Fobia bercinta lagi

Fobia bercinta lagi
Putri,
SAYA jejaka berusia 24 tahun. Saya kategorikan diri saya sendiri sebagai pendiam dan pemalu. Sebenarnya, saya telah banyak kali mengalami percintaan yang terputus di tengah jalan. Kadangkala, saya sampai naik fobia untuk bercinta lagi.

Saya pun tidak tahu apakah puncanya. Selepas lima enam bulan, barulah saya merasakan bahawa antara kami tidak ada kesesuaiannya. Pendek kata, percintaan saya dengan mana-mana gadis tidak pernah lama melekat. Paling lama pun setahun setengah.

Ramai kawan yang kata, saya memilih dan tidak kurang juga yang sarankan agar saya mandi bunga. Tetapi saya sangkal. Well…, saya lebih mengetahui diri saya sendiri.

Bagi saya, adalah sesuatu yang normal untuk mempunyai teman wanita yang sedap mata memandang. Cukuplah kalau mereka yang ingin dijadikan pasangan hidup saya itu berkulit agak cerah, sedikit manis serta lemah lembut orangnya.

Sekarang, sudah hampir satu tahun sejak saya kembali single. Saya mempunyai seorang kenalan perempuan di tempat kerja. Dia mengatakan mungkin masalah ini berpunca dari dalam diri saya sendiri.

Dia mahu memperkenalkan saya dengan saudaranya. Entahlah… saya dalam dua, sama ada mahu menerima pelawaannya itu ataupun tidak. Saya tidak tahu keturunannya, pembawaannya serta paras rupanya. Tetapi kalau berdasarkan rupa kawan saya itu, boleh tahan jugalah orangnya.

Bagaimanapun, saya takut kecewa lagi. Tambahan pula, dah lama rasanya saya tidak mengasah bakat bercinta. Sudah hilang skill.

Dalam masa yang sama, saya berasa sunyi apatah lagi melihatkan rakan-rakan di sekeliling saya yang mempunyai pasangan masing-masing. Asal hujung minggu, lesap. Tinggallah saya sendirian terkontang-kanting di rumah. – JANTAN MACHOLA

Jantan Machola,

Mungkin ada betulnya kata-kata kawan perempuan saudara. Satu jari kita menuding kepada orang lain, 10 jari menuding ke arah kita kembali.

Luangkan masa untuk membuat penilaian, apa yang telah berlaku dalam perhubungan-perhubungan saudara yang lepas. Kemudian, cuba mengambil rasa tanggungjawab pada kegagalannya. Ia berguna bagi mengelak kesudahan yang sama daripada berulang kembali pada masa depan.

Ambil kira juga soal komunikasi, tahap toleransi saudara dengan perwatakan orang lain, amarah saudara misalnya, dan lain-lain. Apabila saudara boleh mempelajari dan menyesuaikan tingkah laku saudara dengan orang lain, insya-Allah, saudara boleh menguasai perasaan takut itu.

Saudara ada menyentuh tentang ciri-ciri pilihan saudara yang pada Putri, agak tinggi piawaiannya sebenarnya berbanding pengakuan saudara `saya bukanlah memilih orangnya’. Putri suka berkongsi kisah teladan ini, terutama sekali sambil bersantai di hujung minggu begini.

Pemuda bernama Joe ini, berkongsi sifat peribadinya yang pemalu seperti Jantan Machola sehinggakan dia tidak pernah mempunyai `marka’ seperti pemuda lain.

Pada suatu hari, rakannya telah membuat satu tawaran yang sukar ditolak untuk memadankan Joe dengan kawan baik kepada kekasihnya. Joe bagaimanapun menolak kerana beliau sendiri tidak pernah melihat kekasih Jake, bagaimanakah rupanya, apatah lagi kawan baik kepada kekasih Jake itu.

Namun, Jake tidak berputus asa dan tetap meyakinkan betapa cantiknya gadis yang ingin diperkenalkannya kepada Joe itu. Joe tetap berdegil. Lalu, Jake telah tampil dengan satu idea menarik.

“Macam inilah Joe, malam nanti, semasa kita pergi menjemput kekasihku dan temannya itu, engkau tengoklah sendiri.

“Kalau dia sedap pada pandangan mata engkau, kira okeylah. Tetapi jika sebaliknya tidak berkenan di hati, engkau buat-buat jatuh sakit.

“Caranya, engkau pegang leher dan menjerit argkh…! Aku akan katakan bahawa engkau terkena serangan asma lagi dan kita akan batalkan sahaja temu janji tersebut. Macam mana, setuju?” tanya Jake.

“Setuju,” jawab Joe pantas.

Malam itu seperti yang dirancang, mereka pergi menjemput gadis yang ingin diperkenalkan kepada Joe. Seraya pintu dibuka, Joe terpaku melihatkan kejelitaan si gadis. Si gadis juga mengamati Joe dan tiba-tiba, dia memegang lehernya sendiri sambil menjerit: “Argkh…!

Jadi, Jantan Machola, jangan ingat kita sahaja yang ada pelan B. Jika kita mahu menerima seseorang, ia tidak perlu datang dengan bersyarat.

Penerimaan yang tulus memungkinkan kita untuk melihat jauh, lebih jauh daripada kecantikan luarannya sahaja, memungkinkan kita melihat nilai sesungguhnya seorang manusia itu. Yang penting adalah hatinya

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: