Reese-Ryan hanya berlakon kononnya bahagia

Reese-Ryan hanya berlakon kononnya bahagia
MEREKA dilihat sebagai pasangan emas Hollywood dengan dua cahaya mata comel yang menceriakan suasana rumah tangga yang dibina. Namun di sebalik glamor dan kemasyhuran, aktres yang baru dianugerahkan Oscar, Reese Witherspoon kini bertarung menyelamatkan perkahwinannya dengan aktor Ryan Phillipe.

Malah sumber memberitahu, kemesraan yang ditunjukkan pasangan itu semasa Anugerah Academy awal bulan lalu sekadar satu lakonan untuk menutup satu hubungan yang kian renggang.

Semuanya gara-gara kemuncak kerjaya Witherspoon yang bukan sahaja berjaya membawa pulang Oscar, satu anugerah paling berprestij dunia lakonan, tetapi juga sebagai aktres yang menerima bayaran tertinggi di Hollywood.

Masalah rumah tangga juga berlaku pada pemenang Oscar, aktres Hillary Swank dengan suaminya, aktor Chad Lowe.

Bukan sahaja jurang perbezaan pendapatan yang dramatik menjadi perbandingan malah rasa cemburu terhadap kerjaya isteri sebagai aktres senarai A menyebabkan rumah tangga mereka berantakan.

Pasangan Swank-Lowe yang mengumumkan perpisahan mereka pada Januari lalu, bagaimanapun, sedang berusaha memulihkan semula hubungan mereka.

Apa yang berlaku ke atas pasangan Witherspoon-Phillipe tidak jauh bezanya daripada nasib Hillary Swank.

Khabarnya ketegangan rumah tangga bintang Sweet Home Alabama dengan suami kacaknya itu bermula apabila aktres itu berusaha keras merebut Oscar menerusi wataknya sebagai isteri John Cash, June Carter, untuk filem Walk The Line.

Kesungguhan Witherspoon itu mengakibatkan Phillipe merasakan dirinya dipinggirkan.

Kasihan

“Saya kasihan dengan Ryan,” kata satu sumber. “Dia berusaha keras untuk bertahan dengan semangat Reese yang beria-ia mahu memenangi Oscar supaya apabila tiba malam itu isterinya mendapat apa yang dicita-citakan.”

Sememangnya bintang Witherspoon terus bersinar dengan filem-filem lakonannya terus menjadi box-office sedangkan apa yang berlaku kepada aktor berusia 31 tahun itu pula adalah sebaliknya.

Malah Witherspoon, 30, kini mendapat bayaran sebanyak $39 juta (kira-kira RM148.2 juta) untuk sebuah filem sedangkan Phillipe dikatakan hanya memperoleh bayaran sebanyak $4 juta (kira-kira RM15.2 juta).

Justeru, ramai orang melihat kegemilangan kerjaya Witherspoon itu mampu menyebabkan rumah tangga yang dibina sejak tujuh tahun itu roboh.

Witherspoon yang mula menggilap nama sebagai bintang setelah berlakon sebagai Elle Wood dalam filem Legally Blonde (2001) sentiasa dilihat mempunyai reputasi yang baik sebagai seorang pelakon yang sempurna dan sangat berdisiplin.

Namun reputasi itu telah menyebabkan rumahtangganya tunggang-langgang.

“Resse menganggap Ryan mencemburuinya sedangkan dia bekerja dua kali ganda untuk berjaya sebagai pelakon selain menjadi ibu, sedangkan Ryan hanya duduk dan mengeluh.

“Malah Reese menganggap Ryan tidak pernah menyokongnya seperti yang sepatutnya dia lakukan,” menurut satu sumber.

Witherspoon jatuh cinta dengan bintang filem Crash itu setelah diperkenalkan pada majlis sambutan ulang tahun ke-21nya pada 1997 sebelum mereka berkolaborasi dalam filem Cruel Intention pada 1999.

Pasangan muda itu kemudian berkahwin pada tahun yang sama dan dikurniakan dua cahaya mata, Ava, 7, dan Deacon, 3.

“Saya bertuah bertemu dengan seorang yang ingin berkongsi hidup dengan saya,” kata Witherspoon mengenai suaminya.

Sebenarnya, pasangan itu telah lama menghadapi kemelut rumah tangga. Phillipe sendiri secara terbuka pernah memberitahu bahawa mereka turut mendapatkan nasihat pakar perkahwinan dalam usaha menyelamatkan rumah tangga mereka.

Witherspoon sendiri tidak pernah menyembunyikan kehidupan rumah tangganya malah pernah mengakui bahawa perkahwinan merupakan satu cabaran kepadanya.

“Saya tidak tahu apa rahsia untuk sebuah hubungan yang bahagia,” kata Witherspoon.

Tidak terkenal sebagai pasangan yang mesra di khalayak umum, Witherspoon dan Phillipe kebelakangan ini dilihat begitu intim semasa menghadiri beberapa majlis.

Beberapa pemerhati memberitahu, kelakuan seumpama itu menunjukkan bahawa mereka sedang berusaha untuk menutup duka lara pada hubungan masing-masing.

Perkara yang sama juga berlaku pada beberapa pasangan terkenal Hollywood yang menggunakan kamera sebagai helah menyembunyikan keretakan hubungan yang sebenar.

Julia Roberts dan Benjamin Brat, misalnya, menggunakan lensa kamera pada majlis penganugerahan Oscar 2001 untuk menunjukkan keintiman mereka sebelum masing-masing mengumumkan perpisahan beberapa hari selepas itu.

Jennifer Aniston dan Brad Pitt juga dirakamkan begitu mabuk asmara sedangkan tidak berapa lama kemudian mereka mengumumkan tidak sanggup lagi meneruskan perkahwinan tersebut.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: