Pisau cukur – Era moden akhirnya tewas

Pisau cukur – Era moden akhirnya tewas
MELANGKAH masuk ke pejabat pada pagi Isnin di komputer saya terpampang sehelai kertas bertulis nama dan nombor telefon seorang hamba Allah, lelaki.

Sementara menunggu waktu mesyuarat, saya mendail nombor tersebut. Lima enam saat telefon berangkat. Suara yang menjawab agak keras, tetapi menjadi lembut kala saya memberi salam.

“Saya teringin sangat hendak berjumpa puan, bercerita lebih panjang mengenai masalah saya. Tapi puan dah telefon, kira okey lah..” katanya bergurau.

Saya memberitahunya saya tidak keberatan jika dia mahu berjumpa, lebih mudah ber-cakap berdepan, lebih menarik untuk ditulis.

“Nama saya Iman. Saya tidak setuju dengan puan yang selalu mengetengahkan isu wanita sahaja… nampak sangat puan memihak kepada wanita sedangkan ramai lelaki yang teraniaya dengan sikap kaum sejenis puan,” katanya agak keras.

Buat seketika saya terdiam. Benarkah saya hanya memihak kepada wanita sedangkan seingat saya, pelbagai masalah telah dipaparkan menerusi halaman ini. Tapi bagi saya dakwaan Iman bukan satu perkara besar, sebagai wartawan saya tahu apa sahaja yang dikatanya adalah cerita dan perlu diterima dengan hati terbuka.

Lalu saya bertanya apa masalahnya yang sebenar, adakah dia punya kisah untuk dikongsi bersama pembaca.

“Memang saya ada cerita. Kisah pisau cukur zaman moden. Maksud saya perempuan yang suka kikis duit lelaki untuk kesenangan hidup.” katanya bersemangat.

Mendengar katanya keinginan saya melayannya berbual semakin memuncak. Ini mesti cerita menarik. Jarang lelaki menelefon untuk berkongsi kisah mereka. Setelah berbual-bual seketika saya meminta Iman meneruskan kisahnya dan saya akan menjadi seorang pendengar yang setia.

“Saya seorang ahli perniagaan yang telah berjaya dan mempunyai empat buah kedai. Saya telah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Isteri tidak bekerja. Suri rumah sepenuh masa.

“Ketika saya sedang meniti gemilang dalam perniagaan saya berkenalan dengan seorang gadis bernama M, berusia 24 tahun, bekerja di sebuah pejabat swasta. Orangnya cantik, bertubuh langsing dan bijak bergaya. Tentunya kriteria itu sudah cukup untuk saya jatuh cinta.

“Malangnya saya telah terperangkap dalam arus percintaan yang cukup hebat. Lupa isteri dan anak-anak. Lupa rumah tangga. Dunia saya hanya bersama M. Duit ringgit macam air berpindah tangan kepada M.

“Untuk seketika saya terasa hidup ini cukup indah penuh dengan angan-angan yang tidak akan ada penghujungnya.

“Keseronokan yang saya nikmati bersama M telah membawa saya hanyut jauh, kami tinggal bersama di sebuah kondominium yang saya sewa untuknya. Saya berikan dia sebuah kereta dan duit belanja setiap bulan. Sepanjang masa itu saya cukup bahagia. M sentiasa di sisi untuk menggembirakan saya.

“Saya tidak tahu kenapa saya jadi begitu. Isteri selalu menegur tetapi saya menyangkal yang saya telah berubah. Saya menafikan tuduhan isteri. Dia seorang yang penyabar, malah tidak pernah bertanya kenapa saya tidak pulang dan jarang ada di rumah. Sebagai suami saya tahu perasaannya tetapi pelik, saya tidak rasa kesian pada dia.

“Satu hari seorang kawan memberitahu ternampak kekasih saya dengan seorang lelaki sebayanya. Mereka kelihatan intim. Lelaki itu tidak bekerja tetapi selalu menggunakan kereta yang saya beri kepada kekasih saya. Mereka selalu bersama apabila saya out-station atau menghadiri mesyuarat untuk tempoh yang lama.

“Mula-mula saya tidak percaya tetapi akhirnya terpaksa menerima hakikat kekasih saya telah bermain kayu tiga di belakang saya. Saya tidak duduk diam dan menjalankan siasatan sendiri, hendak cari bukti, benarkah M telah menduakan saya.

Mengaku

“Laporan kawan saya benar belaka, saya melihat sendiri M bersama teman lelakinya itu yang jauh lebih kacak dan muda daripada saya. Saya juga melihat mereka berbelanja mewah dan M tentunya memberi lelaki itu wang yang saya beri kepadanya. Hati saya semakin sakit apabila M membawa lelaki itu ke kondominium yang saya sewa untuknya apabila saya tidak ada.

“Saya tidak menunggu lama, setelah cukup bukti saya bersemuka dengan M. Apa lagi menangis lah dia meraung-raung, macam orang kena histeria. Saya tidak kisah lagi. Saya tunjukkan semua bukti yang ada. Puas dia menafikan tetapi akhirnya kalah dan mengaku akan perbuatannya.

“Katanya dia terpaksa buat itu semua kerana ingin hidup mewah. Dia sebenarnya mencintai lelaki itu bukannya saya. Mendidih darah saya, tuhan sahaja yang tahu, tapi apa nak kata lagi, nasi sudah menjadi bubur.

“Saya selongkar seluruh bilik di kondominium tersebut. Macam-macam saya jumpa. Tangkal, bungkus kain kuning dan pelbagai benda lagi. Saya tanya dia apa semua itu. Mulanya dia tidak mahu cakap tetapi setelah saya berkeras dia akhirnya mengaku telah membomohkan saya. Katanya, dia telah mengambil rambut dan kuku saya semasa saya tidur untuk dibawa kepada bomoh supaya saya mendengar kata dan mengikut telunjuknya.

“Saya mengucap panjang mendengar kata-katanya itu. Jika diikut hati saya nak cekik- cekik lehernya. Tapi saya masih ingat tuhan. Saya yang silap, saya telah melakukan kesilapan besar. Saya menyesal tak sudah.

“Hari itu juga saya halau dia dari kondominium itu. Saya ambil semula kunci kereta daripadanya. Saya mengamuk habis-habisan. Memang saya nekad. Kalau terjadi yang buruk-buruk pun hari itu, saya akan bertanggungjawab. Syukur tidak ada apa yang berlaku.

“Kini saya benar-benar insaf dan bertaubat. Saya mohon ampun dan maaf daripada isteri. Dia tidak menangis, tidak berkata apa-apa malah menyuruh saya merenung kembali perbuatan yang telah saya lakukan dan ambil iktibar daripada kejadian tersebut. Bayangkan…sebak di dada saya sampai hari ini terasa setiap kali saya melihat wajah isteri yang tenang melayan saya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.

“Saya menyesal yang amat sangat. Saya menangis semau-maunya setiap kali sujud menyembah tuhan. Saya benar-benar menyesal..” kata Iman menamatkan ceritanya.

Saya juga terkedu sepanjang Iman mencurah rasa. Marah. geram, sedih bercampur-campur. Sebelum ini saya pernah juga mendengar pengakuan lelaki tetapi apa yang diluahkan Iman berlainan sama sekali. Saya benar-benar terharu dan bangga dengan sikap Iman yang telah kembali ke pangkal jalan.

Saya angkat tabik kepada Iman kerana insaf dengan perbuatannya dan bertindak tegas sebelum nasi menjadi bubur. Kisah Iman amat menarik dan patut dicontohi lelaki lain.

Tergelak besar Iman apabila saya berkata dalam seribu hendak cari satu lelaki sepertinya amat susah. Kebanyakan yang ada hanya mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita.

“Tapi, wanita juga perlu ingat. Jangan pesenda lelaki. Paling penting jangan guna bomoh untuk buat perkara yang tidak senonoh. Ingatlah kepada tuhan.

Syukur

“Saya tidak mahu percaya akan perbuatan bomoh, tetapi pengalaman yang saya lalui dengan M benar-benar menginsafkan. Mahu tidak mahu saya terpaksa percaya. Saya harap lelaki lain berhati-hati… jangan terperangkap dengan cinta seperti saya. Buruk padahnya,” katanya memberi amaran.

Setelah mengucap terima kasih dan berjanji akan berkongsi pengalaman lagi jika ada Iman meletakan telefon sambil berpesan supaya saya tidak memihak kepada wanita sahaja tetapi mendengar juga luahan hati lelaki.

Pendapat Iman saya ambil kira tetapi dalam hal-hal seperti ini, lelaki jarang mahu ketengah, mereka lebih suka menyimpan masalah dan bercerita dengan kawan-kawan di kedai kopi atau pejabat.

Apa pun, saya mengucap syukur dan syabas kepada Iman kerana telah kembali ke pangkal jalan. Keputusan Iman patut dipuji.

Macam tidak percaya saya akan apa yang Iman lalui … terutama hal rambut dan kuku yang diambil untuk dijampi bomoh.. seram rasanya nak bercerita panjang. Tidak saya sangka, wanita sekarang berani sampai macam itu…

Apa pun, pada saya menagih kasih daripada seorang lelaki bukan dengan cara itu. Dalam apa keadaan pun, budi bahasa, nilai murni dan kesetiaan tetap perkara utama.

Terima kasih saya ucapkan kepada Iman yang sudi berkongsi kisahnya dengan pembaca. Harapan saya lebih ramai lelaki akan tampil berkongsi masalah dan pengalaman mereka dengan pembaca wanita seperti yang Iman lakukan.

Sikap penyabar isteri Iman perlu dicontohi oleh isteri-isteri lain. Jangan melatah apabila suami buat hal tetapi bertindak bijak menanganinya. Siapa pun dia wanita bertuah yang menjadi isteri Iman itu, sekiranya terbaca catatan ini terima kasih kerana menjadi wanita contoh.

Kepada para suami, anggaplah isteri ibarat permata dalam rumah tangga. Setiap suami harus merasakan di dalam rumahnya ada permata yang cukup berharga, bahkan lebih berharga dari seluruh permata yang ada di dunia ini.

Mengundur diri, sepatah kata daripada saya, sesungguhnya bersama kesusahan ada kemudahan, setelah air mata akan terbit sebuah senyuman, setelah malam ada siang, kesedihan akan selesai dan derita akan usai, dengan izin Allah…

Renungankanlah!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: