Membina perkahwinan

Membina perkahwinan
Oleh Rahana MD

Indahnya ikatan dua hati yang disulami perasaan cinta antara dua gender berbeza yang akhirnya bersatu di alam perkahwinan.

Namun, ramai penganalisis rumah tangga mendakwa, perasaan yang terjalin indah di alam percintaan gagal dikekalkan apabila realiti perkahwinan mengikat kedua-duanya.

Kenapakah fenomena ini terjadi? Apakah perasaan cinta yang tidak ada sempadannya sebelum berkahwin hanya khayalan dan bukannya kawalan minda di alam realiti apabila tanggungjawab dan peranan berubah selepas berkahwin?

Menyedari banyak faktor yang menjadi penyumbang kepada punca retaknya percintaan selepas berkahwin malah akhirnya sampai bercerai berai, masyarakat mengakui betapa pentingnya persiapan yang wajar dilakukan sebelum pasangan sah bergelar suami dan isteri.

Focus On The Family, salah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) baru-baru ini bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menganjurkan bengkel berkaitan membina perkahwinan dan perhubungan yang kukuh.

Menurut Pengerusi pertubuhan itu, merangkap Pengarah Eksekutif, Lee Wee Min, para peserta mewakili agensi kerajaan, swasta, NGO, pekerja sosial, kaunselor, ahli psikologi serta kumpulan yang terlibat dalam agenda dalam praperkahwinan dan pembinaan kekeluargaan di negara ini

“Sepanjang latihan berbentuk pendidikan praperkahwinan tersebut, para peserta akan dilatih sebagai fasilitator atau pentadbir untuk berdikari menjalankan ujian atau mengenal pasti bentuk tabiat dan perangai individu, apakah mempunyai kesesuaian dengan pasangan masing-masing,” katanya.

Menyuntik kesedaran

Bengkel sehari yang dinamakan Prepare-Enrich Accreditation Programme dikendalikan oleh penyelidik yang berpengalaman lebih sedekad yang lalu, Dr. David H. Olson dan pasangannya dari Universiti Minnesota, New Zealand.

Melalui program Prepare-Enrich tersebut, peserta atau fasilatator akan diberikan panduan dan teknik yang lebih cekap untuk membantu pasangan menerima keputusan mereka menjalinkan hubungan yang lebih serius dan mengakhirinya dengan ikatan perkahwinan atau sebaliknya.

Menurut Dr. David, program itu juga bertujuan menyuntik kesedaran di kalangan pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan agar menghormati institusi yang bakal dibina.

“Antara matlamat program ini ialah menerokai kekuatan dan pembangunan pasangan, mengukuhkan teknik komunikasi pasangan, mempelajari 10 langkah menyelesaikan konflik, mengenal pasti isu-isu semasa dalam keluarga, merancang pembangunan kewangan dan membangunkan matlamat peribadi, pasangan dan keluarga,” katanya.

Beliau menambah, sebanyak 165 soalan berkaitan dengan kekuatan dan pembangunan perhubungan pasangan mewakili pelbagai kategori turut disertakan.

“Bentuk-bentuk soalan yang perlu dijawab oleh setiap individu, antaranya faktor komunikasi, keputusan konflik, personaliti, isu semasa, jangkaan perkahwinan, perhubungan seksual, kekeluargaan, kepercayaan rohani dan kesesuaian pasangan,” ujarnya.

Sementara itu, Lee ketika ditemui berkata, pihaknya amat berbesar hati mengadakan bengkel latihan tersebut memandangkan kebanyakan pasangan kurang memberi perhatian kepada faktor keserasian perhubungan dalam tempoh masa yang panjang apabila mengambil keputusan untuk berkahwin.

“Focus On The Family Malaysia amat prihatin dengan masalah berkaitan, lantaran itu pihak kami telah mengenal pasti tujuh langkah untuk membangunkan institusi perkahwinan di negara ini. Melalui kerjasama LPPKN, kami mengadakan kempen kesedaran di kalangan media yang berperanan menghebahkan kepada khalayak agar menilai semula keserasian dengan pasangan dalam pelbagai sudut dan kategori sebelum melangkah ke alam perkahwinan.

“Kami juga mendapatkan sumber melalui buku, kaset dan video untuk diguna pakai sebagai panduan oleh pasangan berkahwin, ibu bapa, golongan dewasa lelaki dan wanita, kanak-kanak dan warga emas. Sumber tersebut mudah diperoleh di kedai-kedai buku dan butik yang terpilih, kiriman pos, telefon atau kemudahan internet,” katanya.

Sambung Lee, himpunan material tersebut merangkumi kategori sosial, pendidikan, sokongan keluarga dan pertubuhan korporat yang mengandungi maklumat bernilai tentang perkahwinan, pemeliharaan kanak-kanak, kesihatan fizikal dan emosi dan perkara yang berkaitan dengan kekeluargaan.

“Ketiga, kami memberi fokus berkaitan pendidikan dan latihan kepada kumpulan fasilitator, pentadbir dalam agensi kerajaan dan swasta serta kaunselor yang mengendalikan bengkel-bengkel pra perkahwinan dengan menjemput pakar motivasi dalam dan luar negara mengadakan seminar atau bengkel untuk memberi bantuan mengenai teknik , maklumat dan sokongan mewujudkan institusi perkahwinan yang kukuh di kalangan masyarakat hari ini.

Jati diri

“Seterusnya memperkenalkan khidmat kaunseling yang ditawarkan melalui talian telefon, surat dan juga kiriman email di samping temu janji jika dirasakan ia perlu bagi menyelesaikan sebarang masalah,” katanya.

Akhir sekali Lee memberi tumpuan kepada peranan yang dimainkan oleh media cetak dan elektronik dalam memberi input hiburan yang keterlaluan kepada kumpulan generasi muda.

“Terlalu banyak kemudahan perkhidmatan yang dapat diperoleh dengan mudah dan sekali gus menggugat keperibadian generasi muda terutama kumpulan kanak-kanak.

“Dalam hal ini, ibu bapa wajar menanamkan jati diri yang kukuh di kalangan anak-anak agar bijak menapis apa juga bentuk maklumat yang sifatnya negatif melalui media. Justeru, kami berpendapat kemahiran keibubapaan bukan hanya wajar dipelajari oleh pasangan yang akan melangsungkan perkahwinan tetapi turut di tuntut di kalangan pasangan selepas berkahwin khasnya dalam membangunkan perhubungan serta pendidikan anak-anak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: