Nilai kasih sayang dalam hubungan

Nilai kasih sayang dalam hubungan
Oleh NOOR FAZRINA NOOR KAMAL

UNTUK menghasilkan perhubungan yang baik dan berkualiti, setiap pasangan perlulah belajar menggemari kegemaran pasangannya dan memperbanyakkan ciri-ciri persamaan antara satu sama lain bagi melancarkan hubungan dan komunikasi.

Untuk saling memahami pula, setiap pasangan itu perlulah meluahkan segala isi hati dan mencari penyelesaian ke arahnya agar hubungan yang terjalin lebih telus dan tiada unsur dendam dan benci.

Perhubungan pasangan boleh diukur menerusi sejauh mana perkongsian fikiran, perasaan, tingkah laku, cita rasa dan keputusan antara mereka.

Pasangan yang tidak ada rasa sepakat, tiada saling bergantungan dan tiada rasa tanggungjawab adalah antara petanda bahawa keintiman antara mereka semakin berkurangan.

Keluarga meninjau pendapat dua pasangan ini tentang erti perhubungan dan kasih sayang.

Bagi pasangan remaja ini, Syameer Zaqrim Jamal, 16 dan Faezah Zainal, 16 perhubungan yang baik adalah yang berlandaskan ikatan persahabatan yang suci murni.

“Saya lebih suka berkawan rapat dan perhubungan yang lebih menjurus kepada persahabatan, dan ikatan persahabatan lebih baik daripada ikatan percintaan lebih-lebih lagi pada usia sebegini,” kata Syameer ketika ditemu bual baru-baru ini.

Jejaka ini berpendapat, erti persahabatan lebih luas dan lebih bermakna bagi setiap orang dan ia wajar diaplikasikan setiap hari dan bukannya pada masa tertentu sahaja.

“Dengan adanya sahabat, kita boleh mencurahkan kasih sayang, berkongsi masalah dan meluahkan isi hati hati agar segala masalah tidak akan dipendam begitu sahaja sehingga mendatangkan masalah lain pula,” ujarnya gembira.

Bagi remaja ini, memilih kriteria kawan adalah amat penting kerana rakan juga berfungsi sebagai pencorak sifat dan peribadi kita.

“Saya lebih suka untuk berdamping dengan rakan-rakan yang tidak merokok, menghormati orang tua dan diri kita sendiri. Bagi rakan perempuan pula, saya suka yang bersopan santun dan paling penting pandai menjaga maruah diri,” ujarnya tegas.

Ketika ditanya bagaimana cara terbaik untuk mengkritik pasangan atau rakan beliau menjawab:

“Kritikan biar berhikmah agar ia tak tersinggung kerana wanita lebih sensitif manakala lelaki kurang sikit, sebab itu kita kena lebih mengenali rakan kita dan tahu cara menanganinya.”

Bagi Faezah pula, perhubungan memberikan peluang kepada setiap manusia mengeratkan lagi ikatan yang sedia ada.

“Saya gembira melihat pasangan kekasih yang romantik apabila tiba hari istimewa, tidak kiralah hari lahir ataupun ulang tahun sesuatu perhubungan itu. Sebagai contoh sekiranya kita berjalan-jalan di taman rekreasi pada hari tersebut, kita akan dapat lihat wanita memegang bunga dan itu menandakan mereka sedang bergembira pada hari tersebut dan ia amat baik untuk sesuatu perhubungan,” kata gadis berusia 16 tahun ini.

Cemburu

Bagi pasangan suami isteri, Mohd. Nor Razif, 28, dan Nor Sadlina Md Saman, 28, pula, kasih sayang perlulah ditunjukkan setiap masa dan pasangan perlulah dihargai bukan sahaja dengan tutur kata malah juga perbuatan.

“Sikap cemburu itu pula tandanya sayang, akan tetapi cemburu yang berlebihan adalah antara petanda curiga serta ingin menguasai pasangannya. Cemburu biar kena pada tempatnya,” kata Razif sambil disertai tawa kecil.

Menurut eksekutif penyelidikan di sebuah syarikat swasta ini, sambutan untuk meraikan pasangan mestilah berpada-pada dan tidak perlu mengeluarkan jumlah wang yang banyak hingga menyebabkan pembaziran.

“Sepatutnya kasih sayang ditunjukkan setiap hari dan bukannya hari tertentu sahaja. Sebagai suami, anak dan abang, saya akan menghargai setiap orang yang saya sayang dengan cara menunjukkan tanda mengambil berat tentang kebajikan mereka,’’ katanya yang kini menetap di Klang, Selangor.

“Usah pentingkan diri tapi banyakkan toleransi”.

Isterinya, Nor Sadlina pula berkata, apa yang lebih penting ialah menjaga sesuatu hubungan itu supaya sentiasa mekar.

“Kita mesti memegang teguh ajaran agama kita. Jadi janganlah kita terlalu mengikut budaya Barat yang hanya menunjukkan kasih sayang pada masa tertentu sahaja,’’ kata ibu kepada Muhamad Firdaus Mohd Nor Razif, 2 bulan setengah.

“Berkasih sayang bagi Islam juga tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara muslim dan akhirnya seluruh manusia,’’ kata beliau lagi.

Baginya, untuk menghakis budaya negatif yang sudah menjadi tradisi dalam hidup bukannya mudah, namun sekiranya kita mampu mempertahankan maruah dan jati diri, tradisi menyambut hari kekasih boleh dipositifkan mengikut lunas-lunas yang betul.

“Sebagai contoh, setiap pasangan yang sedang berkasih boleh melahirkan tanda ingatan kepada pasangan masing-masing dengan memanfaatkan kecanggihan teknologi terkini seperti menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel agar hubungan suci yang terjalin tetap terpelihara,’’ katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: