Lupakan orang yang tak sudi

Lupakan orang yang tak sudi
Putri,
SAYA tertarik dengan kisah Romeo yang `serik pisang berbuah dua kali’ pada minggu lalu. Izinkan saya berkongsi pandangan di ruangan ini.

Memanglah sukar untuk melupakan seseorang yang kita cintai sepenuh hati. Semoga Romeo kuatkan semangat dan banyakkanlah bersabar. Tiada seorang pun manusia yang akan dapat semua yang diingini di dalam hidupnya.

Walaupun pedih, tetapi kita sebagai manusia biasa terpaksa menerima dengan hati yang reda. Ajal, maut, jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Cuma cara kita diuji dan menanganinya sahaja yang berbeza.

Kisah cinta saya bersama A juga sama seperti kisah Romeo. Bezanya, saya perempuan. Peristiwa itu terjadi hampir lapan tahun yang lalu. Waktu itu saya masih belajar di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu kota. A pun belajar di IPTA yang sama, kursus lain-lain.

Waktu itu saya masih muda. Fikiran pun tidak berapa matang. Saya tidak pernah memikirkan soal hati dan perasaan orang lain. Maklumlah, waktu itu ramai yang ingin mendampingi saya, menyebabkan saya rasa agak bangga bercampur ego.

A seorang yang pendiam, tenang dan tidak banyak bercakap. Waktu itu dia betul-betul menyintai saya tetapi saya yang selalu buat perangai. Sebab saya rasa, perjalanan hidup saya masih jauh dan mungkin saya akan dapat seseorang yang lebih baik daripadanya.

Pada suatu hari, saya telah melukakan hatinya dengan bermesra dengan lelaki lain di hadapan matanya sendiri. A nampak tidak kisah, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Rupa-rupanya, itulah noktah terakhir percintaan kami.

Saya rasa sungguh menyesal. Saya memohon maaf. Masa itu saya macam orang gila. Setiap kali kerinduan melanda, saya layangkan surat merayu untuk kembali bersama. Macam-macam saya usahakan untuk memenangi hati A kembali, tetapi hatinya lebih keras daripada batu.

Disebabkan rasa kecewa, fikiran saya terganggu. Pelajaran saya merosot dan keputusan peperiksaan saya terlalu teruk. Seolah-olah waktu itu hanya A sahaja yang menjadi semangat bagi saya untuk meneruskan hidup ini. Akhirnya, saya nekad untuk berkahwin dengan seorang kenalan lama kerana ingin melupakan masalah dan segala kenangan bersama A.

Namun, berkahwin dengan orang lain bukanlah penyelesaian segala masalah. Tanpa sedar, suami turut menjadi mangsa masalah saya. Mujurlah suami seorang yang memahami. Saya tamat belajar dengan keputusan peperiksaan yang teruk.

Sehingga sekarang usia perkahwinan kami hampir menjangkau lima tahun dan saya masih tidak dapat melupakan A. Hidup saya selepas berpisah dengannya penuh dengan kesedihan dan air mata.

Awal tahun 2003 saya beranikan diri menghubungi A kerana terlalu rindu padanya. Walaupun tiada jodoh, mungkin kami boleh menjadi kawan baik. Bila mengetahui dengan siapa dia berkahwin, di mana dia bekerja dan sebagainya, semua itu sebaliknya membuatkan saya semakin terseksa. Kebahagiaan A adalah air mata bagi saya.

Sehingga ke hari ini, bila sahaja berlaku perselisihan faham di antara saya dan suami, saya merintih menyebut nama A di dalam hati. Saya terlalu rindukan A, namun apalah daya saya. Tiada lagi rasa cinta di hati ini untuk orang lain selain A. Yang tinggal kini hanyalah rasa tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu sahaja.

Nasihat saya kepada Romeo, jika orang dah tak sudi, jauhkanlah diri daripadanya. Janganlah menyeksa diri sendiri kerana bila kita semakin dekat dengan orang yang kita cintai, kita akan semakin menderita. Anggaplah apa yang terjadi sebagai satu pengajaran.

Mungkin dulu Romeo pernah menyakiti hati perempuan lain dan pernah melakukan perkara yang sama yang dilakukan oleh bekas tunang Romeo terhadap perempuan lain. Mungkin ada perempuan yang pernah menderita kerana Romeo dan kini Romeo pula menderita kerana bekas tunangan.

Sedarlah apa yang pernah kita lakukan pada orang lain walaupun bukan orang yang sama membalasnya pada kita, tetapi balasan daripada Tuhan tetap ada dalam pelbagai cara. Mungkin dengan cara ini sahaja dapat menginsafkan Romeo supaya tidak mempermainkan perasaan orang lain pada masa depan.

Bersyukurlah kepada Ilahi, balasan dunia ini berlaku pada Romeo sendiri yang menerimanya. Macam mana kalau balasan dunia ini berlaku pada adik, kakak atau anak perempuan Romeo pada satu hari nanti? Apa yang pernah Romeo lakukan pada perempuan yang Romeo kenali dulu berlaku pula pada mereka tetapi dengan cara yang lebih dahsyat lagi?

Jadi fikirkanlah secara positif. Mungkin bekas tunang Romeo baik, tetapi bukan yang terbaik untuk Romeo. Mungkin jika perkara ini berlaku selepas Romeo dan bekas tunang berkahwin tentu anak-anak yang akan menjadi mangsa perceraian pula.

Kadang-kadang kita rasa, inilah cinta kita yang sejati. Tetapi kita hanya sedar selepas kehilangan orang yang kita cintai. Fikirlah dengan sedalam-dalamnya adakah Romeo benar-benar cintakan bekas tunang ataupun sekadar rasa ego, akibat cinta ditolak?

Oleh kerana ego terlalu tinggi kadang-kadang susah untuk kita menerima hakikat bahawa kita sudah tidak dicintai lagi. Merasakan kita masih dicintai kadang-kadang hanyalah andaian serta mainan perasaan untuk menyedapkan hati sendiri.

Semua yang berlaku adalah ujian Tuhan. Menandakan Tuhan masih sayangkan Romeo dan ingin Romeo menginsafi segala kesilapan lalu. Jangan ikutkan perasaan kecewa, walaupun tiada jodoh, berdoalah semoga dia hidup bahagia walau dengan siapapun dia bersama. Itu pun salah satu cara menunjukkan rasa cinta kita kepada seseorang.

Kita tidak mampu untuk menolak takdir yang telah ditentukannya. Berserahlah pada Yang Maha Esa, itulah yang sebaik-baiknya. – ROZES, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: