Pengalaman luka jadi penulis

Catatan Akhbar
Mingguan Malaysia
Ahad 5 Feb 2006

Pengalaman luka jadi penulis
Oleh: DR. ILIAS ZAIDI

“ERTINYA, semua manusia inginkan kejujuran, bersikap jujur, dan mengharapkan orang lain juga jujur terhadap mereka. Jadi mengapakah hal ini terjadi? Banyak kemungkinan yang boleh disarankan, tetapi yang paling berhak menjawabnya ialah pihak yang melakukan perbuatan itu, bukan penulis yang mengirimkan tulisannya”.

Pernyataan ini dicetuskan oleh Mohd. Affandi Hassan, yang saya kenali sejak tahun 60-an, ketika saya baru berjinak-jinak dengan alam sastera di Sekolah Alam Shah Cheras, sedangkan beliau sudah menjejakkan kaki di Universiti Malaya, satu-satunya menara gading di negara ini pada masa itu.

Permasalahannya apakah rasional mantap di sebalik penolakan karya beliau yang berjumlah lebih 45 itu, baik berupa cerpen mahupun esei tidak mendapat tempat siaran dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka? Andaian ketara ialah editor terbabit, bukan sahaja di DBP malahan organisasi penerbitan yang lain, fobia dengan kemampuan dan kebolehan diri sehingga mengamalkan tapisan-kendiri kerana khuatir akan tindakan tatatertib, dan kalau ketua pula, takut akan dipecat daripada jawatan dan kedudukan berkenaan.

Pengalaman saya dengan DBP tidaklah seluka begitu biarpun apa juga yang saya kirimi ke sana, tidak pernah mendapat jawapan positif. Malah ada yang dianggap tidak layak diterbitkan selepas ditangani oleh bidan terjun `pemeriksa luar’, hatta sudah mendapat royalti pendahuluannya.

Penolakan karya-karya saya oleh DBP dan malahan penerbitan lain membenarkan hipotesis-kendiri bahawa diri ini terlalu kerdil dalam arena penulisan dan apalagi dalam dunia kesusasteraan negara. Begitulah padahnya manuskrip antologi puisi dan Pengantar Komunikasi ditolak dengan alasan “tidak sesuai diterbitkan”. Sebab itulah saya lebih menumpu perhatian kepada penulisan buku bimbingan untuk pelajar kita pada pelbagai peringkat persekolahan, satu amal jariah yang amat menggembirakan saya.

Bagi DBP, saya baru sahaja menerima kembali manuskrip saya, atas tajuk Gerakan Pemikiran Islam berdasarkan Novel-novel Terpilih, diangkat daripada disertasi Doktor Falsafah saya dengan Universiti Malaya. Antara kata-kata yang menyentuh perasaan ialah “Manuskrip ini tidak sesuai untuk diterbitkan”.

Akan tetapi yang lebih parah ialah apabila saya membaca komen `pemeriksa luar’nya yang kononnya berwibawa lagi autoritatif berbunyi “terlalu ideal” boleh dikatakan bagi tiap-tiap ayat yang terungkap dalam manuskrip berkenaan.

Yang saya fahami dengan “terlalu ideal” ialah terlalu “unggul” mustahil dapat dicapai. Tetapi adakah tindakan matan Perdana Menteri kita dulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menguar-uarkan Wawasan 2020 dan pembinaan kereta nasional sebagai “terlalu ideal”. Adakah tindakan kerajaan hendak menghantar angkasawan negara ke angkasa tahun 2007 nanti sebagai yang “terlalu ideal”?

Pemikiran jumud begini tidak dikesali kalau datangnya daripada penduduk terpencil tidak berilmu dan tidak berpendidikan tinggal jauh di pedalaman, tetapi ironinya tercetus daripada fakulti pemikiran intelektual dengan tahap kesarjanaannya yang tinggi. Kalau tidak, masakan diangkat sebagai `penilai luar’.

Apakah kita beranggapan bahawa Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim itu sebagai MPSI di bawah pentadbiran Dusseck tahun 1922, sedangkan kini sudah diangkat menjadi institusi pengajian tinggi awam yang mahu mencapai tahap antarabangsa.

Kalau hendak maju dan berjaya seperti objektif Wawasan 2020, Melayu termasuk golongan sasterawan dan pemikir sastera, mestilah bersikap global, berfikir secara global, dan bertindak secara global, terkeluar daripada kepompong fikiran sempit yang melingkari diri.

Manuskrip tebal saya ini melihat keterjalinan hubungan yang teranyam dengan baik antara sastera dengan disiplin ilmu yang lain khususnya ajaran Islam, serta sosiologi, sejarah, komunikasi, dan sains politik. Justeru `pemeriksa luar’ yang pelbagai disiplin sahaja yang dapat menanggapi mesej di sebaliknya. Novel hanya sebagai wadah penganalisisan, sama seperti yang dilakukan oleh pemikir seulung Edward W. Said, yang bukan sahaja terkenal sebagai kritikawan sastera tetapi penganalisis isu politik sehebat isu Palestin.

Hal demikianlah yang saya cuba lakukan dalam manuskrip terbaru saya, yang dianggap oleh `pemeriksa luar’ DBP sebagai “terlalu ideal”.

Pada tahun 2005, saya dapat menyiapkan terjemahan karya terulung Said yang berjudul Culture and Imperialism untuk Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Kerja ini amat memeritkan walaupun saya pernah menterjemah Falsafah sebagai Pengucapan Sosial untuk DBP, dan itu pun secara kebetulan sesudah projek ini ditolak oleh beberapa sarjana tempatan.

Keterbabitan saya dalam dunia sastera secara kebetulan. Saya ternampak sajak rakan sekolah termuat dalam Ruangan Pelajar, harian berpengaruh sebelum saya diterima belajar di SAS pada 1963. Saya pun turut mengirimkan karya ke persada yang sama dan mendapat siaran. Ada teman yang memperkenal diri saya kepada A. Samad Said di Berita Harian, yang ketika itu di Jalan Pudu, lokasi yang memudahkan saya menuruni bas.

Pertemuan luar dugaan itu menjadi mesra langsung saya menjadikan A. Samad Said sebagai `abang angkat’ sampai sekarang. Secara praktisnya, Sasterawan Negara inilah, sekarang Datuk A. Samad Said yang mengasuh bakat saya sebagai penyair (kalaupun boleh dikatakan penyair), penulisan rencana khususnya review buku. Hatinya mulia dan bersikap suka menolong.

Tangan simpatik dan keluhuran hati beliaulah yang membuatkan karya puisi dan esei sastera saya banyak termuat dalam Berita Minggu. Beliau jugalah yang memberi laluan kepada saya untuk berkhidmat di Utusan Malaysia pada September 1967 sebagai penolong penyunting meja luar negara, satu kesempatan yang saya gunakan sebaik-baiknya untuk membuat analisis pergolakan dunia, boleh dikatakan termuat dalam Utusan Malaysia tiap-tiap minggu, terima kasih kepada Saudara Nora.

Di Mingguan Malaysia pula, saya ada Shamsuddin Jaafar yang juga berhati mulia dan murni prihatin memuatkan puisi dan rencana sastera dalam Mingguan Malaysia, termasuk Malam Gerimis di Tapah, sebuah daripada sajak terpanjang saya, dalam keluaran sulung Mingguan Malaysia pada 1964.

Di DBP, Datuk Usman Awang dan Datuk Mohd. Noor Azam adalah orang yang begitu prihatin dalam penyiaran puisi dan rencana umum saya dalam Dewan Masyarakat.

Pengalaman saya di Utusan Malaysia tidak lama kerana bulan Jun 1969 saya berpindah ke Bernama, satu penghijrahan yang bermanfaat dalam kerjaya saya apabila bertemu dengan bos sehebat Datuk Mazlan Nordin. Beliau banyak mendidik saya menjadi pekerja yang cepat, cekap, dan tepat, suatu kemestian dalam profesion wartawan lebih-lebih lagi apabila duduk sebagai ketua penyunting yang terpaksa berhadapan dengan seribu satu macam kerenah manusia birokrasi.

Hubungan saya dengan Datuk Usman dan Datuk Noor Azam terus intim melalui sumbangan berkala saya kepada Dewan Masyarakat. Akhirnya untuk Hadiah Sastera Nasional, saya diangkat sebagai penerima Hadiah Galakan Esei dan Kritikan pada 1975, dan Anugerah Penulis Dewan Masyarakat atas jasa baik Datuk Noor Azam juga pada 1980, tahun yang menyaksikan saya terpilih sebagai Pemberita Terbaik oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM).

Semasa melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang penulisan kreatif dan deskriptif, saya menemui seorang insan berjiwa murni dan suci hati. Tokohnya tidak lain daripada Profesor Datuk Abu Bakar Hamid (kini Profesor Emeritus). Beliau yang masih berkhidmat di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, banyak mendidik saya tentang ilmu dan gaya penulisan yang baik lagi berkesan, ringkas tetapi padat, hatta sampai kepada tanda baca pun diperhatikannya secara serius. Ijazah Sarjana Sastera saya di bawah asuhan dan bimbingan beliau, tokoh yang amat saya senangi untuk menerima ilmu dan pengalaman.

Ketika saya sudah menyiapkan dua manuskrip tahap SPM dan STPM sepanjang bulan Januari lepas, saya masih menunggu jawapan negatif daripada DBP, “Dengan dukacita dimaklumkan bahawa manuskrip saudara tidak sesuai untuk diterbitkan”. Seingat-ingat saya ada satu lagi manuskrip yang tersimpan damainya di meja editor persis terletak damainya disertasi Ph.D. saya di atas meja `pemeriksa dalaman’ setahun lamanya tanpa dibaca di Universiti Malaya. Terima kasih kepada Profesor Datuk Dr. Abdul Latiff Bakar dalam hal ini.

Saya difahamkan bahawa Dr. Firdaus Abdullah sedang melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap tenaga kerja DBP. Yang perlu dibetulkan dulu ialah mindset mereka dan tenaga “penilai luar”. Masanya sudah sampai untuk melihat dunia sastera sebagai bidang pelbagai disiplin ilmu yang menuntut kepakaran `penilai luar’ dalam pelbagai bidang, tidak terlalu terkongkong dengan paradigma, teori dan pendekatan konvensional lama mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: