Cinta tidak mengenal usia

Cinta tidak mengenal usia
Oleh: AZIMI MUSTAPHA

PASANGAN pengantin baru, Mohd. Riduan Husaini mendukung cucu isterinya, Hasnah Abdullah sambil disaksikan oleh anak-anak dan menantu wanita itu selepas mereka diijab kabul di majlis perkahwinan Pengantin Merdeka di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, semalam. – Gambar SHAMSUDIN SALEH.

BUKIT MERTAJAM 20 Ogos – Pepatah ada berkata, cinta tidak mengenal usia.

Itulah yang berlaku kepada pasangan Mohd. Riduan Husaini, 27, yang melangsungkan perkahwinan dengan seorang nenek, Hasnah Abdullah, 47, hari ini.

Janda anak lima itu hasil perkahwinannya terdahulu, kini mempunyai seorang cucu berusia 10 bulan.

Sungguhpun usia kedua-duanya berbeza 20 tahun, namun itu bukan penghalang untuk pasangan berkenaan meniti hari-hari bahagia selepas diijabkabulkan.

Mereka merupakan antara 12 pasangan pengantin yang diraikan pada majlis perkahwinan `Pengantin Merdeka’ secara beramai-ramai anjuran pusat khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Seberang Jaya, Ariff Shah Omar Shah.

Menurut Mohd. Riduan yang sebelum ini bujang dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang di Bukit Mertajam, dia tidak menyesal dengan keputusan mengahwini Hasnah dan menganggapnya sebagai takdir.

“Biarpun saya mengetahui Hasnah pernah berkahwin sebelum ini dan mempunyai lima orang anak berumur antara 10 hingga 24 tahun, namun ia tidak pernah melunturkan cinta kami.

“Mungkin inilah yang dikatakan cinta biarpun mendapat tentangan daripada keluarga pada mulanya,” katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan itu di sini hari ini.

Hasnah pula menceritakan mengenai permulaan percintaan mereka apabila Mohd. Riduan yang bekerja di kilang yang sama dengannya, kerap menegur sewaktu datang dan balik kerja.

Beliau mengakui tidak mengetahui bagaimana semuanya bermula.

Bagaimanapun beliau menyedari cinta mereka mampu mengatasi masalah jurang perbezaan umur.

“Pada mulanya, anak-anak saya menentang perkahwinan ini, tetapi lama-kelamaan, mereka dapat menerima hakikat bahawa jodoh saya dan Mohd. Riduan sudah tersurat.

“Hari ini saya berasa gembira setelah sah bergelar isteri kepada Mohd. Riduan,” katanya.

Menurut Hasnah, selepas kematian suaminya sembilan tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk bersendirian sehinggalah terpaut pada cinta yang dihulurkan oleh Mohd. Riduan.

Sementara itu, Ariff Shah berkata, majlis yang julung kali diadakan itu menelan perbelanjaan sebanyak RM40,000.

“Selain mengeluarkan duit belanja sendiri, saya turut mendapat peruntukan sebanyak RM10,000 daripada Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah (SPT),” katanya ketika ditemui pada majlis itu.

Program itu dimulakan dengan majlis akad nikah oleh Penolong Pendaftar Nikah Cerai kawasan Permatang Pauh dan Bukit Mertajam, Shamsudin Ismail dan Mohamad Rodzi Senapi di Masjid Jamek Seberang Jaya pukul 9 pagi ini.

Semua pasangan pengantin kemudiannya diarak menggunakan beca yang dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Sebanyak enam ekor lembu disediakan untuk jamuan majlis perkahwinan itu yang dihadiri kira-kira 8,000 jemputan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: