GURAU senda menjadi penyeri dalam kehidupan berumah tangga pasangan Ismail dan Shabina.

Tetap romantik selepas 33 tahun berkahwin
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL

GURAU senda menjadi penyeri dalam kehidupan berumah tangga pasangan Ismail dan Shabina.

ROMANTIK, menurut kamus, bermaksud memperlihatkan suasana penuh kasih sayang, keindahan dan kemesraan. Jika dikaji, perkataan romantik itu sebenarnya berasal daripada perkataan Inggeris ‘romance’ yang bererti hubungan cinta atau percintaan.

Ini bermakna romantik itu berkait rapat dengan cinta iaitu sesuatu yang amat penting dalam menjalin hubungan erat suami isteri sepanjang usia perkahwinan.

Perasaan romantik lahir kerana wujudnya rasa cinta. Apabila rasa cinta dan sayang antara suami isteri diperlihatkan dalam bentuk kata-kata, sikap dan tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari, maka tercetuslah suasana romantik.

Alangkah bahagia jika melihat pasangan suami isteri yang telah berpuluh tahun mendirikan rumah tangga masih mampu mengekalkan suasana romantik walaupun kala usia melebihi setengah abad.

Pasangan romantik dan happy go lucky Ahmad Ismail dan Shabina Sharbany, yang kini berusia sekitar 60-an, telah mendirikan rumah tangga selama 33 tahun. Apa yang menggembirakan ialah kebahagiaan rumah tangga itu yang bermula sejak tahun 1972 masih mekar dan segar sehingga kini.

Melihat kemesraan mereka, penulis berasa sungguh terharu dan berdoa sekiranya bertemu jodoh mohon agar dianugerahkan Tuhan keutuhan rumah tangga seperti yang dibina Ahmad dan Shabina.

Menceritakan perkenalan mereka, Shabina yang lebih mesra dengan panggilan mak cik Shabina berkata, semuanya bermula dengan cabar-mencabar.

“Mak cik dan pak cik merupakan rakan sepejabat. Dulu kami bertugas bersama-sama di Lembaga Padi Negara (LPN) di Alor Star. Rakan mak cik cabar mak cik supaya mengurat pak cik yang waktu itu agak sombong. Mak cik pun cuba menyahut cabaran, dari situlah bermulanya percintaan kami,” ujar Shabina mengimbas detik awal perkenalan beliau dan suami ketika ditemui di kediamannya di Bandar Tasik Kesuma, Dengkil baru-baru ini.

Menurut Shabina, percintaan mereka berterusan beberapa bulan dan kedua-duanya mengambil keputusan untuk membina rumah tangga pada 28 Disember 1972. Menurutnya, percintaan tersebut masih ‘hangat’ sehingga kini.

Ketenangan

Bagi Ahmad pula, yang juga selesa dengan panggilan pak cik Ahmad, rahsia kebahagiaan rumah tangga mereka berlandaskan ketenangan jiwa dan persefahaman.

“Jika berhadapan dengan konflik, salah seorang mestilah bertenang dan cuba mencari penyelesaian. Pak cik lebih suka menjadi pendengar, manakala mak cik pula menjadi penglipur lara,” ujarnya sambil tersenyum.

Menurut Ahmad, selepas bersara, mereka sering ke mana-mana bersama. Menurut Shabina, pak cik Ahmad sentiasa mengajaknya mencuba makanan di restoran yang baru dibuka.

“Kami suka bersarapan di luar. Sekiranya ada restoran baru dibuka, pak cik pasti mengajak mak cik untuk mencuba masakan restoran itu. Kadang-kadang kami pergi minum petang di Starbucks.

“Jika ada masalah, pak cik akan selalu mengingatkan mak cik agar jangan terlalu mengikut perasaan, doa dan ketenangan pasti akan diizinkan Allah,” kata Shabina sambil tersenyum memandang suaminya.

Perwatakan Shabina yang penuh ceria membayangkan kebahagiaan yang sedang beliau rasakan.

“Memang mak cik penyeri rumah ini. Jika dia tiada di rumah, kami sekeluarga pasti akan terasa kekosongan itu. Sebab di rumah mak cik memang banyak bercerita dan menghiburkan pak cik,” kata Ahmad sambil memandang ke arah isteri tercinta.

Sepanjang 33 tahun melayari bahtera indah rumah tangga, mereka dianugerahkan tiga orang cahaya mata, Asmany Aza, 31, Adi Aswany, 29 dan Adam Aizar, 25.

Shabina yang berasal dari Alor Star, Kedah berkata, tunjang persefahaman antara suami dan isteri ialah perasaan syukur dan reda dengan apa yang berlaku.

“Kita jangan terlalu ikutkan perasaan. Setiap permasalahan pasti ada penyelesaiannya. Yang penting jangan berhutang, kalau ada duit belilah dengan tunai. Jangan terlalu terikut trend penggunaan kad kredit ataupun cek sebab akhirnya ia akan mengundang permasalahan,” tambah Ahmad.

Menjadi rutin bagi Ahmad untuk mencatat setiap perbelanjaan keluarga kerana bagi beliau sikap itu penting untuk menjamin setiap perbelanjaan digunakan dengan sepatutnya.

Baginya, perkataan romantik akan tetap relevan dan menjadi satu keperluan kepada pasangan suami isteri sepanjang menjalin perkongsian hidup bersama.

“Kalaupun tidak dengan kata-kata, hendaklah dengan sikap dan tingkah laku. Pak cik memang tidak pandai memujuk. Tetapi selalunya diganti dengan gurau senda yang boleh mengubat perasaan mak cik yang tengah marah,” kata Shabina.

Shabina yang kini menetap di Semenyih, bergiat aktif sebagai penasihat Jiran Wanita di kawasannya.

“Didikan dan contoh daripada kedua-dua ibu bapa banyak diturunkan kepada kami dan ilmu tersebutlah yang digunakan untuk menjamin kebahagiaan serta keharmonian rumah tangga kami sekarang,” ujar Shabina.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: