia dikaitkan dengan amanah.

Sebagai khalifah Allah di muka bumi, para karyawan harus mampu menggarap idea-idea segar dan indah untuk dinikmati pembaca supaya rahmah Allah di muka bumi ini dapat dinikmati dengan baik supaya jangan terjebak dengan peringatan Allah dalam al-Quran bahawa “kerosakan muka bumi ini adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia sendiri.”

Bagi para remaja, al-Quran adalah karya teragung daripada pencipta yang sebenar. Karyawan hanya mampu mereka dan menggubah tetapi bukannya Mencipta. Penciptaan adalah milik Allah. Manusia hanya cuba mereka dan menggubah sesuatu dalam bentuk penghasilan karya yang berbagai untuk dinikmati oleh manusia. Para remaja sejak awal umur lagi perlu menginsafi bahawa daripada sumber al-Quran terkandung kisah-kisah Nabi dan kaumnya yang berbagai ragam. Ia adalah rakaman gambaran manusia yang bakal berulang dan melakukan silih-peristiwa. Dalam al-Quran terkandung ayat-ayat Allah mengenai peristiwa dan musibah terhadap mereka yang ingkar dan melampaui batas. Ia boleh memberi ilham kepada karyawan betapa berbagai peristiwa yang berlaku dalam kehidupan manusia kini adalah perulangan atas dua pola perlakuan iaitu kebaikan kepada yang melakukan yang makruf dalam hidupnya dan keburukan atau malapetaka kepada yang melakukan kemungkaran dalam hidupnya.

Oleh itu, amat penting bagi remaja mengasah bakat mereka berkarya supaya alam yang terbentang luas sebagai buah karya Allah dapat diambil ibrah atau teladannya, peristiwa atau kejadiannya untuk menjadi bahan renungan kreatif remaja bagi digubah dengan kreatif dan mampu menyentuh perasaan insan yang memiliki sifat lalai dan lupa agar mereka hidup dalam keadaan fitrah.

Fitrahlah pedoman terbaik bagi remaja dan manusia lain supaya dengan berfikir dan berkarya secara fitrah, ia menyebabkan manusia memiliki rasa hampir dengan Penciptanya dan ia bakal menyebabkan manusia sentiasa dalam iman dan melakukan amal soleh sepanjang hayatnya.

* Dr. Sidek Baba ialah Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: