Kerana sayang sanggup menderita

Kerana sayang sanggup menderita
Saya menemui wanita yang menamakan dirinya Maya (bukan nama sebenar) berusia 33 tahun ketika ke salah sebuah hospital kerajaan di ibu kota untuk berkongsi cerita sebenar tentang mangsa dera yang masih belum membuat laporan polis.

Wajah Maya, bekas kerani akaun di sebuah pejabat swasta di ibu kota, membelon bengkak dengan kesan lebam di sebelah kiri wajahnya

Walaupun cuba melindungi wajah dengan cermin mata hitam namun kesan lebam dan darah beku jelas kelihatan di sekeliling mata.

Menurutnya perkahwinan dengan Bahtiar lebih kurang lima tahun yang lalu tidak pernah diimpikan akan dibumbui dengan sepak terajang, tumbukan, hentakan atau melemparnya dengan kerusi besi, namun itulah realiti yang terpaksa dihadapinya.

“Perkahwinan saya tidak ubah seperti perjalanan cerita tentang akibat derhaka tidak mendengar nasihat orang tua. Saya terlalu degil untuk mendengar kata mereka yang menghalang perkahwinan kami kerana terlalu mengagungkan cinta sejati kononnya.

“Ketika melayari musim percintaan, tidak ada cacat celanya perangai Bahtiar, segala-galanya tertib dan penuh keindahan malah disuruh berhenti kerja pun saya akur.

“Saya tahu, Bahtiar suami orang namun dia ikhlas mahu mengahwini saya yang ketika itu dikecewakan teman lelaki selepas empat tahun memadu kasih,” katanya tersenyum pahit.

Namun kata Maya ikhlas Bahtiar hanya luaran, tidak sampai sebulan berkahwin, suatu hari terlambat membuka pintu kerana berada di bilik air, bersepai selak pintu diterajang Bahtiar daripada luar.

“Tidak cukup menendang daun pintu, saya yang terkocoh-kocoh mahu menyambutnya pulang tiba-tiba dibaling dengan kerusi besi yang sempat dicapainya di tepi pintu.

“Terkejut besar saya melihat kelakuan bengisnya itu sebab itulah pertama kali saya melihat Bahtiar naik angin sampai sanggup mencederakan orang,” katanya.

Kata Maya, bermula daripada saat itu terbukalah tembelang Bahtiar yang sebelum ini rupa-rupanya memang kaki pukul isteri.

“Jika sebelum itu saya tidak pernah menghiraukan isteri pertamanya Asiah kerana dia juga tidak pernah mengganggu hidup saya, tetapi sejak Bahtiar buat perangai saya menghubunginya.

“Katanya memang Bahtiar selalu naik angin malah bukan sahaja pernah memukulnya tetapi turut membelasah anak-anak jika naik darah.

“Lebih memilukan lagi, kata kak Asiah selama 15 tahun perkahwinan mereka, Bahtiar bukan sekadar memukul tetapi pernah menyimbah dengan air kopi panas yang didakwanya pahit,”katanya.

Kata Maya dia berkongsi derita dengan madunya dan pernah bertanya kenapa tidak memohon cerai. Alasan Asiah dia hanya berkelulusan darjah enam dan tidak pernah bekerja.

“Kak Asiah beritahu siapa akan menanggung makan pakai dia dan lima anak-anaknya kalau bercerai.

“Sebab itu dia tidak menghalang Bahtiar ingin berkahwin lagi kerana malam-malam giliran ke rumah Maya, dia akan rasa sedikit lega kerana jika di rumah, Bahtiar sering panas baran tidak bertempat,” katanya.

Kata Maya, rawatan yang diterimanya itu sudah masuk kali ke tujuh di hospital yang sama. Kalau setakat sepak terajang atau tamparan yang lali di tubuhnya, beliau tidak akan datang tetapi dua hari lepas, selepas ditumbuk pandangannya berpinar-pinar dan semakin kelabu.

Doktor merawatnya sudah berkali-kali mendesaknya membuat laporan polis namun Maya enggan.

“Saya masih mampu bersabar, walaupun sakit ditumbuk muka saya semalam kerana anak menangis akibat demam, saya diamkan sahaja.

“Sejak akhir-akhirnya kelakuannya menjadi-jadi kerana saya dapat tahu dia ada perempuan lain dan mereka sedang merancang untuk berkahwin.

“Bahtiar jangan ingat saya takut bercerai dengannya kerana saya juga mempunyai kelulusan pelajaran yang baik namun saya tahankan dahulu. Saya sudah habis ikhtiar untuk memujuknya dengan cara baik tetapi bila saya “meletup” nanti nahas dia saya kerjakan,” katanya yang bergegas meminta diri untuk pulang dengan alasan tengahari itu Bahtiar mahu makan di rumahnya.

Saya mengekornya dengan pandangan dan tiba-tiba rasa kagum dengan kesetiaannya, masih taat menyediakan makan suami selepas diri separuh maut dibelasah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: